Bulan Ramadan adalah satu bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran.
Bulan yang diturunkan rahmat dan berkat.
Bulan diampunkan dosa.
Bulan yang kebaikannya diganda-gandakan Tuhan.
Bulan yang didalamnya berlaku Lailatul Qadar.
Yang mana siapa yang dapat beribadah tepat pada malam Lailatul Qadar
seolah-olah dipanjangkan umur. Seolah-olah mereka pernah beribadah selama lebih
1000 bulan, yakni lebih dari 83 tahun. Inilah antara Rahmat Tuhan kepada orang
yang bertaqwa atau yang bercita-cita menjadi orang bertaqwa. Ini satu anugerah
Tuhan.
Ini menunjukkan bulan Ramadan adalah raja segala bulan. Pada bulan ini, Tuhan
menyuruh kita berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malamnya. Oleh
kerana Tuhan hendak memberi pahala yang besar, terutama yang mendapatkan
Lailatul Qadar, ini mesti ada rahsia dari Tuhan, mengapa Tuhan pilih bulan
Ramadan, mengapa begitu besar pahalanya di sisi Tuhan. Ini tak berlaku di
bulan-bulan lain. Lebih-lebih lagi dosa-dosa kita semua diampunkan.
Kejadian Manusia
Kalau kita hendak bercerita mengenai hal ini, ia ada hubungan dengan kejadian
manusia itu sendiri. Mungkin kebanyakkan orang tidak mengetahui yang manusia
itu kejadiannya terdiri daripada 4 unsur. Iaitu:-
1. jasad lahiriah
2. akal
3. roh
4. nafsu.
* Peranan jasad hanya bertindak, berbuat, melaksana.
* Peranan akal menerima ilmu, menerima maklumat. Samada maklumat itu betul atau
tidak, memberi manfaat atau tidak, dia hanya mengumpulkan saja maklumat itu.
* Peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Saya ulang lagi, peranan nafsu
merangsang dan berkehendak. Kehendak samada yang baik atau yang buruk, halal
atau haram, positif ataupun negatif..
* Peranan hati hanya semata-mata merasa. Rasa-rasa itulah yang datang dari
akal, dari fizikal, dan yang datang dari tindakan nafsu. Hati atau Roh ini
umpama raja di dalam diri manusia.
Jadi kalau nafsu, akal dan fizikal baik, dia akan membangunkan jiwa2 yang baik.
Kalau nafsu, akal dan jasad jahat maka roh atau hati yang merupakan raja dalam
diri dia akan jahat,
Kalau roh baik, maka baiklah hati.
Ini kita dapat lihat atau boleh kita misalkan raja sebuah Negara. Kita lihat
kadang-kadang raja itu jadi jahat oleh orang dikiri dan kanannya, iaitu
pemimpin-pemimpin yang rosak. Tetapi kadang-kadang raja itu menjadi baik, juga
akibat orang-orang di kiri kanannya, macam penasihat yang baik, maka jadi
baiklah raja itu.
Jadi kejadian manusia ini Tuhan yang menjadikannya. Tuhan Maha Mengetahui
bagaimana manusia itu boleh menjadi baik dan bagaimana menjadi jahat, sebab itu
Tuhan dengan kuasanya, kalau manusia itu jahat bagaimana Tuhan mengubatnya,
kalau dia sudah baik bagaimana hendak dijaga supaya dia tidak menjadi jahat
semula.
Manusia yang ada 4 unsur tadi di waktu alam roh, sebelum dilahirkan tubuh
kasarnya, dia sudah kenal Tuhan, taat dan takutkan Tuhan dan dia sangat baik.
Tetapi apabila roh sudah masuk dalam sarangnya [jasad], lalu dilahirkan bersama
sarangnya, maka tiga unsur yang lain tadi yang boleh mempengaruhi hatinya,
sekiranya baik, maka roh manusia yang jadi raja diri itupun menjadi baik.
Pada manusia itu sebenarnya ada unsur malaikat, syaitan, haiwan dan manusia.
Kalau begitu, berdasarkan unsur-unsur tersebut,maka manusia boleh menjadi
malaikat yang berupa manusia, atau binatang atau syaitan yang berupa manusia..
