Kelantan lantik peguam kaji isu di Lojing
Salmiyah Harun
Wed | May 09, 07 | 06:49:10 PM KOTA BHARU, 9
Mei (Hrkh) - Kerajaan Kelantan bersetuju melantik Tetuan Cheang & Arif sebagai
peguam bagi mengkaji sebarang tindakan atau pandangan berhubung masalah sebenar
yang berlaku di Tanah Tinggi Lojing.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancang Ekonomi, Kewangan dan
Pembangunan Masyarakat, Dato Husam Musa berkata, peguam terbabit sudah
menyatakan persetujuan untuk mewakili kerajaan negeri.
Dengan pelantikan peguam tersebut mereka akan memberi pandangannya dan kita
lihat nanti apa dan cadangan yang akan dibuat, katanya kepada pemberita
selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Ketika ditanya, sama ada pelantikan peguam itu untuk mengenakan tindakan
sewajarnya terhadap pihak yang melanggar undang-undang Husam berkata, biarlah
pihak peguam yang akan tentukan.
Sebelum ini, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu
kerajaan negeri akan melantik peguam bagi meneliti dan mengkaji perlanggaran
syarikat yang diberi konsesi di Lojing terhadap peraturan-peraturan ditetapkan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum 1990.
Beliau memberitahu pelantikan peguam itu bertujuan untuk melihat sama ada
berlaku pelanggaran syarat kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA) oleh
syarikat terbabit.
Isu Lojing sebelum ini ditimbulkan Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli
dan Alam Sekitar, Dato Sazmi Miah dengan mendakwa sebanyak 22 projek sedang
rancak dijalankan di tanah tinggi itu, namun lima sahaja yang mendapat
kelulusan EIA.
Malah katanya, kemusnahan ekologi dan alam sekitar sedang berlaku di kawasan
seluas 25,000 hektar di Lojing di mana bukit setinggi 1,200 meter gondol tanpa
sebarang pokok.
Dalam kenyataan terbarunya pula beliau memberitahu kertas siasatan berhubung
kesalahan dilakukan lapan syarikat di Lojing sudah diserah kepada Pejabat
Peguam Negara. - /mj
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.