http://ilmudanulamak.blogspot.com/2006/12/soalan-apa-pandangan-ustaz-berkenaan.html
KOMEN ISU SIASATAN DAN TANGKAPAN KHALWAT
Soalan: Apa pandangan Ustaz berkenaan kenyataan Dr. Asri (Mufti baru
Perlis) sebagaimana disiarkan dalam New Straits Times, 15hb Disember2006,
mukasurat 11 yang bertajuk: STOP SNOOPING AROUND FOR KHALWAT COUPLES (HENTIKAN
TINDAKAN MENGENDAP PASANGAN KHALWAT)
Jawapan
Saya telah membaca pandangan beliau tersebut sebagaimana yang tersiar dalam
akhbar berkenaan. Kesimpulan yang dapat saya buat adalah seperti berikut;
(*Mohon maaf kepada para pembaca yang tidak suka artikel panjang. Bagi isu ini
saya rasa perlu mengulas dengan panjang lebar. Bacalah dengan sabar.)
Banyak kenyataan di dalam artikel tersebut mengelirukan. Saya tidak tahu
kenyataan-kenyataan tersebut terbit dari mulut Dr. Asri sendiri atau hanya
olahan pengarang berita. Jika ia benar-benar terbit dari mulut Dr. Asri
sendiri, maka amat mengecewakan kita kenyataan-kenyataan sebegitu dibuat.
Pertama; Ia boleh menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap nama baik
Jabatan Agama dan pegawai-pegawai agama. Seolah-olah mereka merupakan
orang-orang yang suka mengintai dan mengendap untuk mencari salah dan aib
orang lain. Walhal mereka melakukan tugas atas nama jawatan dan tanggungjawab
rasmi yang diperakui oleh undang-undang. Sepatutnya, jika ada kesilapan yang
berlaku, beliau sepatutnya mengemukakan teguran mengikut saluran yang betul,
bukan membuat kenyataan di dada akhbar yang dibaca oleh khalayak ramai dan akan
menimbulkan salah-tanggapan orang ramai.
Kedua; Ia jelas berniat jahat kepada pegawai-pegawai agama yang bertugas
membenteras maksiat. Penggunaan bahasa mengintip, mengendap atau mencari-cari
pasangan
., jelas merupakan suatu penghinaan yang ditujukan kepada mereka.
Amat mengecewakan jika bahasa sebegitu keluar dari mulut seorang mufti. Bahasa
yang sepatutnya ialah menyiasat, membuat tinjauan, menyelidik
.
Adakah apabila pegawai-pegawai agama tersebut memperolehi maklumat atau
mendapat laporan tentang su kes di mana dua orang (lelaki dan wanita) yang
meragukan di dalam sebuah bilik (di mana orang yang melapor mengkhuatiri mereka
berdua bukan pasangan suami-isteri), lalu pegawai agama datang untuk menyiasat,
ia mengetuk pintu bilik, apabila dibuka ia meminta dari mereka berdua surat
atau sijil pengesahan perkahwinan, maka apakah perbuatannya itu dapat dikatakan
sebagai mengintip atau mengendap.
Jika hendak dikatakan aib, apa yang aibnya bagi kedua pasangan tersebut untuk
mengemukakan surat atau sijil pengesahan nikah jika mereka benar-benar pasangan
suami isteri. Apabila polis meminta kad pengenalan dari kita, kemudian kita
memberinya, adakah itu suatu yang mendatangka aib bagi kita? Jika memberi
surat/sijil pengesahan nikah apabila diminta merupakan suatu yang aib, maka
tidak ada gunanya undang-undang memperkenalkan sijil tersebut, begitu juga
tiada guna masing-masing ada kad pengenalan kerana ia mengaibkan orang dan
melanggar hak individu.
