Adakah keluarga Najib dapat faedah pembelian Sukhoi? - Anwar              
              
                         
                        
                                       Abu Bakar Rahman      
         Tue | Jan 16, 07 | 06:30:41 PM                        KUALA LUMPUR, 17 
Jan (Hrkh) - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim 
mempersoalkan adakah ahli keluarga Menteri Pertahanan merangkap Timbalan 
Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mendapat faedah dari perjanjian 
yang melibatkan pembelian 18 pesawat Sukhoi Su-30MK bernilai US$900 juta (RM3.2 
bilion).

 
  
Anwar juga mempersoalkan mengapakah "kita melihat satu trend di mana ejen-ejen 
tertentu dilantik di dalam perjanjian pembelian senjata bernilai 
berbilion-bilion ringgit oleh Kementerian Pertahanan?"

 
  
"Yang pentingnya, kami ingin tahu siapakah sebenarnya yang mendapat faedah 
daripada perjanjian-perjanjian ini?"

 
   
"Adakah ia termasuk, sebagaimana didakwa, ahli keluarga Menteri Pertahanan 
sendiri?" beliau mempersoalkan.

 
  
Beliau menyifatkan urusniaga pesawat Sukhoi itu menimbulkan persoalan serius 
mengenai integriti dan ketelusannya.

 
  
"Apa yang menyebabkan kamu memerlukan fasilitator sedangkan kamu mempunyai 
general-general yang berulang-alik (antara Malaysia dan Russia) untuk 
merundingkan urusniaga tersebut?"

 
  
"Ia ada rasuah yang nyata, terang-terangan. Ia tentunya tidak telus dan sangat 
luar biasa"

 
   
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan, rakyat Malaysia mempunyai 
hak untuk tahu apakah yang sebenarnya berlaku di dalam pertikaian antara IMT 
Defence Sdn Bhd, iaitu syarikat yang telah dilantik sebagai ejen tempatan untuk 
syarikat kerajaan Rusia yang menjual pesawat-pesawat itu, dengan salah seorang 
pengarahnya, Mohd Zainuri Mohd Idrus?

 
  
Beliau juga mempersoalkan mengapakah pihak polis atau Badan Pencegah Rasuah 
tidak memulakan siasatan terhadap dakwaan yang dibuat di dalam laporan polis 
Mohd Zainuri yang mendakwa Pengerusi IMT Defence yang juga bekas Menteri 
Pembangunan Tanah dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Adib Adam telah mencuri komisyen 
bernilai US$108 juta (RM380 juta) yang sepatutnya disalurkan kepada IMT Defence?

 
  
Menurut Anwar, Kementerian Pertahanan telah membeli pesawat tersebut daripada 
sebuah syarikat kerajaan Rusia, Federal State Unitary Enterprise 
‘Rosobornexport’.

 
  
Sebahagian daripada perjanjian pembelian tersebut, katanya, termasuk program 
angkasa Malaysia bernilai RM90 juta.

 
  
Di bawah perjanjian tersebut, katanya lagi, IMT Defence telah dilantik sebagai 
ejen tempatan untuk syarikat kerajaan Rusia tersebut dan akan menerima 12 
peratus daripada jumlah harga pembelian, bernilai US$108 juta (RM380 juta).

 
  
Di dalam surat bertarikh 18 Februari daripada S.V. Chemezov, Timbalan Ketua 
Pengarah Pertama syarikat kerajaan Rusia tersebut kepada Menteri Pertahanan, 
syarikat Rusia tersebut telah memberi kebenaran kepada Mohd Adib sebagai 
Pengerusi IMT Defence untuk berurusan dengan Menteri Pertahanan untuk 
mempercepatkan proses tersebut, katanya.

 
  
Bagaimanapun, menurut Anwar, pada 29 Mac 2005, Mohd Zainuri telah memfailkan 
saman dan petisyen terhadap Mega Heights Sdn Bhd; Integrated Manufacturing 
Technologies Sdn Bhd; Mohd Adib; anaknya Ahmad Azam; kakaknya Askiah Adam 
(kesemuanya pengarah IMT Defence); setiausaha syarikat IMT Defence, Loke Foon 
Keng dan IMT Defence sendiri untuk menghalang syarikat tersebut memecat beliau 
dari jawatannya.

 
  
Di dalam pendengaran kes tersebut, katanya, Mohd Zainuri mendakwa bahawa Mohd 
Adib dan Askiah mahu menghalangnya dari mendedahkan realiti perjanjian Sukhoi 
tersebut.

 
  
Beliau juga mendakwa bahawa beliau sudah hilang keyakinan terhadap mereka bagi 
mempertahankan kepentingan IMT Defence.

 
  
Hakim Mahkamah Tinggi Siti Mariah Ahmad menolak permohonan berasingan daripada 
Mohd Adib dan Loke untuk menolak petisyen Mohd Zainuri.

 
  
Walaubagaimanapun, menurut Anwar, pada tahun lalu, Hakim Siti Mariah Ahmad 
membenarkan Mohd Adib dan Mega Heights untuk memulakan prosiding terhadap Mohd 
Zainuri dan dua peguamnya kerana membocorkan butir-butir pembelian Sukhoi 
tersebut.

 
  
Disember lalu, mahkamah membenarkan permohonan Mohd Zainuri untuk membuang 
Askiah sebagai defendan saman tersebut.

 
  
Sebelum itu, menurut Anwar, iaiatu 30 September lalu, Mohd Zainuri membuat 
laporan polis (AMPANG/017696/06) di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang mendakwa 
Mohd Adib telah mencuri komisyen bernilai US$108 juta (RM380 juta) yang 
sepatutnya disalurkan kepada IMT Defence.

 
  
Menurut laporan tersebut, Datuk Seri Mohd Adib telah mendaftarkan sebuah 
syarikat di Labuan yang mempunyai nama yang hampir dengan IMT Defence dan 
tindakan tersebut didakwa oleh Mohd Zainuri bertujuan menyalurkan komisyen 
tersebut secara haram kepada syarikat baru itu.

 
  
Laporan polis itu, menurut Anwar, kemudiannya dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan 
Siasatan Jenayah Komersial.

 
  
Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan   sumbangan 
yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama   HARAKAHDAILY DOT COM 
(564070000336).

                
---------------------------------
 Inbox full of unwanted email? Get leading protection and 1GB storage with All 
New Yahoo! Mail.

Kirim email ke