Lelaki tidak sanggup
Oleh Sulaiman Salleh
SEREMBAN: Lelaki yang terlanjur dengan pasangannya hingga mengandung lebih rela
melarikan diri daripada bernikah kerana menganggap perbuatan itu umpama
memikul biawak hidup.
Perkara itu terbukti kerana dalam tempoh 50 tahun, Pertubuhan Kebajikan Islam
Malaysia (Perkim) negeri ini hanya berjaya menguruskan pernikahan 11 pasangan
yang terlanjur daripada 177 aduan yang diterima.
Pengerusi Perkim negeri, Datuk Siti Rahmah Kassim, berkata jumlah yang terlalu
sikit itu membimbangkan apabila tiada seorang pun teman lelaki wanita yang
mengandung sanggup bernikah dengan pasangannya.
Katanya, kebanyakan wanita yang mengandung anak luar nikah datang ke Perkim
meluahkan rasa kesal menyerahkan maruah diri selepas dipujuk teman lelaki.
Kekesalan itu semakin ketara apabila teman lelaki tidak sanggup bernikah
walaupun mengetahui pasangannya sudah mengandung, katanya ketika dihubungi,
semalam.
Siti Rahmah berkata, teman lelaki wanita terbabit pula kerap menyalahkan
pasangannya dengan menganggap ia bukan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan anak hasil hubungan luar nikah
itu diserahkan kepada keluarga angkat, katanya.
Katanya, tindakan itu diambil kerana wanita terbabit tidak berupaya membesarkan
anak luar nikahnya tanpa pasangan.
Selain itu, Siti Rahmah berkata, kajian yang dilakukan Perkim negeri ini
mendapati sikap kasar ibu bapa selepas mengetahui keterlanjuran anak mereka
menyebabkan pasangan kekasih terbabit gagal dinikahkan.
Katanya, ibu bapa dinasihatkan reda dengan kejadian yang berlaku bagi mengelak
anak mereka mengulangi perbuatan keji itu diulangi.
Nikah adalah cara terbaik bagi mengatasi masalah keterlanjuran itu, katanya
------------
16 HIV positif nikahi pasangan
Oleh Zarina Abdullah
[EMAIL PROTECTED]
KUALA TERENGGANU: Enam belas daripada 24 bakal pengantin yang disahkan HIV
positif meneruskan hasrat mendirikan rumah tangga walaupun mengetahui berdepan
risiko berikutan perkahwinan itu.
Walaupun tidak diketahui dengan jelas mengapa perkahwinan dilangsungkan tetapi
kebanyakan daripada mereka tetap meneruskan hasrat itu atas dasar saling
mencintai.
Exco Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata
semua 24 bakal pengantin itu dikesan HIV positif selepas ujian saringan
dilakukan antara Disember 2005 hingga Disember 2006.
Keputusan ujian kemudian diberitahu kepada semua yang terbabit dan pasangan
masing-masing. Tetapi, kita dapati 16 daripada 24 meneruskan perkahwinan,
katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh 12 bulan terbabit, ujian saringan kesihatan oleh
Jabatan Agama Islam Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri
dilakukan ke atas 14,839 bakal pengantin.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, kedua-dua agensi kerajaan itu mengesan 24
bakal pengantin HIV positif berusia antara 23 hingga 44 tahun dengan 18
daripadanya lelaki manakala enam wanita.
Rosol berkata, daripada 24 yang disahkan itu, 16 daripadanya termasuk empat
wanita didapati meneruskan rancangan perkahwinan masing-masing tahun lalu.
Katanya, ujian saringan kesihatan HIV bukan hendak menghalang perkahwinan
antara pasangan penghidap HIV tetapi untuk memberitahu mereka status kesihatan
yang boleh memudaratkan.
Kami harap mereka yang sudah berkahwin dan bakal pengantin yang dikesan HIV
positif hendaklah bersedia untuk mengamalkan hubungan seks yang selamat,
katanya.
Rosol berkata, jabatan agama melalui unit kaunseling khas dan Jabatan Kesihatan
negeri akan terus memantau serta menjalankan sesi nasihat kepada pasangan
berisiko supaya langkah pencegahan dapat diambil.
Kami tidak menghalang niat suci mereka dan akan terus membantu mereka
menjalani kehidupan yang sihat untuk kebaikan masa depan mereka sendiri,
katanya.
Rosol berkata, tujuan perkahwinan ialah untuk menghalalkan hubungan bagi
memastikan kesinambungan zuriat tetapi jika didapati berisiko, ia mesti diberi
perhatian khusus berikutan pelbagai kemungkinan kemudaratan yang bakal
ditanggung pasangan itu.
Katanya, pasangan terbabit sepatutnya mendapat penerangan dan pemantauan
daripada unit khas kaunseling Jabatan Agama dan Jabatan Kesihatan sekiranya
mereka mahu memulakan keluarga.
-----------------
Khalwat lepas sebulan nikah
Oleh Norfaisal Jahuri
[EMAIL PROTECTED]
MELAKA: Seorang isteri yang baru sebulan berkahwin ditangkap basah dengan
pasangannya di rumah wanita berkenaan di Bandar Hilir, dekat sini, pagi semalam
walaupun mendakwa kedatangan lelaki terbabit hanya untuk mengadu masalah rumah
tangga yang dihadapinya.
Wanita berusia 39 tahun itu dikatakan menghadapi masalah dengan suami barunya
yang juga duda dan dikahwini sebulan lalu, meminta jasa baik rakan lelakinya
datang ke rumah untuk mendapatkan pandangan bagi menyelesaikan masalah rumah
tangganya.
