BINGKISAN SUARA RAKYAT

 EDISI KHAS

6 November 2000 

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

TAHNIAH DAN PENGHARGAAN KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

1.                   Sebagaimana yang telah dijanjikan pada tengahari 5 November, puluhan ribu kenderaan bergerak menuju ke Jalan Kebun di Shah Alam/Klang untuk menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat. Hasrat dan impian mereka adalah untuk menghadiri satu perhimpunan aman dengan tujuan mendengar ceramah dan amanat pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Alternatif serta membacakan bersama deklarasi rakyat bertemakan “Kembalikan Hak Rakyat”.

2.                 Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat mengucapkan setinggi tahniah dan ucapan penghargaan kepada seluruh rakyat yang hadir. Kehadiran kalian semua benar-benar menunjukkan jatidiri tulen dan iltizam yang tinggi rakyat Malaysia untuk mendukung prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan.

3.                 Namun impian dan hasrat rakyat untuk berhimpun secara aman tidak kesampaian apabila jalan menuju ke Jalan Kebun dan beberapa jalan masuk ke Lebuhraya KESAS telah ditutup oleh sekatan polis. Tindakan polis ini telah menyebabkan kesesakan lalulintas sepanjang lebuhraya tersebut.

4.                 Tarikh 5 November menyaksikan rakyat negara ini dengan semangat yang kental telah memberhentikan kenderaan mereka di atas sebuah lebuhraya tiga lorong kerana tetap berazam kuat menegakkan hak untuk mendengar amanat daripada pemimpin-pemimpin tertinggi mereka.

5.                 Kehadiran pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat khususnya Presiden PAS, Dato’ Hj. Fadzil Mohd Noor, Presiden keADILan, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Kebangsaan DAP, Sdr. Lim Kit Siang dan Presiden PRM, Dr. Syed Husin Ali memberi kekuatan kepada rakyat untuk berarak bersama-sama pemimpin-pemimpin tersebut sejauh hampir 5 kilometer menuju ke Jalan Kebun. Namun kehadiran sekatan polis dengan segala kelengkapan yang boleh menggugat keselamatan orang ramai sahaja yang menyebabkan pemimpin-pemimpin ini memberhentikan perarakan rakyat dan memilih tempat perhentian tersebut sebagai lokasi bersejarah bagi menyampaikan amanat mereka masing-masing.

6.                 Rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan mengucapkan tahniah kepada barisan pemimpin Barisan Alternatif yang dengan teladan serta kepemimpinan yang ditunjukkan amat meyakinkan bahawa mereka mampu untuk menerajui negara ini “Ke Arah Malaysia yang Adil”.

7.                 Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat yang berada di sepanjang Lebuhraya KESAS dan jalan-jalan masuk sekitar lebuhraya tersebut kerana tetap gigih memperjuangkan hak mereka untuk menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat. Kita percaya rakyat hanya berkumpul di atas lebuhraya tersebut untuk mendengar ceramah. Mereka tidak sedikit pun berniat untuk berkonfrontasi dengan pihak polis.

8.                 Keadaan lebuhraya yang disekat oleh pihak polis sebelum Persimpangan Kebun menjadikan mustahil untuk rakyat berbuat apa-apa selain mematikan enjin kenderaan mereka dan keluar menunggu di atas lebuhraya. Sepanjang menanti di atas lebuhraya rakyat sentiasa bertingkahlaku penuh sopan, bertanggungjawab dan tidak sedikitpun menimbulkan provokasi terhadap pihak polis.

9.                 Sekali lagi Jawatankuasa Dasar mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada lebih 100,000 rakyat yang menunggu di atas  Lebuhraya KESAS dan jalan-jalan masuk sekitarnya kerana telah benar-benar menunjukkan sifat sejati demi perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”. Syabas.

10.              Kehadiran rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai kaum dari seluruh negara memberi nafas segar yang baru dalam perjuangan menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman di negara ini. Perhimpunan 100,000 rakyat di Lebuhraya KESAS bakal menjadi batu tanda ke arah gelombang baru reformasi politik dan ekonomi di negara ini.

11.               Hari Ahad 5 November telah menyaksikan rakyat Malaysia di kalangan wakil-wakil rakyat Barisan Alternatif, pemimpin-pemimpin parti politik dan NGO; para reformis dan karyawan; golongan profesional termasuk doktor, jurutera, arkitek, konsultan, peguam dan juruterbang syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa; para pendidik dan guru-guru termasuk guru-guru besar dan guru-guru kanan dari sekolah-sekolah kerajaan mahupun swasta seluruh negara; ahli-ahli akademik termasuk profesor-profesor dan para pensyarah universiti dan kolej dari utara, selatan dan pantai timur; kakitangan awam dari pelbagai agensi kerajaan; kakitangan agensi korporat termasuk pegawai-pegawai bank serta institusi-institusi kewangan, posmen, petugas kutipan tol KESAS, despatch, pemandu keretapi dan pekerja-pekerja LRT; warga kilang di kalangan pengurus penyelia dan para operator; tokoh-tokoh korporat dan usahawan termasuk peniaga-peniaga kecil, penjaja-penjaja, pemborong dan peraih; para pelajar dan aktivis pelajar IPTA dan IPTS; pelajar-pelajar sekolah menengah; para petani dan pesawah dari kampong-kampong termasuk Sik, Baling dan Kg Raja, Besut; pekebun-pekebun kelapa dari Sabak Bernam dan Kuala Selangor; para nelayan dari merata tempat termasuk Kuala Kemaman, Mersing dan Kuala Langat; anggota-anggota keselamatan yang tidak bertugas pada hari itu; bekas-bekas perajurit dan anggota keselamatan yang pernah bertugas sebagai komando, unit gerak khas dan cawangan khas; para wartawan dari dalam dan luar negara; para jurugambar; pengusaha drama dan pelakon drama; para webmasters; para pemandu lori, bas dan teksi, para suri rumah bersama-sama ibu bapa, tok wan, tok ki, nenek, opah, atok, embah, yayi, nyayi dan anak-anak mereka serta pembantu-pembantu rumah dari seluruh pelusuk negara; para pemantau di kalangan badan-badan hak asasi manusia dan seumpamanya.

