Krisis Ekonomi US : Gambaran, Ulasan & Pandangan Islam

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Pensyarah  UIA

Lulusan Sarjana Muda Syariah Universiti di Jordan &
Sarjana Perbankan & kewangan UIA

Pernah berkhidmat dengan RHB Islamic Banking
& Bank Of Qatar

Kolumis Akhbar Metro Ahad

www.zaharuddin.net

Amerika Syarikat sedang menghadapi kejatuhan ekonominya akibat sistem
kapitalis. Apa sebenarnya yang berlaku dan apa kaitannya dengan riba?. Dan
adakah jika sistem kewangan dan ekonomi Islam dilaksanakan, kita akan
terselamat dari malapetaka seperti ini. Tulisan ini akan cuba mendedahkan
isu ini dalam bentuk yang separa ilmiah dengan kumpulan sasaran pembaca
orang awam.

Justeru, jika anda seorang cendiakawan ekonomi, kewangan dan perbankan, saya
kira tulisan ini mungkin tidak menambahkan sebarang nilai dan pengetahuan
baru buat anda. Saya juga menggunakan bahasa-bahasa bukan kewangan bagi
memudahkan kefahaman orang awam dalam memahami isu ini secara mudah.

Walaupun isu ini agak kompleks untuk diterangkan dengan mudah kepada pembaca
yang tiada basic ilmu kewangan dan perbankan (kerana ia perbincangan
berkenaannya banyak menggunakan istilah-istilah khusus kewangan dan
perbankan), namun saya akan cuba sekadar kesempatan waktu dan kemampuan yang
ada untuk memberi faham. Isunya begini..

Kegawatan bermula dari kes pinjaman dan pensekuritian bon Subprima.


FAHAMI SUBPRIME MORTGAGE TERLEBIH DAHULU

Subprime mortgage atau dalam bahasa Malaysia kita sebut "peluang kedua
pinjaman".

Ia adalah pinjaman wang yang diberikan kepada sekumpulan pengguna miskin,
manakala sebahagian lainnya tidak menepati kriteria peminjam yang BOLEH
diluluskan jika dilihat dari piawaian sesebuah bank. Ia disebut sebagai
mempunyai 'credit rating' yang rendah. Mereka ini biasanya terdiri dari :-

  a.. mereka yang mempunyai pendapatan rendah,
  b.. mempunyai sejarah dan rekod kegagalan bayaran hutang yang tinggi, atau
'rekod merah'.
  c.. mereka yang beban hutangnya telah melebih kemampuan pendapatannya,
  d.. para spekulator yang tiada mempunyai wang tetapi ingin membeli untuk
tujuan pelaburan dan lain-lain lagi.
Walaupun demikian, mereka telah diberikan peluang kedua untuk membuat
pinjaman.

Perlu diingat, ia bukannya dibuat atas dasar ingin membantu tetapi berpunca
dari sifat tamak pihak kapitalis dalam perolehan untung, mereka juga tidak
menghiraukan samada kumpulan miskin dan bermasalah serta terdesak tadi akan
semakin tertindas ataui tidak. Apa yang penting buat mereka adalah untuk
mengambil peluang meraih untung sebanyak mungkin.

Telah saya tegaskan beberapa kali di web ini, apabila pinjaman diberikan
kepada mereka yang berpotensi untuk gagal membayar balik, risiko kegagalan
membayar hutang yang dinamakan 'event of default' akan menjadi semakin
tinggi. Menurut kebiasaan sesebuah bank,  jika risikonya tinggi maka lagi
tinggilah kadar riba 'interest' yang akan dikenakan terhadap peminjam.

Menurut faktanya, apabila lebih 100 buah syarikat yang memberi pinjaman
jenis subprime seperti New Century Financial Corporation memfailkan
bankruptcy akibat gagal memperolehi pulangan beserta riba yang
dikehendakinya, kegawatan mula kelihatan.  Kegagalan ini membawa kerugian
sebanyak USD 6.5 trillion dan memberikan kesan negatif kepada seluruh
industri jual beli rumah, perbankan dan ekonomi USA. [1]

Isu ini mula menggugat ekonomi Amerika mulai tahun 2007 dan berterusan
kesannya sehinggalah apa yang berlaku kepada kebrankupan dan kerugian besar
syarikat gergasi di Bursa Saham Wall Street seperti Lehman Brothers, Merrill
Lynch, AIG dll. Ia bakal membawa kesan domino atau kesan bertali kepada
mana-mana syarikat yang mempunyai ikatan dengan mereka yang rugi ini, akan
saya huraikan kemudian.

