Bersih tegas berdemo walau tanpa permit
    01-11-2007 06:46:49 PM         
     Oleh SALHAN K. AHMAD                 KUALA LUMPUR:  Gabungan Pilihanraya 
Bersih (Bersih) akan meneruskan program perhimpunan aman pada 10 November di 
Dataran Merdeka tanpa mendapatkan permit daripada polis, kata pengerusinya 
Anuar Tahir.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan perhimpunan aman 
tidak memerlukan permit, dakwanya.
Anuar berkata gabungan parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) itu 
bagaimanapun tetap mengambil kira saranan Ketua Polis Kuala Lumpur supaya 
memohon permit untuk menjalankan perhimpunan "Gelombang Kuning" itu.
"Kami ikut nasihat Suhakam. Mereka kata kami tidak perlukan permit, kami cuma 
perlu beritahu polis untuk buat perhimpunan ini," katanya kepada mStar Online 
ketika ahli jawatankuasa PAS itu ditemui semasa pelancaran program itu di Pasar 
Seni di sini hari ini.
"Kami telah bertemu (SAC Zulhasnan Najib Baharuddin) pada hari ini dan mereka 
nasihatkan supaya kami isi beberapa borang (permohonan mengadakan perhimpunan 
umum). Itu kami akan bincangkan semasa mesyuarat jawatankuasa pada malam ini," 
katanya lagi.
"Kami berharap pihak polis akan membantu kami menjalankan perhimpunan ini 
dengan aman," katanya, yang juga bekas setiausaha agung PKR.
Dalam sidang media sebelum itu, seorang lagi ahli jawatankuasa tersebut berkata 
mereka telah merancang langkah-langkah yang perlu untuk untuk memastikan 
perhimpunan tersebut berjalan dengan aman.
Faisal Mustafa berkata mereka akan menugaskan sekumpulan petugas untuk mengawal 
trafik di sekitar Dataran Merdeka, dan sepanjang jalan semasa perarakan ke 
Istana Negara.
"Wakil-wakil daripada Suhakam, Transparency International, Pertubuhan 
Bangsa-bangsa Bersatu dan Majlis Peguam juga akan berada di kawasan itu untuk 
memastikan hak asasi peserta perhimpunan itu tidak dicabuli," katanya.
Tambahnya, beberapa kumpulan rakyat Malaysia akan turut mengadakan perhimpunan 
sama di hadapan pejabat pesuruhjaya dan kedutaan Malaysia di beberapa negara 
pada hari tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kumpulan yang akan menyelaraskan 
perhimpunan di bandar-bandar tersebut: Seoul, Jakarta, London, New York, 
Bangkok, Manila dan Brazil.
"Ia mungkin dianggotai oleh rakyat antarabangsa, NGO, pelajar atau rakyat 
Malaysia prihatin terhadap apa yang kita perjuangkan di sini," katanya.
Terdahulu, naib presiden PAS Mohamad Sabu melancarkan Gelombang Kuning, satu 
kempen pemakaian warna kuning "bagi menyatakan protes dan bosan terhadap 
demokrasi yang tinggal hanya 'pada nama' seperti diamalkan di negara ini."
Mohamad, yang juga anggota jawatankuasa Bersih, turut menjelaskan gabungan itu 
tidak disertai parti-parti komponen Barisan Nasional walaupun pernah diundang.
Sebanyak 67 pertubuhan yang menganggotai Bersih termasuklah parti pembangkang 
dan NGO.
    
 __________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

Kirim email ke