Terdahulunya pakdo nak minta maaf kepada saing-saing pakdo yang tak berapa suka menerima e-mel coretan yang sarat dengan perasaan daripada pakdo.
Kalupun pakdo menulis begini bukan bererti pakdo sedang diserbu kekecewaan atau sebagainya. Pakdo juga bukan menulis untuk sekadar bermain-main dengan kata-kata atau sebagainya kerana sekarang pakdo tak banyak masa lagi untuk itu sebab pakdo kena bermain-main dengan cucu cicit yang semakin membesar. Pakdo mahu mereka membesar dengan cara yang sewajarnya. Dibesarkan dalam nilai-nilai seorang Islam bukan dibesarkan oleh budaya tonggang tonggeng, bukan dibesarkan dalam suasana hiburan melulu yang tidak bersesuaian dengan Agama . Pakdo mahu mereka didedahkan dengan budi perkerti mulia bukan didedahkan dengan bahagian tubuh insan yang mengiurkan bukan sahaja saing-saing pakdo tetapi juga pakdo sendiri. Lama sudah pakdo tak dengar suara saing-saing pakdo, Tok Ayah, pakcu, ayah su , pak lebai, tokki, tok abah dan saing-saing yang seangkatan dengan pakdo. Pakdo ingin sekali mendengar suara-suara yang lahir terus dari hati nubari saing-saing pakdo. Suara dalaman yang tentunya boleh memberi pengajaran yang bukan sedikit kepada pakdo dan saing-saing pakdo. Tadi pakdo dengar suara Ayah Ngah, suara yang merdu dan lembut sekali , terdengar seakan perlahan tapi nyaring, perlahan tapi nyata. Dalam semingu dua ni Pakdo merasa bersalah juga, tapi apalah daya pakdo yang tidak dapat berbuat apa-apa ketika saing-saing pakdo yang terpaksa berpindah ketika banjir melanda dan meredah ruang kediaman mereka. Pakdo merasa bersalah kerana pakdo adakalanya kurang peka lantaran kawasan pakdo tidak dinaiki air banjir tahun ini. Banjir tahun ini ada setengah tempatnya besar daripada biasa dan di sesetengah tempat lainnya hanya banjir kecil malah di tempat-tempat tertentu eakan tiada banjir walaupun sedikit. Khabarnya berbelas-belas ribu mangsa dipindahkan dan ada berpuluh-puluh ribu yang mengambil keputusan untuk berpindah dan bertahan di rumah masing-masing ketika banjir hampir mencecah lantai rumah mereka. Ada yang kerugian harta benda, ada yang kerugian ayam itik, lembu kerbau dan ikan serta tanaman . Kehilangan nyawa anak-anak pun ramai juga. Bagaimanapun zaman sekarang ni, zaman yang penuh dengan kemudahan komunikasi, banjir di kuala , di hulu tahu, banjir di senaik di sejatuh tahu. Kali ni banjir yang melanda kebanyakannya dah surut, tapi musim banjir belum lagi berakhir dan masih jalan dua lagi sama ada tidak datang lagi atau bakal melanda semula pada bila-bila masa. Mudah-mudahan tidak datang lagi. -- Hormat selalu daripada Pakdo