Bila manusia kekal sebagai manusia maka dia normal.
Tidak boleh dikatakan manusia malaikat atau manusia haiwan, tidak boleh juga
dikatakan manusia syaitan. Manusia normal ini biasa sahaja.
Tuhan lahirkan manusia itu untuk dijadikan manusia malaikat, yang luarannya
berupa manusia, rohnya pula bersifat malaikat, baru boleh menjadi orang
bertaqwa.
Kuliah ini terasa susah sikit jadi kena berhati-hati yang mendengar lagi susah.
Kena ambil perhatian kalau tidak dia mudah mengantuk dan bosan. Tajuk ini
penting.
Hakikatnya, Tuhan teramat tahu kelemahan manusia yang mana dalam satu tahun ada
12 bulan manusia hidup, bergerak, dengan aktiviti, berjuang, berjihad, bekerja,
berfikir. Selalunya majorit akal dan nafsulah yang mempengaruhi hatinya.i
Menjadikan roh manusia itu rosak. Jika sudah sedia rosak bertambah rosak. Kalau
dia sudah baik, roh yang asal kejadian bersifat malaikat, turun pada martabat
manusia, iaitu normal. Jarang yang sudah rosak bertambah baik. Yang baik
ertinya sewaktu bersih itu digilap sampai bercahaya. Yang sudah bersedia
bercahaya, bertambah lagi pancaran cahayanya. Perkara ini jarang berlaku, ia
berlaku pada golongan sedikit.
Sebab itu Tuhan ingatkan dalam Quran, "Hanya sedikit hamba-hambaKu yang
bersyukur".Maka disinilah dengan Rahmat dan kasih sayang Tuhan, Tuhan tentukan
pada orang Islam, 12 bulan itu diadakan satu bulan untuk baiki diri dalam
setahun. Diri yang sudah rosak sepanjang 11 bulan, dirosakkan oleh nafsu
terutamanya. Yang kedua dirosakkan oleh cara berfikir kerana menerima maklumat2
yang salah dan dirosakkan oleh fizikal, arahan nafsu dan akal.
Maka dengan kasih sayang Tuhan dijadikan sebulan dalam setahun itu supaya
manusia itu tidaklah rosak selama-lamanya. Sebulan itu kita diajar bagaimana
hendak membaiki diri. Dengan keadilan dan kasih sayang Tuhan daripada 12 bulan
itu, sebulan dipilih untuk dipost mortem atau overhaul. Ibarat kereta yang
sudah 11 bulan digunakan, lebih-lebih lagi tidak berhati-hati, dilanyak sesuka
hati, maka sebulan tu waktu overhaul. Masuk workshop lalu enjin, wire, body,
dibetulkan semula.Setelah di overhaul, kereta pulih, enjin baik, body baik,
dipandu pun selesa.
Mentadbir dunia
Begitulah manusia, Tuhan tahu, kebanyakan manusia, dalam masa 11 bulan itu hati
mereka mudah rosak Dirosakkan oleh nafsu, akal dan fizikal. Bagaimana nafsu
merosakkan? Tuhan hantar kita ke dunia, disuruhNya kita mengambil dunia,
mentadbir dunia, untuk diagih2kan pada orang lain, untuk berkhidmat pada orang
lain. Maka tercetuslah kasih sayang, pembelaan, perkhidmatan. Orang yang malang
dapat dibela, orang yang miskin dapat dipertanggung jawabkan. Akhirnya lahir
kasih sayang antara satu sama lain. Bukannya kita didatangkan ke dunia
mengambil dunia dan untuk cintakan dunia! Saya ulang lagi, Tuhan datangkan
manusia ke dunia, untuk mengambil dunia, menggunakan dunia untuk berkhidmat,
dan menolong orang. Supaya dengan itu lahir kasih sayang. Supaya tidak berlaku
jurang antara orang kaya dan miskin, antara yang di atas dan yang di bawah,
antara pemimpin dengan rakyat. Tuhan mahu kita ambil dunia untuk berkhidmat,
untuk mendapat pahala. Untuk dapat melahirkan kasih sayang, bukan
untuk dicintai. Yang wajib dicintai hanya satu yaitu Allah. Jadi konsep
berhadapan dengan dunia kenalah dibetulkan. Sebab selama ini kita sudah salah
faham. Ada orang ambil dunia bukannya dengan dunia itu dapat melahirkan kasih
sayang dengan orang lain, sebab dia sudah jatuh hati dengan dunia.