Ia bermula apabila sektor perumahan di USA menjadi bubble. Erti bubble dalam
konteks ini adalah apabila nilai valuasi rumah meningkat sehingga mencapai
tahap unsustainable iaitu tidak mampu lagi ditanggung jika dilihat kepada
purata pendapatan penduduk.

Hasilnya, bilangan peminjam yang gagal ia disebut 'defaulters' menjadi
semakin tinggi. Keadaan ini merebak sehingga berlakunya krisis kegawatan
pada bulan Ogos 2007 yang lalu.

APA KISAH CADANGAN KERAJAAN US UNTUK BAILOUT USD 700 BILION?

Apabila ini terjadi, nilai rumah tiba-tiba menjadi jatuh merudum pula
sehingga banyak pihak yang telah membeli dan memegang rumah dan hartanah
tidak lagi mendapat untung dari aset yang mereka pegang. Kerugian pun
menjelma dan memberikan kesan kepada seluruh sektor kredit, perbankan dan
ekonomi dunia. Pihak bank akan ditimpa Non Performing Loans (NPL) atau
hutang tertunggak yang tinggi, selain itu ia juga memberi kesan rugi kepada
seluruh sektor pembinaan, pembekal dan banyak lagi. Ia juga bakal membawa
keruntuhan, hasilnya Presiden USA, George Bush telah memperuntukan 'bail-out
plan' dengan harga antara USD 700 billion ke USD 1 trillion untuk membeli
aset pinjaman tertunggak yang merosakkan tersebut.

Pihak US merancang, setelah membeli semua aset tadi, mereka akan menjualnya
semula dan memperolehi keuntungan pula darinya. Namun terdapat pakar
pelaburan seperti Warren Buffet dan ramai lagi yang menganggap lebih bijak
jika kerajaan membiarkan sebahagian sekuriti tenat dan tertunggak ini dijual
di pasaran terbuka kepada sektor private dan bukannya dibeli oleh kerajaan.
[2]

Secara ringkasnya isunya adalah :-

a)       Apa yang menjadi isu dengan kes bail out terbaru ini adalah, jumlah
besar itu adalah wang hasil kutipan dari pembayaran cukai dari seluruh warga
USA. Namun malangnya wang cukai yang bayar mereka akan digunakan untuk
menyelamatkan beberapa buah syarikat gergasi di Wall Street, sedangkan ramai
yang tidak terlibat dengan aktiviti saham dan tidak mendapat faedah secara
langsung dari bail-out ini. Inilah yang menyebabkan kemarahan orang ramai.
Duit mereka digunakan untuk menyelamatkan si kaya manakala syarikat kecil
dan sederhana tiada sebarang bantuan.

b)       Selain itu, untuk mejayakan tujuan ini, kerajaan US terpaksa
mencetak lebih banyak wang dan ini akan meningkat kadar inflasi iaitu nilai
USD akan jatuh merudum.

c)       Sebahagian pakar ekonomi menamkannya sebagai hyperinflation atau
inflasi di luar kawalan. Selain itu purchasing power mereka turut jatuh.

Contoh hyperinflation adalah apa yang berlaku kepada Germany pada tahun 1923
apabila kadar tukarannya adalah Marks (Matawang German) 4,200,000,000,000
(4.2 billion) adalah sama dengan USD 1 sahaja!. Yang terbaru adalah Zimbabwe
di mana nilai duit Zimbabwe sebanyak 688 billion adalah sama dengan USD 1.
[3]

d)       Ini juga bermakna, semua peminjam-peminjam di bank US terpaksa
mencari sumber wang lain untuk mebayar hutang mereka disebabkan nilai
matawang mereka menjadi kecil. Kalau dulu USD 1000 mereka boleh membayar
pinjaman perumahan bulanan, namun akibat bail-out ini, nilai USD 1000 itu
sudah jatuh kepada USD 900.

