Thailand beri tempoh 3 bulan mulakan projek saluran paip

PUTRAJAYA 24 April - Thailand memberi jaminan bahawa projek saluran paip gas Trans Thai-Malaysia akan dapat dimulakan dalam tempoh tiga bulan.

Ia berikutan langkah negara jiran itu untuk mengatasi segala masalah berbangkit khususnya bantahan penduduk tempatan dan laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA) bagi projek tersebut.

Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Thaksin adalah dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara ini bermula hari ini.

Ketika memberi taklimat kepada wartawan mengenai hasil pertemuan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia telah menyatakan pendirian bahawa sebarang penangguhan akan membawa kepada peningkatan kos projek.

``Bagi kita yang penting ialah soal peningkatan kos kerana yang akan teruk menanggungnya ialah Petronas,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Ditanya sama ada kemungkinan projek itu ditangguhkan, Syed Hamid berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat untuk menangguhkannya.

Tambahnya, Thaksin telah memberi jaminan pihaknya akan menyelesaikan segera isu laporan EIA yang dikatakan turut menjadi punca kelewatan pelaksanaan projek itu.

Minggu lepas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican dilaporkan berkata, projek itu menghadapi masalah kelewatan kerana kajian EIA belum diluluskan oleh pihak berkuasa Thai.

Projek bernilai RM4 bilion itu melibatkan saluran paip gas dan penapisan yang dimajukan di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (JDA).

Gas dari lapangan Cakerawala di JDA itu dirancang untuk disalurkan menerusi paip dari lapangan luar pantai Songkhla (di selatan Thai) ke Bukit Kayu Hitam, melibatkan jarak 350 kilometer.

Ia adalah projek usaha sama antara Petronas dan Pihak Berkuasa Petroleum Thailand (PIT).

Thaksin dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pula menegaskan, Thailand tetap akan meneruskan projek saluran gas berkenaan serta berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani.

Sehubungan itu, katanya, usaha akan dilakukan untuk memberi kefahaman kepada penduduk bahawa projek tersebut tidak akan menjejaskan kehidupan mereka.

Sementara itu Syed Hamid berkata, isu lain yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak kebanyakannya berkaitan dengan sektor pertanian termasuklah persetujuan untuk mengadakan usaha sama dalam bidang perikanan laut dalam.

Menerusi kerjasama itu, katanya, syarikat kedua-dua negara akan bekerjasama menangkap ikan di Zon Ekonomi Eksklusif dan mendaratkan hasil tangkapan untuk diproses di negara ini.

Katanya, persetujuan juga dicapai bagi menghapuskan sekatan terhadap pengimportan daging lembu dan produk berasaskan daging lembu dari Thailand berkuat kuasa serta-merta.

Malaysia menghentikan sementara pengimportan daging lembu dan produk berasaskan bahan berkenaan dari Thailand pada Februari lalu berikutan penyakit lembu gila telah dikesan di negara itu.

Beliau menambah kedua-dua negara juga bersetuju untuk menghidupkan semula Jawatankuasa Pertanian Malaysia-Thai yang terhenti sejak tahun 1996.

Malaysia juga, katanya, telah meminta Thailand mengkaji semula kuota dan tarif yang dikenakan terhadap minyak sawit Malaysia yang masuk ke negara itu.

``Pada masa ini, kuotanya terlalu rendah tetapi tarifnya terlalu tinggi menyebabkan sukar untuk minyak sawit bersaing dengan minyak lain,'' katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, Thailand telah meminta Malaysia melanjutkan tempoh pembukaan pintu sempadan.

``Malaysia akan membincangkan permintaan Thailand itu terutama kajian dari segi pelaksanaan dan logistik.

Pada mesyuarat hari ini, Dr. Mahathir turut memberikan taklimat tentang cadangan penubuhan Tabung Kewangan Asia, penyusunan semula kewangan Asia dan perlunya kedua-dua negara bertukar pandangan.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2001&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Kirim email ke