Bila jatuh hati apa yang terjadi? Ini kerja nafsulah. Bila sudah jatuh hati,
datanglah rangsangan, datanglah berkehendak. Itulah kerja nafsu. Yang
dimaksudkan dunia itu bermacam-macam. Yang besarnya harta, jawatan, kekuasaan,
pangkat, darjat, pengikut yang banyak, nama, glamour. Ini dunia.
Jadi bila kita biarkan nafsu berperanan tanpa dididik, tanpa diikat dengan
sifat takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, akhirnya Tuhan tidak dicintai atau
ditakuti, lalu manusia itu akan cinta sungguh dengan dunianya.
Bila dunia dicintai apa yang akan terjadi dengan kehidupan terutama dengan
perasaan?. Bila tidak dapat hati menjadi susah, bila mahu mendapatkannya,
berusaha bertungkus-lumus pagi petang.
Kadang-kadang sampai terlupa uruskan diri sendiri, betapalah hal-hal lain, hal
syariat, kerana yang dicinta belum dapat, yang dikasihi belum dapat..
Bertungkus-lumus untuk mendapatkannya sampai tidak kira halal dan haram.. Bila
sudah didapati, berubah pula jadi negatif. Datang perasan sayang, tamak, bakhil
yang membuatkan tidak terfikir lagi bagai mana mahu berkorban dan berjuang di
jalan Allah untuk menegakkan kalimatullah.
Kemudian bila tidak dapat juga datang pula penyakit lain. Hasad dengki dengan
orang lain yang mendapatnya. . Mungkin boleh sampai bertindak ke atas orang
itu, seperti dia memfitnah, dijatuhkan maruahnya atau sehingga sanggup pula
membunuh.
Side effect yang lain, sifat-sifat itu bila diketahui oleh orang lain dalam
pergaulan, orang lain pun benci, marah, tidak suka, berhasad dengki. Akhirnya
unsur-unsur perbalahan akan wujud. Unsur-unsur pergaduhan pun terwujud. Kalau
tidak dibendung lama-lama membawa kepada peperangan. Ini semua berpunca
daripada cinta dunia.
Sebab itu Rasulullah SAW bersabda ." Hubbuddunya ra'su kulli khatiah
"
Rasulullah SAW bersabda, cinta dunia ibu segala kesalahan.
Rasulullah tidak sebut ibu segala kejahatan. Khatiah itu dalam bahasa Arab,
jika diterjemah pada lafaz maknanya kesalahan, bukan kejahatan. Ini ada maksud
disebaliknya. Ada orang menterjemahkan - ibu segala kejahatan- sebenarnya tidak
begitu. Khatiah itu maknanya kesalahan. Ertinya buat salah dulu, tersalah dulu,
tersilap dulu baru datang kejahatan. Dalam berbagai-bagai bentuk.
Pembersihan Roh
Rasulullah SAW juga berkata, cintakan Tuhan itu ibu segala kebaikan. Tetapi
kalau dunia dicintai maka berlakulah sebaliknya iaitu ibu segala kesalahan.
Bila sudah salah, salah meletakkan cinta dunia tadi, maka akan berbuah segala
kejahatan yang berbagai-bagai. Jadi kalau nafsu itu jahat, sudah cintakan dunia
maka dia akan memberikan kesan kepada roh. Saya sudah kata roh itu tugasnya
hanya berperasaan. Kalau akal, nafsu dan fizikal sudah jahat, yang jahat itulah
yang menjadi penasihat pada roh. Apa akan berlaku pada perasaan? Bukannya akan
lahir perasaan yang positif. Berkasih sayang, takut, bertimbang rasa,
berperikemanusiaan, mengutamakan orang lain, tidak berlaku begitu. Akan datang
sakit hati, sombong, megah, rasa berdendam, rasa tidak mahu maafkan orang,
tidak mahu meminta maaf.