Begitu juga, apabila pihak jabatan agama mendapat laporan ada tempat-tempat
awam (taman-taman, kawasan-kawasan reakreasi) yang menjadi sarang maksiat dari
orang ramai, lalu mereka melakukan operasi tinjauan dengan pergi menyiasat
tempat-tempat tersebut, maka apakah mereka dapat kita katakana mengintai dan
mengintip. Kemudian, dalam siasatan tersebut mereka menangkap pasangan yang
sedang bercumbu-cumbuan (beromen), apakah tangkapan tersebut salah di sisi
Syarak. Apa yang ingin kita tegaskan, sekalipun suami-isteri, bercumbu-cumbuan
di tempat terbuka yang terdedah kepada khalayak ramai atau ada kemungkinan
besar akan dilihat oleh orang lain merupakan suatu dosa di sisi Syarak. Di
dalam hadis Rasulullah menegah si suami menceritakan kisah hubungan (seks)
antaranya dengan isterinya kepada orang lain, begitu juga ditegah si isteri
menceritakan kisah hubungannya dengan suaminya. Jika menceritakan sudah
dilarang, maka lebih-lebih lagilah dilarang jika hubungan itu dilakukan di
hadapan orang lain.
Ketiga; ada kenyataan-kenyataan beliau sebagaimana tulisan akhbar tersebut-
bercanggah dengan prinsip dan pendirian Islam yang sebenar;
(1) Menyalah-tafsirkan makna hak peribadi menurut Islam.
Artikel akhbar tersebut menyebutkan; Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin
mengatakan amalan tersebut adalah bertentangan dengan prinsip hak peribadi
menurut ajaran Islam dan juga terjumlah kepada suatu tindakan pencerobohan.
Penjelasan: Di dalam Islam, hak peribadi diiktiraf selagi ia tidak bercanggah
dengan hukum Syarak. Tidak ada di dalam Islam apa yang dinamakan hak atau
kebebasan untuk melakukan maksiat atau kemungkaran. Seorang muslim tidak hanya
diseru menjauhi munkar dan maksiat, malah diseru agar mengelak dari
tempat-tempat yang meragukan, yakni menimbulkan salah tanggap orang lain
terhadap dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w.;
دَعْ ما
يَرِيبُكَ
إلى ما لا
يَرِيبُكَ
Elakkanlah dari yang meragukan kepada yang tidak meragukan.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)
Berkata Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah (Hukum-Hakam
Pemerintahan) dalam bab berkenaan al-Hisbah (Tugas menjalan amar makruf nahi
munkar); Jika orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas amar makruf nahi
munkar (yakni al-Muhtasib) telah melihat seorang lelaki bersama seorang wanita
di satu jalan yang sunyi, maka kedududukan jalan yang sunyi itu merupakan suatu
yang menimbulkan keraguan (terhadap pasangan tersebut), maka hendaklah ia
menegah mereka, namun janganlah tergesa-gesa mengenakan hukuman/denda ke atas
mereka berdua kerana dibimbangi wanita itu adalah mahramnya. Jika ia dapati
wanita itu adalah mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada lelaki tersebut;
Jagalah wanita kamu itu dari tempat-tempat yang mendatangkan keraguan. Adapun
jika ia mendapati wanita itu bukan mahramnya, maka hendaklah ia berkata kepada
lelaki itu; Takutlah kepada Allah dari bersunyian (dengan wanita yang bukan
mahram) yang akan membawa kamu kepada melakukan
maksiat kepada Allah. Dan cara ia bertindak mencegah perkara tersebut
hendaklah bergantung kepada tanda-tanda yang dilihatnya. (Halaman 376)
Jika berada di satu jalan yang sunyi sudah dianggap meragukan, maka bagaimana
jika seorang lelaki dan wanita yang diketahui bukan muhrim dilihat oleh orang
yang mengenali mereka telah menyewa bilik yang sama, tidakkah itu lebih
meragukan? Adakah hal sedemikian perlu dibiarkan dengan alasan menjaga hak
peribadi?
(2) Terdapat kenyataan beliau di dalam akhbar tersebut; Islam tidak
menggalakkan manusia untuk pergi mendedahkan perbuatan maksiat.
Penjelasan; Sememangnya Islam tidak menggalakkan pendedahan maksiat, namun
harus diingat bahawa Islam juga mewajibkan maksiat dicegah apabila ia berlaku
atau diketahui akan berlaku. Pencegahan terhadap munkar menjadi tanggungjawab
yang amat besar di dalam Islam. Ini dibukti dengan banyaknya ayat di dalam
al-Quran yang mewajibkan umat Islam melaksanakan tugas al-Amru Bil-Makruf Wa
an-Nahyu Anil-Munkar (Mengajak kepada makruf dan mencegah dari Munkar).