e)       Ia juga boleh mengakibatkan pelbagai bencana ekonomi seperti
berlakunya penyorokan barang pengguna kerana menunggu harga meningkat.

f)        Hutang US juga pasti akan meningkat tinggi , dijangkakan hutang US
akan meningkat kepada USD 11.3 trillion daripada jumlah sekarang iaitu USD
10.6 trillion. [4]

231 ahli akademik yang merupakan pakar ekonomi di univeristi seluruh USA
membantah tindakan ini dalam satu surat yang ditandatangani bersama oleh
mereka. Mereka menegaskan :-

"Investors who took risks to earn profits must also bear the losses. [...]
The government can ensure a well-functioning financial industry [...]
without bailing out particular investors and institutions whose choices
proved unwise." [5]


PENSEKURITIAN PINJAMAN SUBPRIMA & PANDANGAN ISLAM

Bagi anda memahami isu ini dengan lebih tersusun, mari memhami isu subprime
dan pensekuritiannya. Keadaan menjadi parah sebenarnya, apabila
pinjaman-pinjaman SUBPRIME tadi telah disekuritikan menjadi .
'Mortgage-backed Securities' ; (iaitu sijil-sijil boleh niaga yang
disandarkan kepada sesuatu aset (asset-backed security ) yang mana cash flow
atau aliran tunainya datang dari pembayaran pinjaman pokok dan interest bagi
satu kelompok pinjaman perumahan. Kemudiannya ia diniagakan dengan risiko
berbeza mengikut tahap-tahapnya. Dalam kes yang sedang kita bincangkan ini,
kelompok pinjaman itu adalah dari pinjaman subprime yang telah diberitahu
tadi. Sila lihat rajah untuk lebih faham.




Rajah : Proses MBS. [6]

Sila lihat kepada pulangan riba 'expected return' yang dijanjikan kepada
pelabur (pembeli sijil ini) yang disebut itu, pulangan itu gagal ditepati
apabila pihak peminjam gagal membayar hutang rumah mereka.

Sekali lagi, apa erti sekuriti di sini?

Ia adalah satu proses mengumpulkan pinjaman-pinjaman ini dalam satu kumpulan
(pool of portfolio), kemudiannya ditukar menjadi sebuah sijil pelaburan
boleh niaga yang dinamakan bon atau sekuriti atau Mortgage Backed
Securities.

Ia adalah sebuah instrument pelaburan riba yang menjanjikan PULANGAN TETAP
bagi mereka yang berminat membelinya.

Disebabkan sifat tamak pelabur kapitalis, mereka telah menjual bon yang
disandarkan kepada pinjaman Subprime yang berisiko ini dan ia telah dibeli
oleh pelbagai pihak termasuklah bank-bank pelaburan 'investment banks' yang
besar seperti Lehman Brothers yang merupakan syarikat keempat tersebar di
Bursa Wall Street.

Apa yang dilakukan ini jika dilihat dari perspektif Islam dinamakan 'debt
trading' atau menjual hutang. Ia difatwakan haram oleh Majlis Fiqh Sedunia
dan juga Majlis Shariah Badan Perakauan dan Kewangan Islam Sedunia (AAOFI)
iaitu apabila ia dijual lebih rendah dari harga asal hutang (secara
diskaun).

Untuk analogi mudah lagi ringkas, ia adalah seperti berikut:-

Encik David berhutang sebanyak RM 1 juta dari Encik Lingam. Encik David
dikehendaki membayar semula hutangnya sebanyak RM 1.5 juta dalam 5 tahun.
Ini bermakna Encik Lingam mengenakan RM 500,000 riba ke atas Encik David.

Tiba-tiba selepas dua bulan, atas sebab  tertentu, Encik Lingam perlukan
wang tunai dengan segera, untuk menyegerakan perolehan tunai, Encik Lingam
telah menjual hutang Encik David tadi kepada En Chua dengan harga yang lebih
rendah iaitu RM 1.3 juta. Walaupun harganya lebih rendahnamun Encik Lingam
puas hati kerana ia memperolehinya secara cash atau tunai.