"Kalau minta maaf jatuh wibawa aku, kalau aku bagi maaf pun jatuh wibawa."
Timbul perasaan-perasaan negatif bukan positif. Sebab itu yang akan dapat
nikmat nanti dan yang akan kena azab ialah roh, roh yang kekal. Bukannya nafsu,
fizikal dan akal. Jadi Tuhan tahu hal ini, kesan daripada tidak terdidiknya
akal, nafsu dan fizikal ini akan mempengaruhi roh. Roh yang kena azab. Maka
sebab itu dengan kasih sayang Tuhan, Tuhan bagi orang Islam bulan Ramadhan
dengan tujuan membaiki 4 unsur (4 anasir). iaitu dapat betulkan semula rohnya,
nafsunya, akal dan fizikalnya.
Setengah orang itu bila boleh membaiki diri di dalam bulan Ramadan dia akan
mendapat kekuatan sampai ke Ramadhan yang akan datang. Bila datang Ramadhan
akan datang, roh yang sudah bersih itu tinggal digilap sahaja supaya bercahaya.
Roh yang tidak hitam tetapi ada habuk-habuk, ringanlah sedikit, bila datang
Ramadan akan datang maka kalau dia beribadah, habuk itu terbuang,tidaklah
begitu teruk membersihkannya. Roh yang bersih, itu orang soleh. Kalau roh
bercahaya itu orang bertaqwa, muqarrabin. Orang soleh dalam golongan Ashabul
Yamin, .Mereka akan banyak dihisab tetapi tidak dimasukkan ke dalam neraka,
cuma akan susah dihisab. Tetapi kalau roh itu bercahaya, datangnya Ramadhan
lagi tambah kilauan cahayanya, darjatnya semakin naik. Bagi yang belum sampai
ke peringkat wali, bila datang Ramadhan lalu Rohnya semakin bersih bercahaya
lagi, jadilah wali, InsyaAllah orang begini termasuk golongan Muqarabin yang
sedikit itu. Di akhirat dia akan termasuk golongan bighairi hisab,
tidak payah dihisab. Yang tadi Ashabul Yamin, kena hisab. Orang kena hisab
ni macam kita pergi ke luar Negara, imigresen dan kastam periksa. Jika tiada
masalah terlepaslah tapi mungkin mengambil tempoh 3 jam. Di dunia 3 jam pun
sudah susah. Di sana kalau ditahan, bukan 3 jam mungkin 50 tahun, mungkin 100
tahun. Cuma tidak kena azab sahaja.
Jadi Tuhan tahu dimana kekuatan dan kelemahan manusia, maka Tuhan suruh kita
baiki di bulan Ramadhan. Sebab itu kalau orang boleh pulihkan semula rohnya
yang hitam jadi kelabu, yang kelabu dibersihkan habuknya, yang bersih
dicahayakan, kemudian bersih dan bertambah darjat kilauan cahayanya, Tuhan bagi
pahala berganda-ganda, diampunkan dosanya.
Bila mendapat Lailatul Qadar, Tuhan bagi seolah-olah dia beribadah lebih 83
tahun. Kalau dia dapat 3 kali Ramadan Lailatul Qadar, dan dia berjaya
memutihkan dan mencahayakan rohnya ertinya dia hidup beberapa ratus tahun!
Lailatul Qadr
Lailatul Qadar ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW tidak mendapatnya.
Tetapi dengan keadilan Tuhan, masing2 dapat menjadi baik, sama2 mendapat
kemudahan.Orang zaman dahulu panjang umur, kita pendek umur, tapi boleh
mendapat pahala yang sama. Sebab itu umat dahulu ada yang berumur 200 thn, 400
thn. Jika 100 thn dahulu masih dianggap pemuda. Mana yang bernasib baik, sampai
500 tahun, Pada zaman kita sekarang, 20 thn itu muda remaja. Tetapi umat
dahulu,mereka tidak mendapat Lailatul Qadar, tidak dapat Ramadan. Rasulullah
SAW dipendekkan umur umatnya tapi dilebihkan pahala. Itulah kebesaran
RasulullahSAW, dengan kerananya kita mendapat rahmat.