Ketika ditahan, suami wanita terbabit tiada di rumah kerana bertugas di
Kuantan, Pahang.
Kedua-dua mereka ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kira-kira jam 5 pagi
semalam, di hadapan dua anak wanita itu yang berusia 12 dan 14 tahun.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata lelaki berusia 49
tahun itu yang berbangsa Tionghua datang ke rumah wanita berkenaan lima jam
sebelum mereka ditahan.
Katanya, disebabkan sudah lewat dia mengambil keputusan tidur di rumah itu
selepas dipelawa wanita berkenaan.
Lelaki terbabit mendakwa tidur di bilik wanita itu manakala wanita berkenaan
tidur di bilik anaknya sebelum mereka berdua berbual di ruang tamu, katanya
kepada Harian Metro di sini, semalam.
Rahimin berkata, ketika pegawai penguat kuasa tiba, pintu rumah dibuka wanita
terbabit.
Katanya, pemeriksaan di dalam rumah itu menemui seorang lelaki.
Pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan
ditahan untuk siasatan lanjut, katanya
Siasatan awal mendapati, wanita terbabit mendakwa menjemput lelaki itu ke
rumahnya bagi membolehkan dia membincangkan masalah suaminya yang `bermain kayu
tiga.
Menurutnya, wanita itu yang sebelum ini berstatus ibu tunggal bernikah dengan
suaminya yang juga seorang duda mualaf pada Disember tahun lalu.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri
Melaka, 1991, kerana bersekediaman dengan bukan mahram.
Sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau
kedua-duanya sekali, katanya.
---------------------
Risalah pancing umat Islam berjudi
Oleh Afiq Hanif
KUALA LUMPUR: Kegiatan kumpulan tukang tilik kononnya mampu membuat
pelanggannya meraih kekayaan dalam tempoh sehari dengan hanya bermodalkan RM50
semakin membimbangkan apabila orang Islam turut diyakinkan program itu tidak
syirik dan menyekutukan Allah s.w.t.
Kumpulan itu cuba memancing orang Islam melalui risalah mengandungi bukti
kejayaan seorang lelaki dipercayai penganut Islam berdasarkan namanya,
memenangi nombor ekor dan bebas belenggu hutang ratusan ribu ringgit hasil
ramalan penilik bergelar Tok Guru.
Malah, kumpulan itu turut menafikan mereka menyinggung mana-mana agama dalam
risalah diedarkan dan mendakwa ia bukan paksaan sebaliknya hanya mahu membantu
menyelesaikan masalah orang Islam.
Siasatan Harian Metro mendapati kumpulan itu berpangkalan di utara tanah air
dan bergerak aktif menyebarkan risalah termasuk di Lembah Klang tanpa
menghiraukan sensitiviti umat Islam.
Kumpulan itu mendakwa mampu menyelesaikan pelbagai masalah termasuk mengubah
nasib malang, membuang sial, gagal dalam perniagaan, mendapatkan tuah nombor
ekor, pendinding diri, pelaris perniagaan, gangguan ilmu hitam, hidup
dibelenggu hutang menimbun dan cinta yang bertepuk sebelah tangan.
Apa yang meragukan, upacara sembahyang selama dua atau tiga jam dijalankan
Tok Guru berketurunan Siam selepas tengah malam di sebuah tokong di utara
Semenanjung.
Mereka hanya perlu memberi nama penuh dan tarikh lahir untuk ditilik nasibnya
oleh Tok Guru berkenaan sebelum memberi petua atau nombor ekor yang dipinta.
Untuk hantu judi yang kemaruk mendapatkan nombor ekor, Tok Guru mensyaratkan
masa, hari dan keadaan tertentu termasuk tidak boleh meminta orang lain membeli
nombor itu kerana dikhuatiri tidak berkesan atau nombor akan `lari.
Orang ramai yang menggunakan khidmat kumpulan itu hendaklah yakin sepenuh hati,
malah kenyataan beberapa peserta Islam yang dicetak dalam risalah itu mendakwa
mereka bersyukur diketemukan dengan Tok Guru dan berasakan perbuatan mereka
tidak syirik dan terpesong daripada agama.
Sementara itu, tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, berkata beliau
sendiri pernah mendapat risalah songsang itu beberapa kali dan menganggapnya
satu penghinaan kepada umat Islam.
Perbuatan yang mendatangkan khurafat adalah jelas haram di sisi agama termasuk
menyembah selain Allah s.w.t seperti upacara penyembahan oleh Tok Guru yang
didakwa mampu memberi apa dipinta, katanya.
Menurutnya, perkataan Tok Guru bagi orang Islam tidak boleh disebut sesuka hati
tetapi hanya berhak kepada golongan tertentu iaitu mereka yang alim dan banyak
ilmu agama malah gelaran tidak kena pada tempatnya mencemarkan gelaran itu
sendiri.
Mengenai pengedaran risalah berkenaan, bekas Pegawai Agama Istana Negara itu
kesal kerana pihak yang menghantar dan mengedarkannya tidak mengambil kira
sensitiviti agama dan melakukan secara rambang tanpa usul periksa status agama
seseorang.
Saya sendiri pernah mendapat risalah yang dialamatkan kepada nama saya.
Bagaimana mereka boleh mengepos risalah kepada orang yang jelas nama Islamnya?
katanya.
---------------------------------
Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.