(Inilah yang dimaksudkan jualan hutang secara diskaun, dan ia dianggap riba
oleh Ulama antarabangsa kerana wang ditukar dengan wang syaratnya mestilah
sama nilai)

Di hujung transaski, Encik Lingam berjaya perolehi wang tunai segera namun
sedikit berkurangan dari jumlah yang patut diperolehinya jika dia sanggup
menunggu selama 5 tahun.

Dan risiko menunggu bayaran hutang penuh oleh Encik David kini sudah
dipindah kepada En Chua, namun En Chua bakal menerima untung riba sebanyak
RM 200,000 pula dengan mudah.

Encik David tetap perlu membayar seperti biasa.

Berkemungkinan En Chua akan menjualkannya kepada Encik Mutu pula dengan
harga RM 1.2 juta.

Untuk memahami isu yang sedang dibincang, anda hanya menukarnya seperti
berikut:-

Encik David - Peminjam miskin dan tidak cukup syarat

Encik Lingam - Syarikat pemberi hutang seperti New Century Financial
Corporation

Encik Chua - Lehman Brothers dan lain-lain.

Encik Mutu - Semua bank yang membeli MBS ini dari Lehman, Merrill Lynch dan
lain-lain.

Maka apabila encik David gagal membayar hutang, semua pihak akan terancam.
Inilah yang berlaku.


Inilah namanya discounted debt trading,  ini dikenalpasti berlaku dalam kes
subprime. Iaitu apabila pihak bank pelaburan membeli MBS yang mewakili
hutang perumahan tadi, mereka telah membayar sejumlah wang yang besar, dan
kini mereka bergantung kepada bayaran hutang oleh peminjam-peminjam berisiko
tadi. Tiba-tiba peminjam gagal membayar dan sebahagiannya diisytiharkan
bankrupt meningkat, menyebabkan keuntungan yang pihak bank jangkakan tidak
kunjung tiba, sebaliknya kerugian pula menjelma.






KESAN TERBARU DI WALL STREET

Inilah yang berlaku kepada Lehman Brothers, sebuah syarikat gergasi di Wall
Street yang diasaskan oleh Lehman berbangsa Yahudi, ia mempunyai nilai aset
sekitar USD 600 billion (RM 2.4 trillion), syarikat ini juga mempunyai
25,000 pekerja di seluruh dunia. Tunjang bisnesnya adalah trading
fixed-income assets, penyelidikan, pengurusan pelaburan and private equity.
Syarikat ini runtuh kerana Riba, tamak dan sistem jualan hutang riba 'debt
trading'.

Lehman brothers adalah dealer yang terbesar dalam fixed interest security
(iaitu pelaburan pulangan tetap - riba) yang terbesar di pasaran Wall Street
dan mereka telah melabur dengan begitu besar dalam sijil-sijil boleh niaga
yang disandarkan kepada US Subprime mortagage market. Namun ia gagal menjual
lower rate MBS dari subprime yang dipegangnya. Dalam suku kedua tahun 2008
sahaja menyaksikan Lehman kerugian USD 2.8 billion dan terpaksa menjual
asetnya bernilai USD 6 billion. [7]

Seterusnya kerugiannya sebelum brankrup mencecah USD 7.8 billion, dan masih
terdedah kepada kerugian USD 54 billion dari pegangan mortgage backed
securities yang masih dimilikinya. Hasilnya, nilai sahamnya telah jatuh
lebih dari 95%.

Akhirnya pada 15 September 2008, bank ini telah memfailkan bankruptcy
chapter 11 [8], ketika itu statistik mencatakan Lehman mempunyai hutang
sebanyak USD 613 billion, USD 155 billion lagi hutang dalam bentuk bond atau
MBS tadi, dan asset keseluruhan mereka adalah bernilai USD 639 billion. [9]

Pada 22 September 2008 mereka telah 'ditelan' atau dibeli oleh sebuah lagi
gergasi lain iaitu Barclays Bank PLC yang mempunyai asset sebanyak USD 2.7
trillion (lebih kurang RM 9.18 trillion) [10]. Namun, Barclays hanya membeli
tunjang bisnes dan pentadbiran Lehman dengan harga USD 1.35 billion yang
merangkumi ibu pejabat Lehman yang bernilai USD 960 juta dan beberapa yang
lain. Untuk memahami betapa besarnya mereka, bandingkan dengan Aset Maybank
Group yang hanya sekitar RM 260 billion. Bayangkan..