Jadi sebab itu saya ulang lagi, Tuhan tahu kita ini dipendekkan umur tetapi
dikurniakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mana hendak mendapatkan
Lailatul Qadar tu bukanlah mudah dan satu kebiasaan. Ibadah puasa yang dibuat
itu mestilah sampai dapat memberi cahaya pada hati, paling tidakpun dapat
membersihkan hati, hingga menjadi orang soleh yakni golongan Ashabul Yamin.
Kalau hati itu sampai bercahaya-cahaya, itu tersangat hebat!. Jadi mari kita
lihat, munasabahkah hendak mendapat pahala berganda-ganda, menasabahkah hendak
mendapat pahala lebih 1000 bulan, apakah sebabnya yang sampai begitu mujarab,
ini jarang dikaji orang.
Tiga Pakej Hadiah Ramadan
Bulan Ramadhan dengan peranannya untuk overhaul manusia ini, mengandungi 3
pakej [package] yang besar yang boleh menjadi ubat untuk membaiki manusia. Yang
lain-lain selain 3 pakej itu kalau adapun, sebagai sampingan saja [eg
bersedekah]. Tiga pakej yang besar ini kalau kita fahami dan hayati, InsyaAllah
kita boleh membaiki diri, memang logik Tuhan akan mengampunkan, memang logik
Tuhan menggandakan pahalanya. Memang munasabah Allah hendak kurniakan pahala
berganda sampai seolah-olah 83 tahun. Ada 3 pakej yang sangat besar. Kalau ada
ilmu ini dan kita hayati betul-betul boleh menjadi ubat yang sangat mujarab
PERTAMA :Berpuasa di siang hari. Apa takrif puasa? Takrif puasa pada saya ada
dua, dengan erti kata lain, puasa ada 2 definisi. Yang pertama mempertahankan
syarat rukun jangan sampai terbatal, ini ada takrifnya yang tersendiri. Apa
takrifnya? Wajib dijaga puasa itu jangan sampai terbatal syarat rukunnya.
Setakat ini, puasa itu ibarat membangunkan rumah, sudah ada rangkanya tetapi
tidak lengkap. Takrifnya: menahan diri di waktu siang daripada makan dan minum
serta tidak bersama dengan isteri. Puasa takrif ini setakat tidak membatalkan
syarat rukun sahaja. Pahala belum tentu dapat lagi hanya mendapat lapar dan
dahaga, keampunan belum tentu dikurniakan lagi, inikan lagi Rahmat. Kalau
setiap kali Ramadan, dia beribadah di malam Lailatul Qadar pun tidak tentu dia
memperoleh pahala 1000 bulan sebab dia hanya dapat mempertahankan syarat yang
rukun saja. Itu takrif yang pertama iaitu tidak makan, tidak minum dan tidak
bersetubuh dengan isteri di siang hari. Inilah puasa
kebanyakan manusia. Puasa begini setakat merehatkan dan menyihatkan fizikalnya
sahaja. Definisi yang kedua, ada tambahan dalam ROH PUASA , Itu, ertinya
menahan diri daripada perasaan-perasaan negatif, akalnya turut berpuasa iaitu
dia tidak berfikir perkara-perkara yang dilarang Tuhan. Dia hanya berfikir
mengenai ilmu yang mendatangkan pahala. Begitu juga dia menahan nafsunya
daripada kehendak-kehendak yang Tuhan tidak suka iaitu mengambil dunia kerana
cintakan dunia, Itu takrif kedua. Saya ulang lagi takrif kedua puasa itu iaitu
menahan hati dari perasaan negatif seperti marah, hasad dengki, cinta dunia,
tamak, haloba, dendam, sakit hati dan lain-lain. Kehendak nafsu itu bukan
bertujuan untuk mencintai dunia tetapi dia mengambil dunia itu untuk dapat
diagih-agihkankan, untuk berkhidmat, untuk dikorbankan pada Tuhan. Dari situ
lahirlah kasih sayang, perpaduan, lahirlah pembelaan. Ini takrif yang kedua.