12.              Di atas pembabitan kalian semua untuk menjayakan perhimpunan 5 November tersebut, Jawatankuasa Dasar merakamkan setinggi-tinggi tahniah, syabas dan penghargaan. Semoga pengorbanan kalian datang dari jauh dan dekat, bersusah payah dengan belanja sendiri dan kemudian terpaksa berhadapan dengan tindakan keras polis bakal menjadi saham yang cukup berharga dalam perjuangan untuk “Kembalikan Hak Rakyat” di negara yang tercinta ini.

13.              Jawatankuasa Dasar juga merakamkan jutaan terima kasih di atas usaha pemimpin-pemimpin parti politik Barisan Alternatif, NGO-NGO, para reformis dan karyawan dari negeri-negeri seluruh negara, khususnya dari Kuala Lumpur dan Selangor yang telah menggerakkan kerja-kerja mobilisasi rakyat untuk berhimpun dengan jumlah sebesar itu pada tarikh yang dijanjikan, iaitu 5 November 2000.

14.              Jawatankuasa Dasar juga merakamkan jutaan terima kasih kepada para petugas, khususnya keADILan Bahagian Shah Alam dan PAS Kawasan Shah Alam yang telah bertungkus lumus bekerja untuk menyediakan tempat bagi Perhimpunan 100,000 Rakyat. Walaupun perhimpunan tersebut tidak dapat diadakan di tapak tersebut, percayalah kerja kalian tidak sia-sia. Manusia merancang tetapi Allah menentukan segala-galanya. Ketetapan Allah pastinya lebih baik bagi kita semua. Ketika kita hanya meminta sebidang tapak seluas tiga ekar untuk berhimpun. Nah, Allah anugerahkan kepada kita sepanjang-panjang lebuhraya!

15.              Jawatankuasa Dasar dengan penuh takzim merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Sdr. SD Johari, isteri dan keluarga yang telah bermurah hati mengizinkan tapak seluas 3 ekar milik mereka digunakan bagi tujuan mengadakan Perhimpunan 100,000 Rakyat. Walaupun mendapat tentangan hebat dan akhirnya ditahan oleh pihak polis, kita percaya pengorbanan Sdr. SD Johari dan rakan-rakan akan tetap dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan.

16.              Jawatankuasa Dasar juga tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan dan kata-kata semangat kepada wira-wira keadilan yang ditangkap secara rambang oleh pihak polis. Bagi mereka yang dipukul dan dicederakan oleh beberapa orang polis yang tidak berperikemanusiaan, percayalah rakyat berjanji bahawa hak kalian untuk menuntut pembelaan keadilan akan tetap diperjuangkan.

17.              Jawatankuasa Dasar juga berharap rakan-rakan yang kenderaan mereka dirosakkan dan tingkap-tingkap cermin kereta yang dipecahkan oleh beberapa orang anggota polis yang cukup biadab, bersabarlah menghadapi sikap biadab tersebut. Yakinlah yang benar itu pasti akan berjaya. Yakinlah, yang batil itu pasti akan leyap dan hancur binasa.

18.              Jawatankuasa Dasar juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Sdr. Lokman Nor Hj. Adam, selaku Pengarah Gerakan Mengembalikan Hak Rakyat, Pemuda keADILan serta rakan-rakan daripada PAS, DAP, PRM, JIM, ABIM, SUARAM dan NGO-NGO lain serta para reformis yang telah membantu mengatur perarakan untuk berjalan dengan begitu lancar sekali.

19.              Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa Dasar yang telah bekerja sebagai satu pasukan dan berjaya bertindak serta membuat keputusan secara kolektif sepanjang tempoh kita berusaha untuk menganjurkan Perhimpunan 100,000 Rakyat.

20.            Walaupun Perhimpunan 100,000 Rakyat tidak dapat diadakan di Jalan Kebun, tetapi rakyat yang hadir mendengar amanat daripada pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Alternatif percaya bahawa kita telah berjaya menghimpunkan 100,000 orang atau lebih di atas Lebuhraya KESAS dan jalan-jalan masuk sekitarnya. Syabas rakyat Malaysia. Teruskan usaha menegakkan perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”.

 

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

AJK:

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaik Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

Emel Sekretariat: [EMAIL PROTECTED]

Emel Pengerusi: [EMAIL PROTECTED]

6 November 2000

Kirim email ke