Selain itu, hasil dari masalah pinjaman riba tadi juga turut menyaksikan
kejatuhan gergasi bank iaitu Merrill Lynch, sebuah bank pelaburan terkenal
yang terpaksa dijual kepada Bank of America dengan harga USD 50 Billion
untuk menyelamatkan dirinya.

Seperti Lehman Brother, Bank Merrill Lynch juga mengalami kerugian teruk
akibat sijil-sijil pinjaman yang dipegangnya mengalami kejatuhan nilai
setiap hari, menyebabkan pelaburnya kebimbangan. [11] Semuanya hasil
ketamakan dan kini bala dari industri RIBA sudah tiba.

Bertali arus dari isu ini juga, sebuah gergasi insuran iaitu AIG turut
menderita sekarang dan memerlukan suntikan wang segera bernilai berbillion
dolar. Mereka telah memohon pinjaman kecemasan dari kerajaan Amerika yang
dilaporkan bernilai USD 40 Billion.

Sebenarnya, setiap MBS yang dipegang oleh bank-bank pelaburan ini telah
mendapat jaminan tidak akan berlaku default atau kegagalan pembayaran dari
pihak peminjam, jaminan ini diberikan oleh dua syarikat tajaan kerajaan
(Government Support Enterprises) yang besar iaitu Federal National Mortgage
Association (Fannie Mae) dan Federal Home Loan Mortgage Corporation
(Freddie Mac), yang mana mereka menjamin US mortgage market dengan nilai USD
6 trillion dari keseluruhan USD 12 trillion industri pinjaman perumahan US.
Namun akhirnya, mereka turut 'gulung tikar' dan diambil alih sepenuhnya oleh
Kerajaan US.[12]

Selain dari nama-nama yang disebut tadi, banyak lagi bank-bank pelaburan
gergasi di Wall Street seperti Bear Stearns,  Goldman Sachs, dan Morgan
Stanley  terlibat dalam perniagaan sekuriti hutang. Justeru gergasi-gergasi
ini juga sedang berpeluh kerisauan tentunya.


KESAN KEPADA ANDA?

Benar, anda tiada buku bank dan cek di bank-bank yang disebut tadi kerana
mereka adalah bank pelaburan dan hanya berurusan dengan transaksi kewangan
atas angin yang berniali billion dan ratus jutaan dollar. Kebanyakan
financial instruments yang di gunakan oleh mereka untuk menghasilkan
keuntungan juga jatuh merudum seperti derivatives.

Selaku individu biasa, anda memang tidak merasa kesannya secara langsung,
namun ia akan datang secara tidak langsung.

Paling tidak, kejatuhan Lehman yang begitu besar memberikan kesan automatik
kepada kejatuhan pasaran saham, harga saham-saham lain juga turut terkesan
disebabkan pelbagai faktor sampingan lain seperti kepanikan pelabur yang
dengan segera menjual saham-saham mereka.

Selain itu, oleh kerana Lehman adalah sebuah bank yang cukup besar, banyak
bank-bank yang lebih kecil berurusan dengannya samada sebagai pelabur dan
penyimpan. Semua bank-bank ini akan turut merasa kepanasannya.

Telah saya nyatakan tadi, gergasi insuran konvensional Riba iaitu AIG juga
sedang bermasalah, jika ini gagal diselesaikan, semua syarikat di seluruh
dunia yang punyai bisnes dengan AIG bakal merasai bencananya dan memburukkan
lagi seluruh sistem ekonomi kapitalis ini.

Selain itu, setiap bank yang ada berurusan dengan Lehman Brothers juga
mendapat tamparan secara langsung, lebih teruk lagi, bank-bank ini bakal
gagal menunaikan janji mereka kepada para depositor di bank mereka,
terutamanya bagi produk-produk fixed deposit. Pihak bank akan gagl
memberikan kadar bunga yang dijanjikan. Lebih teruk dari itu, wang orang
arami juga boleh hilang terus, tatkala itu syarikat insuran akan 'bungkus'
juga.

