BERITA HARIAN - Kamis 3 Julai 2008-SASTERA 
Menilai sumbangan Raja Ali Haji dalam bahasa
Oleh Nazmi Yaakub






PENDEDAHAN: Dari kiri; Zaharah, Ting, Nor Azlia dan Prof Dr Mohd Mokhtar Abu 
Hassan pada sesi Seminar Ijazah Tinggi Raja Ali Haji di APM, UM.


Ketokohan pengarang kelahiran Pulau Penyengat diperakui menerusi dua buku 
tulisannya 

SEMINAR Ijazah Pengajian Tinggi di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti 
Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memperakukan sumbangan tokoh 
pengarang Bugis, Raja Ali Haji Raja Ahmad dalam bidang bahasa apabila dua 
kitabnya, Bustan al-Katibin ditulis pada 1850 dan Kitab Pengetahuan Bahasa 
(1858) diteliti. 

Penelitian terhadap sumbangan Raja Ali Haji dalam bidang pengajaran tatabahasa 
bahasa Melayu, perkamusan dan adab belajar itu, memperluaskan skop kajian 
terhadap tokoh Bugis berkenaan yang selama ini lebih dikenali kerana kehebatan 
gurindamnya, seperti terpancar pada Gurindam Dua Belas ditulis pada 1847 dan 
sejarah Melayu lewat Tufhat al-Nafis. 



Calon sarjana APM, Ting Hua Lui, berharap kajiannya terhadap Bustan al-Katibin 
dan Kitab Pengetahuan Bahasa, dapat menyumbang kepada usaha untuk mengisi 
kekurangan maklumat dan lompong ilmu pengetahuan mengenai penghasilan 
tatabahasa bahasa Melayu pada abad ke-19. 

“Permasalahan kajian saya ialah belum ada kajian mendalam mengenai isi 
kandungan dua kitab itu serta sumbangan Raja Ali Haji terhadap bidang ilmu 
tatabahasa bahasa Melayu,” katanya ketika melapah Sumbangan Raja Ali Haji 
Terhadap Ilmu Tatabahasa Bahasa Melayu. 

Antara kajian sebelum ini ialah Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad 
karya Teuku Iskandar; Falsafah Bahasa: Beberapa Aspek Kajian (Prof Dr Hashim 
Musa) dan Raja Ali Haji dari Riau: Apakah Beliau Seorang Tokoh Transisi atau 
Pujangga Klasik yang Akhir Sekali? (Prof Emeritus Dr Mohd Taib Osman) 
Kajian mengenai Raja Ali Haji pula oleh Harimurthi Kridalaksana dalam 
makalahnya, Bustan al-Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa - Sumbangan Raja Ali 
Haji dalam Ilmu Bahasa Melayu dan Darwis Harahap (Bustanul Katibin dan Kitab 
Pengetahuan Bahasa: Satu Tinjauan), manakala Adriyetti Amir melalui disertasi 
sarjananya, Kitab Pengetahuan Bahasa Karangan Raja Ali Haji: Kajian 
Leksikografi. 

Bustan al-Katibin diakui pengkaji ini sebagai karya awal mengenai tatabahasa 
bahasa Melayu yang dihasilkan pengarang dari Nusantara sehingga membolehkan 
pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal 
pembinaannya lagi. 

“Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan Bustan al-Katibin adalah untuk menyebarkan 
ilmu bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta 
menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan 
kepentingan mempelajari bahasa, manakala huraian dalam konteks tatabahasa luas 
dan mendalam,” katanya pada pembentangan yang dipengerusikan Dr Zahir Ahmad. 

Kitab terbabit turut mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang 
terkandung dalam bahasa Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan 
akal yang bukan saja sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi 
bermanfaat untuk diketahui serta dikaji sarjana dan pembaca pada zaman kini. 
“Ada sarjana semasa yang mengkritik Bustan al-Katibin kerana menggunakan kaedah 
tatabahasa bahasa Arab untuk bahasa Melayu seperti kajian oleh Mohd Taib, 
Teuku, Virginia Matheson dan Prof Teeuw, tetapi beliau tidak wajar 
dipersalahkan kerana sejak kecil lagi, mendalami ilmu pengetahuan Islam dengan 
mengikuti ayahnya ke Makkah. 

“Raja Ali Haji turut mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan 
dan teladan kepada pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna 
kepada mereka yang sedang menuntut ilmu dan patut disimpan di setiap 
perpustakaan kerana dapat membimbing ke arah ilmu yang benar,” katanya. 

Keistimewaan Kitab Pengetahuan Bahasa pula, Hui Lui kerana ia membincangkan 
kelas atau golongan kata, menghuraikan unit tatabahasa dan membincangkan aspek 
sintaksis, sekali gus menjadi kamus pertama karya orang tempatan sebelum abad 
ke-20 selain menjadikannya sebagai kamus ekabahasa tertua di Alam Melayu. 

“Bahagian kamus dibincangkan secara terperinci sehingga menampakkan sebagai 
kamus terbaik dan boleh menjadi petunjuk serta panduan dalam kehidupan ahli 
masyarakat. Entri dalam kamus itu disusun dengan baik dan mudah difahami dengan 
contoh perkataan mencukupi, selain memperlihatkan ciri morfologi dan 
sintaksis,” katanya. 

Selain itu, Raja Ali Haji juga tidak meminggirkan konsep adab dan budi dalam 
dua kitab terbabit apabila Mukadimah Bustan al-Katibin membincangkan 
kepentingan ilmu dan akal, cara menuntut ilmu serta hubungan penuntut dengan 
guru. 

“Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa pula, Raja Ali Haji menjelaskan konsep adab dan 
budi dengan menerangkan sembilan adab yang membabitkan adab dengan Allah, orang 
berilmu, menuntut ilmu, antara anak dengan ibu bapa, ahli keluarga, 
saudara-mara, sahabat, orang yang dikenali serta pembesar negeri yang hampir 
dengan raja, selain adab dalam pergaulan. 

“Ini kerana antara tujuan Raja Ali Haji menulis kitab itu selain menghasilkan 
kamus bahasa Melayu, adalah untuk membentuk masyarakat yang beradab sopan dalam 
setiap perkara dan membolehkan masyarakat Melayu memperoleh ilmu sebenar,” 
katanya. 

Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyengat, pusat Kesultanan Riau-Lingga pada 
1808, berasal daripada keluarga dan keturunan Bugis yang banyak melahirkan 
tokoh pengarang di Riau serta mengikuti ayahnya ke Makkah pada 1827 untuk 
menunaikan haji. 

Peluang ke Makkah memungkinkannya mendalami ilmu pengetahuan Islam yang 
menjadikannya antara cendekiawan Melayu lama yang terdidik dalam ilmu 
pengetahuan Islam dan keilmuannya dalam bidang itu terbukti apabila beliau 
dilantik sebagai penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdur 
Rahman bermula 1831 hingga 1844; Raja Ali (1844-1857) dan Raja Abdullah 
(1857-1858), selain Raja Muhammad Yusuf. 

Selain Hua Liu, pelajar sarjana yang terbabit dalam pembentangan itu ialah 
Zaharah Osman melalui Kajian Intertekstualiti Novel Tengku Menteri, manakala 
Haruman Kencana dan Hujan Sudah Teduh Karya Zaharah Nawawi: Satu Penerapan 
Teori Feminisme pula dibentangkan Nor Azlia Mat Jaaffar. 


      

Kirim email ke