Mengikut banciannya, sebanyak sembilan kali perintah tersebut diulang oleh
Allah di dalam al-Quran.
Apabila dua orang yang bukan mahram dilihat atau diketahui berada dalam satu
bilik yang tertutup, adakah mereka tidak perlu diselidiki atau dicegah dengan
alasan Islam tidak membenarkan pendedahan maksiat atau munkar? Apakah apabila
telah berlakunya zina dan perempuan yang terlibat dilihat mengandungkan anak
haram, ketika itu barulah pencegahan boleh dibuat?
Kita meyakini bahawa para pegawai agama yang menjalankan operasi pencegahan
maksiat, niat dan tujuan mereka pergi ke sarang maksiat atau ke tempat-tempat
yang dikhuatiri berlaku maksiat bukan untuk mendedah maksiat tetapi untuk
menyelidik dan melakukan pencegahan jika didapati maksiat/munkar benar-benar
berlaku. Tugas ini menepati peranan Hisbah yang telah lama dihuraikan oleh
ulamak-ulamak Islam dalam kitab-kitab karangan mereka. Malah menurut ulamak,
peranan Hisbah ini merupakan salah satu cabang tugas atau tanggungjawab yang
wajib dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan Islam. Huraian lebih terperinci
tentang Hisbah ini akan kita kemukakan di depan nanti.
(3) Antara kenyataan beliau dalam akhbar tersebut; Prinsip amr makruf nahi
munkar hanya boleh dilaksanakan apabila sesuatu perbuatan maksiat dan jenayah
dilakukan secara terbuka.
Penjelasan; Kenyataan tersebut pada amnya benar, namun ia memerlukan penjelasan
lanjut untuk mengelak kekeliruan.
Dalam Sistem Pemerintahan Islam terdapat satu jawatan khusus yang dinamakan
al-Hisbah. Orang yang menjawatnya dinamakan dengan al-Muhtasib. Jawatan Hisbah
tersebut berperanan secara rasmi bagi menangani tugas dalam negara untuk
mengajak orang ramai kepada makruf (melaksana perintah Allah) dan mencegah
munkar dan maksiat.
Menurut ulamak, antaranya Imam al-Mawardi; Al-Muhtasib (orang yang menjawat
jawatan Hisbah tersebut) hendaklah benar-benar menjalankan peranannya tersebut.
Tidak harus ia meninggalkan peranan tersebut kerana urusan-urusan yang lain.
Atas dirinya tugas amar makruf nahi munkar adalah fardhu ain yang tidak boleh
diabaikannya. Kenyataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa betapa
pentingnya tugas amar makruf dan nahi munkar dalam sebuah negara dan masyarakat
Islam pada pandangan ulamak. (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 363)
Dalam hal berkaitan dengan perbahasan kita, Imam al-Mawardi menjelaskan; Harus
al-Muhtasib untuk menyelidik kemungkaran-kemungkaran yang diketahui secara
zahir dengan tujuan untuk mencegahnya dan juga menyemak jika ada perkara makruf
(perintah Allah) yang diabaikan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai
melaksanakannya
.
Sememangnya munkar yang menjadi tanggungjawab al-Muhtasib menurut ulamak ialah
munkar yang dzahir. Lebih jelas, para ulamak meletakkan tiga syarat bagi munkar
yang hendak dicegah oleh al-Muhtasib;
a) Munkar itu adalah munkar yang zahir.
b) Munkar itu ialah munkar yang sedang berlaku atau dikhuatiri berlaku, yakni
bukan munkar yang telah berlalu (kerana munkar yang telah berlalu menjadi
tanggungjawab pemerintah untuk mengenakan hukuman).
c) Munkar itu bukanlah yang diiktilafkan terhadap hukum munkarnya.
