http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

Stephen Hawking: Tuhan tidak cipta alam semesta

LONDON 3 Sept. - Pakar fizik dan matematik terkenal, Stephen Hawking muncul 
dengan teori baru yang mencetuskan kemarahan ramai pihak mendakwa Tuhan 
bukanlah pencipta alam semesta ini.

Konsep itu dikesan didalam buku terbarunya The Grand Design yang dipetik dan 
disiarkan dalam akhbar Britain, The Times semalam. Buku berkenaan ditulis 
bersama seorang lagi pakar fizik, Leonard Mlodinow dijadual diterbitkan oleh 
Bantam Press pada 9 September ini.

The Grand Design yang disifatkan oleh penerbit sebagai karya besar Hawking 
dalam tempoh hampir sedekad lalu, mencabar teori Isaac Newton yang menyatakan 
bahawa Tuhan terlibat dalam penciptaan alam semesta kerana sistem solar tidak 
mungkin terjadi secara semula jadi.

Namun, Hawking menegaskan ia bukan semudah itu kerana untuk memahami alam 
semesta, adalah penting untuk mendalami bagaimana dan mengapa sesuatu berlaku, 
dengan memanggilnya sebagai 'Persoalan Terbesar Kehidupan, Alam Semesta dan 
Segala-galanya.'

Hawking, pakar fizik British yang terkenal melalui tulisan mengenai lubang 
hitam, mendakwa penemuan sebuah planet mengelilingi sebutir bintang selain 
matahari pada 1992 'yang sama dengan keadaan planet bumi, menjadikan kejadian 
bumi bukan sesuatu yang membanggakan dan kurang mengagumkan seperti dakwaan 
bahawa bumi dicipta khas untuk manusia'.

Sebelum ini, dalam buku terlarisnya, A Brief History of Time pada 1988, Hawking 
dilihat menerima konsep Pencipta, dengan menyatakan bahawa penemuan teori 
lengkap akan menjadi 'kejayaan besar untuk manusia dan untuk itu kita perlu 
tahu apa yang Tuhan fikirkan.'

Namun The Grand Design dilihat berganjak daripada pendapat asalnya itu dengan 
menyatakan bahawa fizik dapat menjelaskan kejadian tanpa perlunya 'Pencipta 
yang menjadikan Alam Semesta untuk kebaikan kita.'

"Oleh kerana terdapat hukum alam seperti graviti, Alam Semesta mampu dan akan 
tercipta dengan sendiri daripada tiada.

"Penciptaan spontan merupakan sebab adanya sesuatu berbanding tiada apa-apa, 
mengapa Alam Semesta wujud dan mengapa kita wujud. Tidak semestinya ia 
membabitkan Tuhan untuk... mengaturkan Alam Semesta," katanya.

Hawking bersara pada tahun lalu daripada Lucasian Chair of Mathematics di 
Universiti Cambridge selepas 30 tahun memegang jawatan itu yang juga pernah 
dipegang oleh Newton. 

Beliau yang mengalami penyakit urat saraf sejak berusia 22 tahun, terpaksa 
bergerak menggunakan kerusi roda dan bertutur menggunakan bantuan sebuah 
komputer dan alat sintesis suara. - AP





Facebook: Radityo Djadjoeri
YM: radityo_dj
Twitter: @mediacare
4sq: http://foursquare.com/user/mediacare

Kirim email ke