Sebuah tulisan tentang Pusat Akses Komuniti di akhbar Berita Harian hari ini 18
Mei 2006. (edisi Timur)
Pusat Akses Komuniti
Oleh Rohana Mohd Nawi
TUMPAT: Dalam dunia tanpa sempadan kini, teknologi komunikasi dan maklumat
(ICT) sudah menjadi sebahagian daripada elemen penting dalam hidup masyarakat
sama ada di bandar atau desa.
Demi masa depan yang lebih cemerlang, anak-anak kecil kini perlu diberi
pendedahan mengenai ICT pada peringkat awal lagi kerana ia akan memudahkan
mereka menguasainya.
Pada masa sama, ibu bapa di luar bandar yang tidak pernah terdedah kepada ICT
kerana faktor kemiskinan, tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan tidak
mengambil tahu perubahan yang melanda dunia.
Ini kerana kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan prasarana kawasan luar
bandar bagi memastikan tahap celik ICT di negara ini terus meningkat sepanjang
masa.
Sesuai matlamat melahirkan generasi celik komputer, Kementerian Pelajaran
menubuhkan Pusat Akses Komuniti (PAK) yang diharap dapat melahirkan kanak-kanak
cemerlang akademik selain mahir dalam teknologi maklumat.
PAK adalah usaha Pusat Sumber Pendidikan (PSP) negeri bagi sekolah meningkatkan
pencapaian akademik murid dan memaksimumkan penguasaan teknologi pendidikan
dalam pembelajaran dan pengajaran.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Pasir dekat Tumpat dipilih sebagai lokasi pertama
penyediaan Pusat Akses Komuniti di negara ini sebelum disusuli di SK Sri
Chempaka; SK Sabak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor.
Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Datuk Yusof Harun, berkata PAK yang
dilengkapi komputer dengan internet mampu menjadi sumber pendidikan yang
memberi faedah tidak ternilai kepada murid dan keluarga mereka serta guru.
"Saya harap murid dapat menggunakan pusat ini sebagai kemudahan mencari ilmu
dan maklumat seterusnya meningkatkan kecemerlangan akademik murid di SK Kok
Pasir.
"Dalam usaha mendekatkan hubungan masyarakat dengan sekolah, pusat ini menjadi
penyumbang dengan ibu bapa dan belia sekitar kampung boleh datang menggunakan
kemudahan yang disediakan ini," katanya.
Penduduk yang juga bapa murid, Ediramle Ismail, berkata pusat itu diharap
dapat memberi kemudahan kepada golongan ibu bapa selain meningkatkan kemahiran
kepada murid dengan ICT.
"Orang ramai khususnya penduduk yang tiada kemudahan internet di rumah, boleh
datang ke pusat ini untuk berurusan atau sebaliknya. Saya biasa dengan internet
kerana ada komputer di rumah.
"Bagi saya, kemudahan yang disediakan kerajaan ini memberi kebaikan kepada ibu
bapa yang tidak mampu menyediakan komputer untuk kegunaan anak-anak di rumah,"
katanya.
Pengawal keselamatan, Che Mat Ariffin Che Jais, berkata dia bangga kerana SK
Kok Pasir dipilih oleh PSP sebagai lokasi pusat itu yang menyediakan kemudahan
kepada orang ramai untuk menggunakan internet.
Beliau berkata, dengan ada pusat ini, orang ramai khususnya ibu bapa murid
sekolah ini turut dapat menumpang menggunakan kemudahan yang disediakan secara
percuma.
"Sebelum ini, sekolah ini mempunyai kemudahan komputer untuk kegunaan murid
saja dan ditempatkan dalam makmal. Menerusi pusat ini, komputer yang disediakan
adalah untuk kegunaan bersama," katanya.
Guru Besar SK Kok Pasir, Abdul Hamid Abdullah, berkata pihaknya menghargai PSP
negeri yang memilih sekolah itu sebagai sekolah angkat dan memberi banyak
bantuan dari segi akademik.
Beliau berkata, Pusat Akses Komuniti yang diwujudkan di situ, bukan saja
memberi kemudahan kepada warga sekolah tetapi membantu penduduk yang tidak
mempunyai kemudahan komputer di rumah.
"Pembukaan pusat ini dapat membantu usaha menjadikan penduduk celik teknologi
maklumat (IT). Setakat ini kami dibekalkan sembilan set komputer," katanya.
Beliau berkata, adanya pusat itu, orang ramai boleh menggunakan kemudahan
internet termasuk untuk membeli tiket penerbangan, mengisi borang dalam talian
serta pelbagai urusan lain.
FAKTA
Pusat Akses Komuniti di SK Kok Pasir, Tumpat, pertama di Malaysia.
a.. Dilengkapi sembilan set komputer dengan internet
a.. Untuk kegunaan murid dan ibu bapa
a.. Dibuka setiap hari sepanjang waktu pejabat
a.. Kegunaan percuma
[Non-text portions of this message have been removed]
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
Get to your groups with one click. Know instantly when new email arrives
http://us.click.yahoo.com/.7bhrC/MGxNAA/yQLSAA/TcOolB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
Apa yang anda cari mungkin ada di sini
http://www.bukusiber.com
E-mel web base percuma untuk warga Tumpat
http://tumpat.mail.everyone.net/email/scripts/loginuser.pl
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/