Punten teu acan di sundakeun.....

Askar AS paksa tahanan Iraq makan babi, maki Islam

WASHINGTON: Tahanan Iraq bukan setakat dibelasah teruk tentera Amerika 
Syarikat, malah turut dipaksa memakan babi, minum arak, menghina dan memaki 
hamun agama Islam, digari pada jeriji besi dan katil hanya kerana mahu 
menunaikan solat dengan kebanyakan penderaan itu berlaku pada bulan Ramadan 
lalu.

Selain diarah berbogel setibanya di penjara Abu Ghraib dan diberi makan makanan 
dari tandas, mereka juga sering diraba askar wanita, dipaksa melakukan aksi 
lucah termasuk beronani di depan askar penceroboh itu serta ditunggang seperti 
binatang jika enggan bekerjasama ketika sesi soal siasat.

Malah, seorang tahanan berkata askar Amerika turut meliwat seorang tahanan 
lelaki Iraq berusia 15 tahun yang meraung kesakitan sehingga menyebabkannya 
cedera teruk. Tahanan lain turut diliwat menggunakan lampu penanda arah serta 
kayu belantan.

Ini adalah antara pendedahan terbaru keterangan tahanan terbabit daripada 
dokumen lain yang diperoleh akhbar The Washington Post, selain ratusan gambar 
baru dan rakaman video penyeksaan tentera Amerika di penjara Abu Ghraib.

Akhbar itu berkata, kenyataan mengenai penyeksaan yang diperoleh dokumen 
terbaru membabitkan pengakuan bersumpah 13 tahanan Iraq yang diambil pada 12 
hingga 16 Januari lalu, di samping beberapa ratus gambar dan video klip 
digital, adalah antara bukti yang dikumpul kumpulan penyiasat tentera bagi 
diserahkan kepada mahkamah tentera di Iraq yang mana tujuh tentera Amerika kini 
menunggu masa untuk dibicarakan atas tuduhan menyeksa tahanan.

Jurucakap Jabatan Pertahanan memberitahu akhbar itu, bahan berkenaan termasuk 
gambar dan video itu sama seperti bahan grafik yang ditunjukkan secara tertutup 
kepada anggota Kongres AS awal bulan ini.

Lapan daripada 13 tahanan terbabit menamakan askar Amerika, Charles Graner 
sebagai pendera utama. Graner, anggota Rejimen 372 Polis Tentera, kini menunggu 
masa untuk dibicarakan.

Menurut akhbar itu, dokumen terbaru itu memperincikan butiran kezaliman tentera 
Amerika di sebalik tembok penjara Abu Ghraib menyaksikan tahanan mendakwa 
penderaan itu sebagai hukuman hanya kerana memiliki barangan yang diharamkan.

Sebagai hukuman, mereka dipaksa menghina agama Islam dan disuap secara paksa 
dengan makanan mengandungi babi dan arak.

Seorang tahanan, al-Sheik berkata, askar Amerika juga menyoalnya bertalu-talu 
mengenai agama Islam.

“Anda menyembah Allah? Saya berkata ya dan mereka kemudiannya memaki saya dan 
Allah.”

Malah dalam kejadian lain, seorang tahanan yang dibelasah teruk sehingga patah 
kaki, dipaksa supaya mencerca agama Islam.

“Kerana sudah tidak tahan, saya akhirnya berbuat demikian kerana dipaksa. 
Mereka kemudiannya memaksa saya berterima kasih kepada Nabi Isa kerana masih 
hidup.”

Hiadar Sabar Abed Miktub al-Aboodi, tahanan bernombor 13077 pula berkata:

“Mereka memaksa kami merangkak dan menyalak seperti anjing. Jika berdegil, 
mereka akan memaksa kami tidur meniarap di atas lantai basah dengan kepala 
ditutup beg plastik manakala mereka dengan gembiranya merakam gambar kami.”

Tahanan itu turut mendedahkan bagaimana gambar penderaan terdahulu diambil, 
termasuk aksi tahanan Iraq berbogel dan membentuk piramid manusia.

“Mereka akan mengugut untuk membunuh kami jika enggan bekerjasama. Mereka 
membogelkan saya, mengancam untuk meliwat jika tidak duduk diam ketika seorang 
askar bertindak melukis gambar wanita di belakang badan,” kata Ameen Saeed 
Al-Sheik, tahanan nombor 151362.

Kasim Mehaddi Hilas, tahanan bernombor 151108, memberitahu penyiasat bagaimana 
dia dipaksa berbogel setibanya di penjara itu tahun lalu, diarah mengenakan 
penutup kepala dan memakai seluar dalam wanita.

“Namun, kebanyakan masa, saya hanya berbogel.”

Dia turut mengaku menyaksikan sendiri bagaimana seorang penterjemah askar 
Amerika itu mengadakan hubungan seks dengan seorang budak lelaki.

“Budak itu berusia 15 tahun. Ada orang menutup tempat itu dengan selimut tetapi 
saya mendengar sendiri suara mangsa meraung ketika seorang askar wanita sibuk 
mengambil gambar. Budak itu cedera teruk diliwat.”

Hilas berkata, pernah pada satu hari dia bertanyakan Graner masa kerana mahu 
menunaikan solat tetapi askar itu bertindak biadap dengan menggari tangannya di 
jeriji besi tingkap sel dengan kakinya bergayut dan dibiarkan kegelapan selama 
lima jam.

Dia turut mendakwa menyaksikan sendiri Graner dan askar lain meliwat seorang 
tahanan yang digari pada katil yang dijolok dengan lampu penunjuk arah, 
penderaan yang turut disaksikan tahanan Mustafa Jassim Mustafa..

Mohanded Juma Juma berkata dia dibogelkan dan dibiar telanjang selama enam hari.

“Askar Amerika itu kemudiannya membawa tahanan baru, seorang bapa dan anak 
lelakinya ke dalam sel kurungan saya. Mereka dipakaikan penutup kepala dan 
dibogelkan.

“Apabila penutup dibuka, anak lelaki itu menangis melihatkan kezaliman askar 
terbabit ke atas bapanya.”

Katanya, Graner juga berulang kali melontar makanan tahanan ke dalam tandas dan 
memaksa mereka mengutipnya untuk dimakan. – Agensi

SUMBER : http://sengkaraiweb.com/arkib/paksa%20makan%20babi.htm



      

Kirim email ke