Sumber berita http://www.utusan.com.my/
Rakyat Papua tolak status autonomi khas
JAYAPURA Indonesia 18 Jun - Beratus-ratus rakyat Papua hari ini membantah dan 
menolak status autonomi khas di dalam Indonesia, sebaliknya menuntut satu 
pungutan suara yang ditentukan sendiri.
Anggota Dewan Tertinggi pemimpin puak Perhimpunan Rakyat Papua (MRP) Isnin 
lalu, mengundi untuk menolak status autonomi yang diperkenalkan pada 2001 
selepas kejatuhan pemerintahan diktator Suharto di Jakarta.
Saksi berkata, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berarak sejauh 17 kilometer 
dari Abepura ke wilayah Parlimen, Jayapura sebagai satu simbolik 'memulangkan' 
status autonomi, yang disifatkan penunjuk perasaan telah menggagalkan penduduk 
pribumi Melanesian.
"MRP telah membuat keputusan untuk memulangkan status autonomi kepada Kerajaan 
Pusat. Kami kini menuju majlis perundangan Papua untuk menyerahkan bantahan 
kami.
"Kami juga meminta penggubal undang-undang wilayah supaya mengadakan satu sesi 
plenari untuk 'memulangkan' status autonomi secara rasmi kepada Kerajaan 
Pusat," kata ketua penunjuk perasaan Markus Haluk.
Penunjuk perasaan yang berarak dilihat membawa sepanduk tertulis 'Adakan 
pungutan suara sekarang', 'Kemerdekaan tidak boleh dirunding' dan 'Tolak 
Autonomi Khas'.
Status autonomi menyaksikan kuasa termasuk kawalan ke atas kebanyakan hasil 
cukai dari sumber asli Papua diturunkan kepada kerajaan wilayah, namun ramai 
rakyat Papua mendakwa ia gagal memperbaiki hak serta maruah mereka.
Media asing dan pekerja bantuan tidak dibenarkan memasuki Papua dan wilayah 
Papua Barat yang mahu mengesahkan dakwaan pencabulan hak kemanusiaan serta 
penghapusan bangsa terhadap masyarakat pribumi Papua.
"Autonomi khas gagal membawa kemakmuran dan melindungi rakyat Papua. Kami mahu 
satu pungutan suara diadakan bagi menyelesaikan status politik Papua," kata 
Haluk dari Persatuan Pelajar Tanah Tinggi Tengah Papua. - AFP

Kirim email ke