Di United Kingdom, jika anda menyimpan di bank-bank tempatan, sekiranya
terdapat mana-mana bank di UK lingkup akibat kesan di USA, simpanan yang
terjamin selamat hanyalah £ 50,000 sahaja. Demikian tegas The Financial
Services Authority (FSA). [13] Sebagai contoh, Jika anda punyai simpanan
sebanyak £ 120,000, kemudian jika bank di UK jatuh bankrupt, semua wang
simpanan akan hilang kecuali £ 50,000 sahaja yang akan dibayar semula kepada
penyimpan.

Selain itu, semua kesan yang akan berlaku kepada Amerika bakal member kesan
kepada ekonomi mana-mana negara yang banyak bergantung kepadanya, termasuk
Malaysia.

Jika benar berlaku hyperinflation di Amerika, kita akan dapat melihat betapa
banyak kesannya kepada Malaysia termasuk anda dan saya juga.


PANDANGAN ISLAM

Saya ringkaskan begini :-

1)       Sistem Islam terlibat dalam real market yang meniagakan aset dan
bukannya mengenakan interest atas pinjaman wang dan penjualan hutang seperti
yang banyak dilakukan di financial market, malah yang kebanyakannya tiada
pun transaksi sebenar, fizikal dalam bentuk aset. Keadaan ini membuka ruang
spekulasi yang berlebihan dan perkembangan industri riba yang akhirnya jatuh
merudum.


2)       Sistem Islam tidak membenarkan kita memberikan pembiayaan peruamhan
kepada mereka yang tidak punyai potensi untuk membayar semula, Ia memang
kelihatan tidak toleran namun ia adalah sangat toleran dan lebih baik kerana
tidak menghimpit mereka yang tidak mampu dengan hutang baru yang pastinya
tidak akan mampu dibayar.



3)       Sistem Islam tidak menggalakkan hutang dan perkembangan industri
hutang di luar kemampuan. Namun sistem jualan hutang (debt trading)
meningkatkan potensi beban hutang lebih dari kemampuan sebenar. Jualan
hutang yang dibenarkan oleh Islam hanyalah jika pada harga yang sama sahaja.


Berbeza dengan konvensional yang menjadikan jualan hutang dengan diskaun
sebagai trend popular untuk mendapatkan kecairan.


Namun demikian, sebahagian besar ulama kewangan Islam di Malaysia
membenarkan jualan hak hutang dengan harga lebih rendah dari niali hutang
atas ijtihad mereka bahawa yang dijual bukanlah wang, tetapi hak maliah atau
hak kewangan. Pandangan ini ditolak oleh majoriti ulama antarabangsa.


Prof. Dr Monzer Kahf berkata dalam konteks ini:-

Two main points are essential in this regards: elimination of debt trading
in the Islamic econo-finance system is important. This is an essential
result of the prohibition of Riba.

Once debts are no more discounted and traded, the financial market cannot be
stretched beyond what the real sector can bear. In fact financing shall
always be less that real market transaction because financial institutions
require that certain portion of the transaction be financed by the parties
themselves from equity.

This avoid the chain repercussion of any debt failure and this is a major
cause of the trouble of major finance institutions in this crisis. The
second lesson is never finance non- real transactions. that is eliminating
most of the derivatives and their transactions that are essentially
speculative and do not add value to the economy.

Besides these two points we have the moral issues of Islamic economics, but
that is a little remote from the finance mentality and it is long term by
definition and nature.


4)       Sistem Islam, tidak membenarkan  pelaburan dengan janji pulangan
tetap sebagaimana yang dilakukan oleh MBS subprime. Ini akhirnya membebankan
semua pihak terutamanya pihak yang berjanji, walaupun padaawalnya kelihatan
menguntungkan. Bayangkanlah, pihak yang berjanji itu bukanlah kecil malah ia
sebesar Lehman Brother.


Namun Allah SWT maha berkuasa atas segala sesuatu. Sistem Islam hanya
membenarkan sistem pelaburan Mudarabah dan Musharakah. Kedua-duanya punyai
cara dan undang-undang tersendiri dalam pengendalian kerugian, dan ianya
adalah adil dan saksama, tidak seperti sistem kapitalis dan riba yang
menimpa USA. Jika sistem pelaburan Islam diaplikasi, bencana seperti yang
berlaku kepada subprime tidak akan menjadi seteruknya. (Maaf saya tiada
kesempatan untuk menghuraikan kedua-dua sistem itu dengan terperinci dalam
tulisan ini).


