Muslimat sokong langkah memanjangkan tempoh cuti bersalin                 
                            Roy Rasul      
         Wed | May 09, 07 | 05:21:03 PM                              KUALA 
LUMPUR, 9 Mei  (Hrkh) – Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh 
cadangan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat kepada kerajaan supaya 
cadangan memberi cuti bersalin 84 hari dapat dipercepatkan.

  

       Bahkan kata, Timbalan Ketuanya, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, sepatutnya cadangan 
itu digenapkan kepada tiga bulan.

  
 “Perkara yang baik Muslimat sokong biarpun cadangan itu dibawa oleh seorang 
menteri Barisan Nasional (BN) kerana memberi munafaat kepada masyarakat. Di 
sini juga kenapa 84 hari saja dan tidak digenapkan kepada 90 hari,” katanya 
ketika diminta mengulas cadangan tersebut.

 
 Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga  dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat 
Jalil hari ini dipetik sebuah akhbar tempatan sebagai berkata,  kementeriannya 
akan menghantar semula memorandum  cadangan  cuti bersalin selama 84 hari ke 
kabinet untuk dilulus dan dilaksanakan segera.

 
 Menurut Dr Lo’Lo’ cuti panjang tersebut akan memberi peluang kepada ibu yang 
melahirkan itu pulih dengan baik dan memberi masa yang lama untuk menyusukan 
anaknya.

 
 Malah katanya ia satu pelaburan yang sangat penting kepada anak dan 
keluarganya.

  
 “Saya rasa ini adalah satu langkah patut disokong dan sebenarnya ini adalah 
salah satu agenda perjuangan Muslimat malah kita ada beberapa perancangan 
mungkin cuti tersebut dicadang sehingga enam bulan.

  
 “Biarpun pelaksanaan tersebut tidak mudah dilaksanakan tetapi ia lahir dari 
Badan Bukan Kerajaan (NGO), maknanya ia boleh dilaksana dengan mendapat 
kerjasama dari Perkeso, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya,” 
katanya.

 
 Malah katanya, cadangan itu dijangka tidak membebankan majikan sama ada 
kerajaan ataupun swasta.

 
 Apapun katanya, pelaksanaan tiga bulan adalah satu langkah permulaan yang baik.

 
 “Kita harap selepas  ini mungkin lebih lama lagi tempoh cutinya lebih lama. 
Ini kerana institusi keluarga semakin rapuh dan  jangan dirasakan rugi 
sekiranya para ibu memberi tumpuan lebih kepada anak-anak."

 
 “Jika institusi keluarga mantap, masalah jenayah, sosial, rasuah dan 
sebagainya dalam masyarakat dapat dikurangkan, kerana ibulah yang pemberi 
pendidikan awal kepada anak,” katanya.

 
 Katanya jangan terlalu mengejar wang ringgit sehingga majikan berasa rugi 
kerana pekerjanya cuti bersalin.

 
 Oleh kerana itu katanya, tidak timbul kemerosotan prestasi kerja dan lain-lain 
andainya diberi cuti panjang.

 
 Dalam pada itu katanya, dalam masa yang sama pekerja tidak seharusnya bersalin 
setiap tahun.

 
 “Dengan pelaksanaan cuti tersebut tidak semestinya ibu itu bersalin setiap 
tahun kerana risikonya bukan saja terhadap pestasinya tetapi juga kepada 
kesihatan ibu dan anak-anak akan terjejas,” katanya.

 
 Sebab itu katanya para ibu seharusnya wujudkan satu keluarga yang terancang 
agar pengurusan dan pembinaan keluarga lebih teratur. - mks. 


                
---------------------------------
 New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more 
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.

Kirim email ke