Perlukah rakyat dibela - atau biarkan saja mereka derita?
Rustam A Sani
Mon | May 07, 07 | 03:35:32 PM PKR mengalami
kekalahan yang mengecewakan di tangan BN dalam pilihanraya kecil di Ijok
baru-baru ini.
Analisis mendalam akan mendapati bahawa rasuah, penipuan dan penggunaan undi
hantu yang berleluasa di Ijok menjadi faktor utama yang mendorong kemenangan BN
itu.
Namun demikian, pada masa yang sama PKR mendakwa telah meraih peningkatan
sokongan yang besar, khususnya di kalangan masyarakat Cina.
Namun hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah PKR - dan keseluruhan gagasan
Barisan Rakyat yang menggabungkan keseluruhan tenaga pembangkang - masih gagal,
gagal untuk mengatasi segala helah dan tipu daya BN dan gagal untuk mendorong
rakyat agar keluar daripada kerangka dan kepompong politik perkauman.
Namun setelah kekalahan itu dialami, dan setelah segala tipu helah BN itu
didedahkan dengan grafik sekali, tidaklah pula tercetus rasa marah umum yang
berleluasa (atau social indignation) terhadap segala pencemaran dan pernodaan
terhadap proses demokrasi itu.
Tidak terdapat indignation yang mendalam dan berpanjangan di kalangan para
penyokong pihak pembangkang apa lagi di kalangan rakyat umumnya. Sedangkan
dalam kerangka sistem demokrasi yang tulen, satu-satunya cara untuk mengubah
sesuatu keadaan yang tidak dikehendaki ialah dengan menggembleng tenaga
sebahagian besar (majoriti) rakyat untuk menolaknya.
Baik rasuah, maupun penyalahgunaan kuasa, maupun penipuan dan ketidakcekapan
pihak pemerintah, tidak akan dapat dihapuskan selagi sebahagian besar rakyat
tidak mengendahkannya dan masih sanggup menanggungnya pendeknya rakyat banyak
masih tidak berasa marah terhadapnya.
Demikianlah juga halnya nanti amalan tidak wajar dan tidak demokratis dalam
pelaksanaan pilihanraya di negara ini.
Pihak berkuasa akan terus menerus memperalatkan segala jabatan dan suruhanjaya
yang sepatunya bebas bagi tujuan memenangi pilihanraya. Sentimen perkauman
akan terus diperalatkan, kebenaran akan digelapkan atau dipesongkan melalui
penggunaan media yang tidak adil dan tidak beretika, kekerasan akan digunakan
untuk menakutkan pekerja parti lawan maupun para pengundi umumnya.
Jalan tolol
Dan amalan itu akan berterusan tahun demi tahun, pilihanraya demi pilihanraya.
Setelah sesuatu pilihanraya, maka banyaklah orang yang menjadi pakar tentang
bagaimana memenangi pilihanraya dan menghuraikan apakah kesalahan strategi dan
kaedah yang telah dilakukan oleh pihak yang kalah itu.
Andaiannya ialah seolah-olah pihak yang menang itu menang kerana strateginya
yang betul dan kerana telah menghuraikan isu-isu politik kepada rakyat dengan
begitu jelas dan telus.
Namun ada seorang teman yang telah memberikan pandangan yang agak (sebenarnya
amat) mengejutkan bagi saya.
Menurut teman itu, jalan yang dipilih pihak pembangkang untuk membela rakyat
adalah jalan yang tidak tepat malah jalan yang tolol dan dungu. Dalam
suasana pemerintahan yang tidak telus dan tidak bermoral dan rakyat pula
tidak punya kesedaran dan membiarkan saja dirinya dimanipulasi cara yang
terbaik ialah biarkan saja rakyat itu menderita. Biarkan terjerut dan mampus."
"Bila mereka sudah tidak tahan lagi," kata teman itu lagi, "seperti mereka
terpaksa menanggung beban tol lebuhraya, mereka sendiri akan bangun. Itupun,
mereka yang tidak ada tol di kawasannya masih belum juga sedar."
"Jadi, apa perlunya kalian orang pembangkang ini bermati-matian di Ijok?
Sekadar meletihkan badan dan menghadapi kemungkinan dicaci-cerca secara
peribadi oleh pemimpin BN dan dipukul dan dicederakan oleh rakyat Ijok sendiri
yang sudah kena beli!"
"Khalid Ibrahim sepatutnya lebih aman buat wang berjuta-juta ringgit dengan
menguruskan syarikat pengurusan aset dan kewangannya membuat keuntungan untuk
keselesaan dirinya dan keluarganya."
"Mengapa dia harus membenarkan dirinya difitnah oleh Najib Razak dan dipukul
oleh pekerja dan penduduk di Estet Tuan Mee?"
"Saudara sendiri.." kata teman itu lagi, sambil menuding telunjuknya ke arah
saya.
"Saudara ada kelayakan, bakat dan pengalaman untuk jadi perunding, penulis
ucapan, penasihat dan pengendali think-tank. Buatlah kerja-kerja itu untuk
orang-orang besar BN yang tolol itu. Pulangannya pasti lumayan. Kalau nasib
baik, saudara mungkin jadi proxy atau boleh dapat komisyen beratus juta ringgit
bagi pembelian kapal selam dan senjata ..."
"Tunggu sahaja sampai rakyat jahanam dan lingkup di bawah pemerintahan ini
tunggu saja mereka sendiri yang akan menjatuhkannya. Lebih teruk penderitaan
mereka maka akan lebih ganaslah balasan mereka terhadap pemerintahan ini."
"Oleh kerana penderitaan rakyat belum begitu teruk di bawah penjajahan British
dulu, selepas merdeka raja-raja yang berpihak pada penjajah itu diberikan
tempat istimewa dalam sebuah sistem raja berperlembagaan."
Biar menderita
"Tetapi kerana rakyat cukup menderita di bawah pemerintahan Belanda, lihat apa
yang terjadi pada suku-sakat raja-raja itu di Sumatera di Langkat dan di
Deli, umpamanya. Mereka diburu, dikejar dan dipancung di sawah padi..."
"Jadi biarkan saja rakyat itu menderita. Biarkan mereka sendiri yang akan
menjatuhkan penindas mereka yang zalim itu. Pada waktu itu nanti mereka tidak
memukul pihak pembangkang atau menghalang mereka memasuki estet atau kampung
mereka lagi."
"Malah mereka sendiri yang akan mencari saudara, memohon petunjuk, memohon
pimpinan dari saudara."
Saya tahu benar bahawa teman saya itu bukanlah anti-rakyat sikapnya dan
kenyataan keras dan kasar itu dibuatnya dalam keadaan tertekan dan kecewa
melihat apa yang terjadi di Ijok. Hanya kadangkala dia gemar berjenaka
(benar-benar berjenaka) kepada saya dalam bahasa Inggeris: "I have nothing but
contempt for the under-classes (Saya hanya ada rasa benci terhadap orang
golongan bawahan)."
Namun demikian, saya tidaklah berkata benar jika saya katakan bahawa fikiran
saya tidak terusik dan tidur saya pada waktu malam tidak terganggu oleh
kata-kata kesat dan berterus terang teman saya itu.
---------------------------------
To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo!
Security Centre.