Sistem kewangan Islam juga mempunyai sijil niaga seperti MBS, namun ia di
dasari oleh aqad Musharakah, Mudarabah, Ijarah dan lain-lain.


5)       Apa yang berlaku juga adalah hasil sistem ekonomi free market,
iaitu membiarkan industri menentukan halatuju tanpa kawalan.Sistem ekonomi
Islam menganjurkan kawalan pasaran oleh kerajaan dalam bentuk yang
sewajarnya, sistem hisbah turut wujud bagi memantau aktiviti pasaran.
Sebagai contoh, cara pembelian saham short selling adah haramdi sisi Islam,
ia tidak dibenarkan di Malaysia, namun ia dibenarkan di Wall Street. Setalah
kejatuhan teruk ini pada 19 September 2008, barulah mereka terkial-kial
mengharamkan pembelian dan penjualan secara short selling terhadap 799 saham
di Wall Street. Ini mewujudkan lebih ramai spekulator dan merosakkan
penentuan demand and supply yang sebenar. Hasilnya, nilai sebenar terhalang
oleh aktiviti spekulator.

ADAKAH SEMUA NEGARA TERMASUK NEGARA UMAT ISLAM AKAN TERKESAN

Satu persoalan yang timbul adalah adakah kejatuhan Wall Street akan
pengaruhi nilai Dollar dan akhirnya menggangu guat semua nilai matawang
dunia.? Bagaimana dengan negara umat Islam.?

Jawapannya, sudah tentu negara yang mengikat dan bersandar kepada ekonomi US
akan merasai kesannya. Demikian juga mereka yang banyak berurusan dengan
bank-bank US. Namun negara-negara Arab mungkin sedikit berbeza. Dr Monzer
berkata :-

Although many Arab countries tie their currencies to the US$ but their
economies are not in fact largely dependent on the American economy. They
depend largely on their own resources and the momentum of domestic
infrastructure and construction sector.

Further, I don't think that finance markets in the gulf, Egypt, Turkey and
other Arab countries are dependent on the American financial market, I think
whatever these emerging markets are facing now is caused by local policy and
construction rather than on the effect of the American finance sector,
especially a good proportion of the banking system in the Gulf countries has
already moved to Islamic finance that in fact shielded it from the current
credit crisis that is basically a debt and mortgage crisis and Islamic
finance in the ME does not trade debts. [14]

Justeru, Malaysia perlu melepaskan diri sedikit demi sedikit dari bergantung
kepada USD dalam urusniaga antarabangsanya. Jika tidak, kita pasti akan
terkesan dengan masalah ekonomi USA.

Sekadar itu dahulu yang sempat dan mampu dihuraikan. Diharap memberikan
sedikit manfaat kepada kefahaman pembaca web ini berkenaan krisis ekonomi
USA tahun 2008 ini.



Sekian.

WALLAHU'AKLAM




--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
=============================================================== 
UNTUK DIPERHATIKAN:
- Wajib mematuhi Peraturan Palanta RantauNet, mohon dibaca & dipahami! Lihat di 
http://groups.google.com/group/RantauNet/web/peraturan-rantaunet
- Tulis Nama, Umur & Lokasi anda pada setiap posting
- Dilarang mengirim email attachment! Tawarkan kepada yg berminat & kirim 
melalui jalur pribadi
- Dilarang posting email besar dari >200KB. Jika melanggar akan dimoderasi atau 
dibanned
- Hapus footer & bagian tdk perlu dalam melakukan reply
- Jangan menggunakan reply utk topik/subjek baru
=============================================================== 
Berhenti, kirim email kosong ke: [EMAIL PROTECTED] 
Daftarkan email anda yg terdaftar pada Google Account di: 
https://www.google.com/accounts/NewAccount?hl=id
Untuk dpt melakukan konfigurasi keanggotaan di:
http://groups.google.com/group/RantauNet/subscribe
===============================================================
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke