Bukan soal bunuh Altantuya, jelaskan hubungan Najib dengan Razak Baginda
- Anwar Mohd Rashidi Hassan
Mon | May 07, 07 | 10:53:46 AM KUALA LUMPUR,
7 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah
menyentuh isu penglibatan Abdul Razak Baginda dengan isu pembunuhan Altantuya
Shaariibuu, tetapi percaya, terdapat beberapa isu berkaitan, adalah dalam
pengetahuan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang
sehingga kini masih enggan berbicara.
Bercakap dalam wawancara eksklusif dengan Harakah di pejabatnya baru-baru
ini, Anwar menegaskan, berdasarkan pengalamannya menjadi mangsa orang
politik, beliau bimbang akan berulang teori konspirasi yang digunakan untuk
'mengenakan orang tertentu dan menyelamatkan orang tertentu' dalam kes
terbabit.
Menurut Anwar, beliau amat mengenali Abdul Razak Baginda dan keluarganya
sejak lama dahulu.
"Ayahnya (ayah Razak) teman baik, bekas Ketua Pengarah Belia Malaysia, saya
kenal sejak Razak jadi Pengarah Defense College, kemudian dia menjadi think-
thank Dato' Seri Najib, ada beberapa program yang dia selenggarakan, saya
diundang untuk hadir."
"Tetapi saya kenal memang dia orang kanan Dato' Seri Najib, menyediakan
ucapannya, perjalanan ke luar negara, sahabat baik, sahabat keluarga,
penasihat politik, tergabung dalam itu semua," jelas Anwar.
Menurut Anwar, beliau yakin rakyat mahukan penjelasan dari TPM kerana
difahamkan Abdul Razak adalah juga orang yang memegang saham utama beberapa
syarikat yang dikatakan menerima komisyen (penjualan senjata).
Tegas Anwar, beliau tidak gentar jika Najib dan kuncu-kuncunya akan
menggunakan strategi menyerang peribadi beliau kerana terhimpit dengan
pelbagai skandal dan rasuah yang tidak terjawab sehingga kini.
Kata Anwar, beliau sedar dirinya akan menjadi mangsa serangan jahat dan kotor
Barisan Nasional khususnya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Ngeri Ijok
yang berakhir 28 April lepas.
Menurutnya, nampak jelas ketakutan Najib dan orang-orangnya sehingga
menggunakan video tahun 1998, mendakwa Anwar terbabit dengan skandal seks
yang digunakan oleh konspirator untuk menjatuhkannya sebagai Timbalan Perdana
Menteri dan Timbalan Presiden Umno ketika itu.
"Kalau dia (Najib) ada skandal saya, dia boleh keluarkan, saya tidak gentar,
bagi saya, rakyat boleh mempertikaikan gaya hidupnya, pakaian, rumah dan
kenderaannya, ini bukan isu peribadi kerana saya 'public figure'.
"Ini beza dengan dalam Umno, BN, anda boleh curi RM500 juta, apabila orang
tanya, anda kata itu isu peribadi. Bagi saya isu peribadi ini soal lain, anda
jumpa siapa, di mana, di Seremban ke Port Dickson ke, itu boleh jadi isu
peribadi," tegasnya sinis.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak memilih untuk menyerang peribadi Timbalan
Perdana Menteri melainkan hanya jika terpaksa berbuat demikian.
Bagi beliau, yang dipersoalkan mengenai pelibatan Najib adalah kaitannya
dengan Abdul Razak Baginda dan soal pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang
menarik perhatian seluruh dunia.
Tegas Anwar, isu komisyen RM520 juta yang beliau bangkitkan juga merupakan
hak rakyat untuk mengetahuinya untuk memastikan kepimpinan negara supaya
benar-benar bersih daripada rasuah.
Katanya, selaku Menteri Kewangan suatu ketika dahulu, beliau turut terbabit
mengawasi perundingan pembelian senjata antara Kerajaaan Malaysia dengan
syarikat asing.
"Saya belum pernah melihat cara sekotor, sejijik itu (urusan pembelian
senjata) dari segi pengumpulan kekayaan (untuk individu tentu)," tegasnya.
Sebab itu katanyanya, beliau menggesa Najib menjawab tetapi sehingga sekarang
beliau tidak menjawabnya, sebaliknya meminta Kementerian Pertahanan menjawab
bagi pihak beliau.
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.