Puasa takrif kedua inilah kalau dibuat boleh mendatangkan rahmat, berkat
dan pahala Lailatul Qadar yang menyamai seribu bulan. Pada peringkat ini
takrif pertama masih dipenuhi juga iaitu tidak membatalkan syarat rukun.
Apa kata Rasulullah? Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa
dari puasanya kecuali lapar dan dahaga."
Jadi bukan semua yang berpuasa itu pada menempuh Lailatul Qadar, dia mendapat
rahmat. Bukan semuanya mendapat berkat. Bukan semuanya mendapat keistimewaan.
Kalau berpuasa sekadar setakat menjaga syarat rukun sahaja, hanya mendapat
lapar dan dahaga. Jangan-jangan, selepas Ramadahan sifat-sifat negatif lagi
subur. Setengah orang bulan Ramadan umpama bulan pesta makanan dan minuman
serta pesta pakaian. Yang selama ini belum dibeli dia beli. Sudah ada 3 pakaian
baru, beli lagi 2. Sudah ada 5, beli lagi 2-3 helai. Itu baru pakej yang
pertama. Kalau benar-benar berpuasa mengikut takrif 1 dan 2, memang boleh
terbunuh mazmumah, roh jadi bercahaya. Kalau tidak bercahaya pun sudah bersih.
Itu sudah cukup. Tapi itu baru satu pil ditelan, sedangkan ada dua lagi.
KEDUA : Kalau ditambah dua pil lagi roh manusia boleh meningkat ke taraf
seperti malaikat iaitu dengan BERSEMBAHYANG. Sebab itu Tuhan suruh melebihkan
sembahyang di bulan puasa iaitu dengan solat witir dan tarawih. Tentang
sembahyang saya tidak perlu jelaskan, ingatkah balik kuliah sembahyang yang
membina peribadi agung, boleh menjadikan bangsa agung. Kuliah Mikraj Solat yang
mana di dalam sembahyang itu ada bermacam-macam ubat. Kalau dua takrif puasa
tadi dihayati bersungguh-sungguh disertakan sembahyang fardhu sahaja, tidak
tarawikh pun tidak mengapa, tidak selawat, wirid atau membaca AlQuran dengan
syarat puasa itu betul-betul menjadi ubat.
Apa erti solat tarawih dan membaca AlQuran kalau puasa kita di siang hari tidak
bernilai. Tetapi oleh kerana kita tidak tahu, kita tiada ilmu, Tuhan bagi tahu
fungsi puasa
. itulah yang saya maksudkan.
Kita tidak tahu puasa kita menjadi ubat atau tidak, kenalah kita solat tarawih,
baca AlQuran untuk menampung kelemahan puasa kita. Jadi, ubat atau pil kedua
dalam pakej ini ialah sembahyang, tidak payah disyarahkan lagi. Semua sudah
dengar.
KETIGA :Pil ke tiga ialah membaca Al Quran.Baca Quran itu kalau boleh
dikhatamkan. Kalau tidak khatam tidak mengapa, seberapa yang boleh dibaca
hayati betul-betul. Masya Allah AlQuran itu, Tuhan sendiri memberitahu di dalam
Quran, kalau dibaca ayat-ayat Tuhan itu, menggeletarkan hati, badan boleh
menggeletar. Tuhan sendiri beritahu dalam AlQuran, bila orang membaca AlQuran
dan mengambil ingatan tentang cerita2nya, ia boleh memusnahkan nafsu yang
jahat. Hati yang keras jadi lembut, perasaan yang jahat boleh tukar menjadi
pada perasaan yang positif.Kalau kita hayati AlQuran, dalamnya ada tabsyir
(khabar gembira) seperti orang yang baik akan dikurniakan syurga dan
diampunkan. Yang penting kena difahami dan dihayati. Bukan perlu banyak, satu
juz pun tidak mengapa kalau kita hayati.