Namun demikian, perlu difahami bahawa syarat pertama (iaitu Hendaklah munkar
itu zahir), bukan bermaksud hanya munkar yang berlaku terang-terangan atau di
depan mata sahaja yang perlu diselidiki dan dicegah. Secara tepatnya, syarat
tersebut bermaksud; Hendaklah munkar itu terdedah kepada al-Muhtasib atau
sampai ke pengetahuannya, bukan melalui intipannya. Menurut penjelasan Dr.
Abdul-Karim Zaidan; Termasuk dalam pengertian munkar yang zahir (nyata) ialah
mana-mana tempat yang dirasai oleh al-Muhtasib dengan sangkaan yang ghalib
bahawa terjadi munkar di situ, maka wajib atasnya untuk keluar ke tempat
tersebut dan melakukan pemeriksaan serta pencegahan. Tidak harus ia mengabaikan
perkara tersebut dengan duduk di rumahnya dengan alasan munkar itu belum
berlaku atau belum diketahui
. (Usul ad-Dakwah, hlm. 190).
Berhubung dengan hukum melakukan intipan oleh al-Muhtasib, menurut Imam
al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah; larangan-larangan Allah
(maksiat atau munkar) yang tidak zahir (yakni yang tidak terdedah atau tidak
sampai ke pengetahuan al-Muhtasib), tidak harus ia membuat intipan terhadapnya.
Oleh demikian, tidak harus al-Muhtasib mengintai-ngintai ke dalam rumah
seseorang untuk melihat ada berlaku munkar atau tidak.
Namun dalam pada itu, beliau (yakni Imam al-Mawardi) menegaskan; jika
al-Muhtasib merasai dengan sangkaan yang ghalib bahawa ada kumpulan atau
pasangan sedang merancang secara rahsia untuk melakukan munkar berdasarkan
tanda-tanda atau kesan-kesan yang dapat dilihat atau menjadi petunjuk, maka
dalam hal ini, hendaklah diperhatikan jenis munkar tersebut;
Pertama; Munkar dari jenis yang boleh membawa kepada rosaknya kehormatan jika
dibiarkan seperti pembunuhan atau penzinaan. Contohnya; al-Muhtasib telah
diberi tahu oleh seorang yang siqah (dapat dipercayai) bahawa seorang lelaki
sedang bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahram) untuk berzina
dengannya. Dalam kes ini menurut Imam al-Mawardi, harus al-Muhtasib membuat
intipan dan melakukan tinjauan atau siasatan.
Kedua; Munkar dari jenis yang tidak sampai pada tahap tersebut, maka tidaklah
harus dilakukan intipan oleh al-Muhtasib.
(Rujuk; Halaman 379-380)
Itu adalah ulasan Imam al-Mawardi tentang munkar yang berlaku secara tertutup.
Adapun munkar atau maksiat yang dilakukan di tempat terbuka (di taman, di tepi
jalan, tempat-tempat reakreasi dan sebagainya), apa yang dapat kita fahami dari
tulisan beliau dalam kitab tersebut ialah; munkar-munkar yang berlaku secara
terang-terangan tidak harus dibiarkan sama sekali. Menjadi kewajipan
al-Muhtasib (atau pegawai agama yang bertangjawab hari ini) untuk melakukan
tindakan mencegahnya sama ada dengan amaran atau disusuli dengan denda/hukuman
jika perlu. Malah beliau menyebutkan; Jika seorang lelaki terang-terangan
meminum arak di khalayak ramai, jika ia seorang muslim, maka hendaklah
dicurahkan araknya dan dikenakan hukuman ke atasnya. Jika ia seorang kafir
zimmi, hendaklah didenda atas kesalahan meminum arak secara terang-terangan
(bukan atas kesalahaan meminumnya). (al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 377).
Wallahu-alam
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN BIN FADZIL
---------------------------------
Never miss an email again!
Yahoo! Toolbar alerts you the instant new Mail arrives. Check it out.
[Non-text portions of this message have been removed]
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
Check out the new improvements in Yahoo! Groups email.
http://us.click.yahoo.com/4It09A/fOaOAA/yQLSAA/TcOolB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/
<*> Your email settings:
Individual Email | Traditional
<*> To change settings online go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
(Yahoo! ID required)
<*> To change settings via email:
mailto:[EMAIL PROTECTED]
mailto:[EMAIL PROTECTED]
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/