Biarkan PAS menang di Kelantan demi kebaikan Malaysia                     
                        Penembak Badak      
         Mon | May 07, 07 | 04:15:04 PM                         Tiada yang 
lebih kontroversi dan boleh disalahtafsirkan di dalam ucapan Tun Dr Mahathir 
Mohamed di Kota Bharu selain dari kerelaannya dengan berat hati melihat PAS 
sekali lagi menumbangkan Umno di Kelantan di dalam pilihan raya umum ke-12 akan 
datang.

 

 Saya tidak pasti bagaimana media arus perdana akan melaporkan pernyataan Tun   
yang dibuat sewaktu menjawab soalan daripada salah seorang daripada hampir 500  
 orang yang hadir mendengar ucapannya di majlis Syarahan Perdana Majlis 
Tindakan   Rakyat Kelantan.

 
Tetapi kenyataannya ialah sebaik sahaja Tun membuat pernyataan   tersebut, 
hadirin yang hadir, termasuklah Tengku Razaleigh   Hamzah menyambutnya dengan 
tepukan gemuruh.

 
 Menurut Tun, sebagai ahli Umno dan bekas pemimpin tertinggi Umno, beliau tidak 
  rela melihat Umno tumbang di tangan PAS atau mana-mana parti pembangkang.   
Tetapi, sekiranya ketewasan Umno adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan   
kepimpinan Umno sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka rakyat   
Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara 
Malaysia   tercinta.

 
 Di dalam menjawab satu lagi soalan daripada hadirin yang hadir, Mahathir 
berkata,   tiada apa yang mampu dilakukan oleh Kerajaan Kelantan sekarang di 
dalam   menghadapi globalisasi kerana masalah menghadapi globalisasi adalah 
satu cabaran   yang hanya mampu ditangani oleh Kerajaan Pusat. Namun begitu 
Kerajaan Kelantan   seperti mana Kerajaan Negeri-Negeri lain seharusnya terus 
memberi tekanan kepada   Kerajaan Pusat supaya menangani cabaran globalisasi 
dengan lebih bijak.

 
 Secara berseloroh, dalam ucapannya Mahathir berkata, jika Kerajaan Kelantan   
menerajui negeri ini seperti Proton pada hari ini, ranaplah Kota Bharu. Proton  
 di bawah teraju Tengku Mahaleel, seorang anak Kelantan berjaya membuat   
keuntungan demi keuntungan sehingga memperolehi wang simpanan tunai berjumlah   
RM4 billion. Malangnya, Proton di bawah teraju yang dilantik oleh Perdana   
Menteri sekarang hanya mampu membuat kerugian berjumlah setengah billion 
ringgit   setiap tahun.

 
 Dr Mahathir juga menyeru rakyat Kelantan supaya tidak terpedaya dengan   janji 
yang ditabur oleh Kerajaan Pusat yang berjumlah RM3 billion untuk   pembangunan 
lebuhraya dan empangan di Kelantan. Sebaliknya Mahathir meminta rakyat   
Kelantan untuk bertanya, mana duitnya? Tunjukkan dahulu duit tersebut!

 
 Ramai pemerhati politik menyangka ucapan terbaharu Mahathir sebagai   lanjutan 
kepada serangan-serangan kritikalnya terhadap Perdana Menteri Abdullah   Ahmad 
Badawi dan anak menantunya, sebaliknya satu perubahan ketara dilihat   daripada 
ucapan Mahathir kali ini.

 
Peri pentingnya majlis pada 6 Mei 2007 ini ialah,   buat pertama kalinya 
setelah sekalian lama,  Mahathir dan Tengku   Razaleigh Hamzah berkongsi pentas 
dan duduk sebelah menyebelah semenjak Tun   memulakan serangan demi serangan 
terhadap kelemahan kepimpinan UMNO dan negara   Malaysia sekarang. Bukan itu 
sahaja, Mahathir kali ini memberi ucapan di   atas platform yang dinaungi oleh 
Tengku Razaleigh sendiri.

 
 Satu lagi perbezaan ketara di dalam siri ucapan Mahathir yang bermula semenjak 
Jun   2006 ini, ialah ucapannya kali ini lebih bercorak amanat dan nasihat 
kepada   rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya di dalam menghadapi 
pilihan   raya umum ke-12.

 
 Tanpa berselindung, Mahathir memerli keputusan pengundi di Pilihan Raya Kecil 
Dewan   Undangan Negeri Ijok yang sanggup menggadai maruah mereka untuk wang 
berjumlah   RM200 dan mesin-mesin jahit. Mahathir menasihatkan hadirin yang 
hadir supaya   mempertahankan maruah negara di dalam pilihan raya dengan 
menolak sebarang   tawaran membeli undi mereka.

