Sumber : Halal
Haram
Karangan : Dr. Yusuf
Al-Qardawi
Kahwin Mut'ah
Perkahwinan dalam Islam adalah suatu ikatan yang kuat dan
perjanjian yang teguh yang ditegakkan di atas landasan niat untuk bergaul antara
suami-isteri dengan abadi, supaya dapat memetik buah kejiwaan yang telah
digariskan Allah dalam al-Quran, iaitu ketenteraman, kecintaan dan kasih sayang.
Sedang tujuannya yang bersifat duniawi iaitu demi berkembangnya keturunan dan
kelangsungan jenis manusia. Seperti yang diterangkan Allah dalam
al-Quran:
"Allah telah menjadikan jodoh untuk kamu dari
jenismu sendiri, dan Ia menjadikan untuk kamu dari perjodohanmu itu anak-anak
dan cucu." (an-Nahl: 72)
Adapun kahwin mut'ah adalah ikatan seorang laki-laki
dengan seorang perempuan dalam batas waktu tertentu dengan upah tertentu pula.
Oleh kerana itu tidak mungkin perkahwinan semacam ini dapat menghasilkan arti
yang kami sebutkan di atas.
Kahwin mut'ah ini pernah diperkenankan oleh
Rasulullah s.a.w. sebelum stabilnya syariah Islamiah, iaitu diperkenankannya
ketika dalam bepergian dan peperangan, kemudian diharamkannya untuk
selama-lamanya.
Rahasia dibolehkannya kahwin mut'ah waktu itu, ialah
kerana masyarakat Islam waktu itu masih dalam suatu perjalanan yang kita
istilahkan dengan masa transisi, masa peralihan dari jahiliah kepada Islam.
Sedang perzinaan di masa jahiliah merupakan satu hal yang biasa dan tersebar di
mana-mana. Maka setelah Islam datang dan menyerukan kepada pengikutnya untuk
pergi berperang, dan jauhnya mereka dari isteri merupakan suatu penderitaan yang
cukup berat. Sebahagian mereka ada yang imannya kuat dan ada pula yang lemah.
Yang imannya lemah, akan mudah untuk berbuat zina sebagai suatu perbuatan yang
keji dan cara yang tidak baik.
Sedang bagi mereka yang kuat imannya berkeinginan
untuk kebiri dan mengimpotenkan kemaluannya, seperti apa yang dikatakan oleh
Ibnu Mas'ud:
"Kami pernah berperang bersama Rasulullah s.a.w.
sedang isteri-isteri kami tidak turut serta bersama kami, kemudian kami bertanya
kepada Rasulullah, apakah boleh kami berkebiri? Maka Rasulullah s.a.w. melarang
kami berbuat demikian dan memberikan rukhshah supaya kami kahwin dengan
perempuan dengan maskahwin baju untuk satu waktu tertentu." (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Dengan demikian, maka dibolehkannya kahwin mut'ah
adalah sebagai suatu jalan untuk mengatasi problema yang dihadapi oleh kedua
golongan tersebut dan merupakan jenjang menuju diundangkannya hukum perkahwinan
yang sempurna, di mana dengan hukum tersebut akan tercapailah seluruh tujuan
perkahwinan seperti: terpeliharanya diri, ketenangan jiwa, berlangsungnya
keturunan, kecintaan, kasih-sayang dan luasnya daerah pergaulan kekeluargaan
kerana perkahwinan itu.
Sebagaimana al-Quran telah mengharamkan arak dan
riba dengan bertahap, di mana kedua hal tersebut telah terbiasa dan tersebar
luas di zaman jahiliah, maka begitu juga halnya dalam masalah haramnya kemaluan,
Rasulullah tempuh dengan jalan bertahap juga. Misalnya tentang mut'ah,
dibolehkannya ketika terpaksa, setelah itu diharamkannya.
Seperti apa yang diriwayatkan oleh Ali dan beberapa
sahabat yang lain, antara lain sebagai berikut: "Dari Saburah al-Juhani,
sesungguhnya ia pernah berperang bersama Nabi s.a.w. dalam peperangan fat-hu
Makkah, kemudian Nabi memberikan izin kepada mereka untuk kahwin mut'ah.
Katanya: Kemudian ia (Saburah) tidak pernah keluar sehingga Rasulullah s.a.w.
mengharamkan kahwin mut'ah itu." (Riwayat Muslim)
Dalam satu riwayat dikatakan: "Sesungguhnya Allah
telah mengharamkannya sampai hari kiamat." (Riwayat Muslim)
Tetapi apakah haramnya mut'ah ini berlaku untuk
selama-lamanya seperti halnya kahwin dengan ibu dan anak, ataukah seperti
haramnya bangkai, darah dan babi yang dibolehkan ketika dalam keadaan terpaksa
dan takut berbuat dosa?
Menurut pendapat kebanyakan sahabat, bahawa haramnya
mut'ah itu berlaku selama-lamanya, tidak ada sedikitpun rukhshah, sesudah hukum
tersebut diundangkan.
Tetapi Ibnu Abbas berpendapat lain, ia berpendapat
boleh ketika terpaksa, iaitu seperti tersebut di bawah ini: "Ada seorang yang
bertanya kepadanya tentang kahwin mut'ah, kemudian dia membolehkannya. Lantas
seorang bekas hambanya bertanya: Apakah yang demikian itu dalam keadaan terpaksa
dan kerana sedikitnya jumlah wanita atau yang seperti itu? Ibnu Abbas menjawab:
Ya!" (Riwayat Bukhari)
Kemudian setelah Ibnu Abbas menyaksikan sendiri,
bahawa ramai orang-orang yang mempermudah persoalan ini dan tidak membatasi
dalam situasi yang terpaksa, maka ia hentikan fatwanya itu dan ditarik kembali
[10].
******************************************************** Mailing List FUPM-EJIP ~ Milistnya Pekerja Muslim dan DKM Di kawasan EJIP ******************************************************** Ingin berpartisipasi dalam da'wah Islam ? Kunjungi situs SAMARADA : http://www.usahamulia.net
Untuk bergabung dalam Milist ini kirim e-mail ke : [EMAIL PROTECTED] ********************************************************
