Dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia. Puisi bukan hiburan pop Oleh MANZAIDI MOHD. AMIN
PUISI mencari khalayak, bukan khalayak mencari puisi. Begitulah prinsip yang dipegang kemas Persatuan Penulis Tumpat (Pesisir), Kelantan dalam usaha menghidupkan genre itu dalam hati masyarakat. Ini kerana puisi adalah puisi. Sehebat manapun ia disampaikan atau dideklamasikan oleh penyair tersohor, ia hanya mampu menarik sebilangan kecil sahaja khalayak yang hadir. "Puisi bukan hiburan pop yang khalayak sanggup berjemur embun dan bersengkang mata hanya untuk menyaksikan persembahan nyanyian daripada artis kesayangan mereka,'' kata Ketua Satu Pesisir, Ismail Mohamed pada majlis Pengucapan Puisi Sa'dong, Hi-Tea dan Hari Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, Tumpat, Kelantan, baru-baru ini. Majlis itu adalah yang kedua anjuran bersama Pesisir dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Berangan, selepas Fiesta Puisi Rakyat di Pantai Geting, Tumpat pada 29 April lalu. Program itu berjaya menarik lebih 2,000 penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat peringkat usia. Sebelum ini, khalayak hanya melihat persembahan (pembacaan dan deklamasi) puisi melalui kaca televisyen atau menatap di akhbar dan majalah sastera, tetapi dengan program puisi mencari khalayak yang diusahakan Pesisir, mereka boleh mendekati dan mengenalinya secara dekat. "Itu yang dinamakan puisi mencari khalayak,'' kata Ismail. Jelas beliau, usaha yang dibuat oleh Pesisir dengan meletakkan puisi di tempat yang tinggi dan tidak di bawah akan membolehkan masyarakat mengenali puisi. Menurut Ismail, Pesisir tidak pernah merasa malu dengan program sedemikian, walaupun sesetengah pihak dengan nada sinis menyindir persatuan itu sudah hilang maruah sehingga meletakkan genre puisi di tempat yang rendah. "Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Kita akan mempertahankan dengan apa cara sekali pun walau ada yang mendakwa Pesisir tidak wajar merendahkan martabat puisi dengan mencari khalayak,'' tegasnya. Antara pemuisi yang menjayakan Pengucapan Puisi Sa'dong ialah Mustapa Jusoh dengan puisi Saadong dan Tok Janggut dan Aminuddin Aziz (Berjalan Di Bumi Merdeka dan Orang Kita). Majlis pengucapan itu diselang seli dengan nyanyian lagu padang pasir oleh Abdul Rahman Alabaladi atau dikenali dengan panggilan Abe Man Alabaladi, kumpulan muzik tradisional Kelapa Wangi dan lawak oleh Jali Anak Rimau dari Salam Pantai Timur dan banyak lagi. Sehubungan itu, bagi Pesisir, usaha yang dilakukan persatuan itu sejak beberapa tahun lalu adalah sebagai kesinambungan daripada program Pesisir Turun Sekolah untuk mendekatkan puisi kepada masyarakat. Usaha itu dibuat kerana hendak melahirkan pemuisi yang tidak semudah melahirkan jurutera, doktor, arkitek dan guru. Ia memerlukan kesabaran, ketekunan dan usaha bersepadu daripada berbagai persatuan dan jabatan yang bertanggungjawab memastikan aktiviti kesusasteraan di Kelantan terus aktif. "Saya harap persatuan penulis di Kelantan menjadikan Pesisir sebagai contoh. Persatuan itu tidak keseorangan dalam menggerakkan program kesusasteraan. "Pelbagai pihak dijadikan sahabat dan rakan kongsi untuk memartabatkan dunia sastera,'' tambah Ismail. [Non-text portions of this message have been removed] Apa yang anda cari mungkin ada di sini http://www.bukusiber.com E-mel web base percuma untuk warga Tumpat http://tumpat.mail.everyone.net/email/scripts/loginuser.pl Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
