Terdahulunya Pakdo nak minta maaf kepada saing-saing (rakan-rakan) pakdo
dari Indonesia dan dari negeri-negeri selain Kelantan  di egroup ini kerana
mungkinnya banyak kedapatan ayat dan kata-kata pakdo tidak bakal
dimengertikan sebaiknya.

Hari ini pakdo merasa terpanggil ke jendela rumah tua (lama) beratapkan
kepingan zink yang pakdo diami bersama makdo (isteri pakdo) dan cucu cicit
(anak kepada cucu)  pakdo semenjak anak-anak pakdo masing-masing mencari
kehidupan untuk menyarai keluarga masing-masing.

Mereka perlu bekerja untuk mendapat sumber kewangan bagi membeli sebahagian
kesenangan kehidupan yang sungguh-sungguh semakin mencabar ini, juga bagi
membangunkan anak bangsa, negara dan tamadun manusia seluruhnya.

Kerja adalah satu perjuangan yang besar dan bermakna. Dan kerja adalah
perbuatan positif kerana sebahagian besar daripada sifat kerja adalah
membangunkan , melainkan sebahagian kecil kerja yang meruntuhkan contohnya
memecahkan ketulan batu untuk dijadikan batu-batu kecil atau dijadikan
simen. itupun adalah langkah meruntuhkan untuk membangunkan sesuatu yang
lebih bererti. Seperti juga menebang pokok untuk dijadikan kertas atau
rumah  adalah suatu kerja meruntuh untuk membangunkan sesuatu yang
mungkinnya lebih bermakna di atas keruntuhan tersebut.

Kalau benarlah kerja itu perjuangan dan bagi pakdo ianya sememangnya benar,
maka demi perjuangan ini, manusia sanggup meninggalkan kampung laman yang
sentiasa diingati, manusia sanggup meninggalkan sanak saudara maupun untuk
sementara meninggalkan isteri tercinta di kampung laman bersama anak-anak
yang sentiasa dahagakan kasih dan sayang seorang ayah yang terpaksa  kini
memejamkan mata hati, memejamkan mata rasa dan dengan tabahnya bertahan
dalam  ribut rasa yang  saban masa menerkam dan menerjah di hati.

Ketika itu, kerinduan menjadi suatu kesakitan yang nikmat yang tidak
tergambarkan oleh susunan kata-kata pakdo.

Dari jendela minda pakdo, pakdo melihat cucu dan cicit pakdo berlarian di
halaman hari yang masih pagi. Mereka mengejar dan berlari. Mereka mengejar
mungkinnya masa depan yang tak pasti. Tapi pakdo sentiasa berdoa dan
sentiasa berharap dan sentiasa pakdo bisikkan di telinga mereka ketika pakdo
anggap gelombang otak mereka berada dalam keadaan alpha . Pakdo bisikkan
kepada minda bawah sedar cucu-cicit pakdo , yang suatu hari nanti akan
menjadi insan yang hebat. Kerana pakdo percaya yang kejadian manusia adalah
kejadian yang paling sempurna berbanding dengan makhluk lain  yang dijadikan
Allah. Jadi tidak ada sebab mengapa anak cucu pakdo tidak boleh menjadi
hebat dalam ukuran hebatnya seorang manusia biasa.

Kehebatan manusia, sememangnya jauh daripada apa yang sentiasa difikirkan.
Manusia boleh saja menghancurkan bukit , manusia boleh menenggelamkan
sebahagian pinggir laut dengan menggunakan pemikiran dengan menggunakan
alatan tertentu yang direkacipta.

Tapi pakdo lihat, ramai manusia  yang suka buang masa dengan sia-sia kepada
sesuatu yang tidak berguna dan bermanfaat . Malah lebih teruk lagi ramai
dari kalangan manusia yang telah dan sedang memusnahkan diri sendiri.
Memusnahkan masa depan, memusnahkan harapan dan memusnahkan sesuatu yang
sepatutnya dibina dan diperkukuhkan.


-- 
Hormat selalu daripada Pakdo
Kelantan, 15 April 2008

Kirim email ke