50 langkah untuk kejayaan anak-anak

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi 
merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik 
klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau 
kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi 
dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini 
adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara 
baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur 
malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg 
disyorkan ini pasti membuahkan hasil. Baca seterusnya...

1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak 
matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah 
yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina 
memorinya.

2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, 
cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. 
Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang 
kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, 
kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan 
pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil 
menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru 
pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal 
usia.

5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk 
dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan 
yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam 
perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat 
perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. 
Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit 
perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang 
masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari 
perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan 
pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke 
badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak 
kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk 
membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri 
("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin....") . Mainkan lagu 
Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma 
muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau 
pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain 
tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada 
pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. 
Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang 
mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya 
perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda 
mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan 
kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat 
belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali 
berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar 
bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama 
bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak 
meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu 
anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak 
memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - 
termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia 
dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang 
tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia 
melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan 
dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah 
kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL

Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah 
satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau 
permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan 
tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk 
melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat 
bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.
26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, 
poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat 
bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga 
ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya 
pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' 
barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak 
supaya dia seronok.

29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang 
dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila 
bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada 
dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan 
tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing 
seperti ballerina.

32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas 
anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. 
Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak 
tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat 
dan pasti dia akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis 
soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur 
tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak 
kucing putih?")

35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak 
dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu 
mengajarnya.

36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar 
memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, 
buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad 
suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda 
mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah 
cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .
38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan 
nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk 
mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. 
Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar 
tentang basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, 
rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk 
mencarinya.

41-BERGURAU- SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan 
anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, 
skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti 
dan imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak 
anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga 
setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana 
lebih kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina 
memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu 
anak bercakap dengannya di telefon.
45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut 
warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan 
teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari 
A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman 
luar rumah dengan kapur.

48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan 
kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.
49-MAIN "TIRU-MENIRU"
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. 
Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira 
atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia 
memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus 
dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.




sekadar berkongsi idea.............


      

Kirim email ke