Di dalam AlQuran ada tanzir (khabar menakutkan); itu sangat memberi kesan
kepada roh. Sangat membunuh nafsu jahat, sangat membangunkan akal. Begitu jua
ada cerita orang soleh dan orang jahat untuk dijadikan pengajaran. Yang baik
jadi teladan, yang jahat jadi sempadan.
Ada bermacam-macam ilmu lagi yang sangat mempengaruhi akal kita, yang akhirnya
mempengaruhi hati. Jadi kalau Quran itu benar-benar dibaca boleh menjadi ubat,
yang menghidupkan akal, selepas tu dituju pada nafsu, nafsu akan menjadi baik
hingga memberi kesan kepada roh. Maka roh pun perasaannya positif. Hatinya
menjadi baik. Paling tidak bersih. Tapi kalau orang bersungguh-sungguh lagi
bercahaya rohnya.
Kalau tiga pil ini dihayati menasabahlah dapat pahala yang besar itu.
Jikalau hanya 3 perkara sahaja yang dapat ditahan, tidak makan, tidak minum,
tidak bersama isteri, tetapi yang lain tidak berpuasa, nafsu tidak berpuasa,
akal tidak berpuasa, RasulullahSAW kata kita hanya mendapat lapar dan dahaga,
walaupun dia menempuh Lailatul Qadar. Tetapi Rahmat tidak dapat, keampunan dan
berkat tidak dapat, pahala yang berganda-ganda tidak dapat, doa yang makbul pun
tidak dapat.
Macam orang menunaikan haji, bila dapat haji mabrur itu seolah2 orang itu baru
dilahirkan dari perut ibu, ertinya habis bersih dosanya. Tetapi mudah kah?
Kalau kita baca di dalam kitab ada orang mendapat alamat, ada orang dimimpikan
seribu tahun dulu, dalam 70 000 yang membuat ibadah haji, yang diterima hanya
70 orang. Itu waktu dulu, kalau pada zaman sekarang bolehkah mendapat pahala
haji mabrur bila menyiku orang, melompat orang, berkasar dengan jemaah lain?
Begitulah kalau kita mendengar cerita Ramadan, seolah-olah selepas Ramadan
manusia baru lahir dari perut ibunya, bersih. Itu bukan mudah, kalau ikut
takrif pertama sahaja hanya mendapat lapar dan dahaga saja, serta kepenatan.
Tapi kalau masuk takrif kedua, setidak2nya itu puasa orang soleh, di atas
daripada itu, puasa orang muqarabin, di bawahnya itu puasa orang fasik.
Fasik itu terbagi dua, ada yang hitam kelabu rohnya, ada yang hitam pekat!
Jadi itulah dia sebab mengapa Tuhan memerintahkan kita berpuasa, ada rahsia
disebalik kejadian manusia itu sendiri.
Tuhan mahu kita menjadi manusia malaikat.
Sebab Tuhan jadikan manusia bertujuan bukan kekal di atas kemanusiannya tetapi
`liya'budun' ada dua tugas.
.khalifah itu mentalnya. Untuk dunia
diagih-agihkankan, mengambil dunia untuk dikorbankan, untuk berkhidmat bukan
untuk dicintai. Cinta dunia itulah menjadikan kita berpecah belah samada
disedari atau tidak.
Begitulah peranan ibadah. Mengapa Tuhan menyiapkan Ramadan untuk umat Islam?
Seolah-olah tiada yang meningkat saya lihat. Yang meningkat pesta pakaian,
pesta makan minum.Takrif kedua puasa, jarang orang menghayati hikmah dan
hakikat sebenarnya. Sebab itu umat Islam susah hendak disatukan, SUSAH.
Kadang-kadang bulan Ramadan itulah menyuburkan nafsu jahatnya, jadi terbalik.
Overhaul kereta terus rosak. Ada kereta dihantar ke workshop untuk over haul
terus rosak. Sebelum masuk boleh dipandu, boleh jalan. Bila sudah masuk, terus
jammed.
Ada orang yang bersusah payah makan tiga pil itu dalam bulan Ramadan sebab itu
Allah bagi pahala yang besar.
---------------------------------
Search. browse and book your hotels and flights through Yahoo! Travel