 
Membeli undi adalah rasuah, pemberi dan penerima   sama-sama melakukan 
kesalahan. Mahathir juga mahu para pengundi tidak membuat pilihan   secara 
membabi buta kerana ia hanya akan memberi mandat kepada pemerintah untuk   
melakukan apa sahaja secara membabi buta.

 
 Dalam ucapannya kali ini Mahathir tidak lagi menumpu perhatian kepada 
mengulangi   kritikan-kritikannya terhadap kelemahan Perdana Menteri sekarang, 
sebaliknya   lebih kepada menyedarkan hadirin yang hadir tentang peri 
pentingnya mereka   menghargai hak mereka sebagai pengundi.

 
 Dalam kata lain, sekiranya ahli-ahli Umno, para pengundi dan rakyat Malaysia   
bersetuju bahawa kepimpinan Kerajaan Malaysia sekarang adalah lemah dan tidak   
berwibawa, mereka seharusnya bersedia mendesak perubahan tersebut menerusi   
proses demokratik dan memangkah undi secara bijaksana.

 
Mahathir mengungkap kembali   insiden sewaktu beliau tewas ketika bertanding di 
dalam pilihan raya umum Kota   Setar pada tahun 1969 dahulu. Pengundi Cina di 
situ lebih rela mengundi parti   PAS daripada mengundi beliau (UMNO) walaupun 
PAS membawa isu membina Kerajaan   Islam.

 
Pengundi Cina waktu itu lebih rela menerima Kerajaan Islam daripada   mengundi 
seorang yang di cap Ultra-Malay. Adalah tidak salah bagi ahli Umno   sendiri 
mengundi ahli dari parti lain, jika mereka tiada pilihan lain di dalam   
menyuara ketidakpuasan mereka terhadap pimpinan Umno sekarang. Demi cinta 
mereka   terhadap Umno dan negara, mereka perlu bersedia berkorban.

 
 Jelaslah bahawa pilihan raya akan datang adalah satu-satunya peluang bagi 
rakyat   Malaysia amnya dan peyokong Umno khasnya menyuarakan protes mereka 
terhadap   kebobrokan kepimpinan Abdullah sekeluarga. Hari ini, rakyat Kelantan 
telah   menyaksikan kembalinya terjalin secara rasmi ikatan siratul rahim dua 
negarawan   Malaysia,  Mahathir dan Tengku Razaleigh.

 
Membenarkan  Mahathir menggunakan platform naungannya untuk menasihatkan rakyat 
Kelantan   mempertahankan maruah Malaysia sebenarnya membuktikan Tengku 
Razaleigh   sendiri merelakan kesinambungan pemerintah Kerajaan Negeri Kelantan 
sekarang.

 
 Dengan mempertahankan pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan di dalam pilihan   
raya umum ke-12, dan mengurangkan majoriti Barisan Nasional di peringkat   
Parlimen dan peringkat Dewan-Dewan Undangan Negeri, adalah satu-satunya cara   
untuk menggegarkan Abdullah dan keluarganya. Inilah satu-satunya proses   
demokratik yang tinggal untuk ahli-ahli Umno mengusulkan perubahan kepada parti 
  mereka.

 
Secara tidak langsung juga, Tun Dr. Mahathir menyedari, kesilapan   
kepimpinannya sewaktu menjadi Presiden Umno dengan menyukarkan jawatan pucuk   
pimpinan parti ditandingi. Hari ini, adalah lebih mudah membawa perubahan di   
dalam Umno menerusi pilihan raya umum berbanding dengan menerusi pemilihan 
pucuk   pimpinan parti. Adalah hampir mustahil mengalahkan Abdullah menerusi   
sistem demokratik di dalam Umno. Tetapi tidak mustahil untuk menumpaskan   
Abdullah sekeluarga menerusi pilihanraya umum ke-12.

 
 Adakah dengan mengungkap kembali ketewasannya di dalam pilihan raya umum 1969 
di   Kota Setar, Tun cuba memberi jawapan kepada kita semua? Masyarakat Cina 
tidak   seharusnya takut mengundi parti yang memperjuangkan Negara Islam, 
masyarakat   Melayu pula tidak harus takut untuk tidak mengundi parti yang 
ditubuhkan untuk   membela Agama, Bangsa dan Negara. Justeru, kita semua harus 
berani berkorban   demi Agama, Bangsa dan Negara! -- 
http://penembakbadak.wordpress.com/


                
---------------------------------
 New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more 
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.

Kirim email ke