Perutusan Hari Ibu: Dunia akan jadi aman jika nasihat ibu dipatuhi        
                                     Hajjah Fuziah Salleh      
         Fri | May 11, 07 | 02:52:41 PM                         Setiap tahun, 
pada hari Ahad, minggu kedua dalam bulan Mei, seluruh warga dunia akan 
menyambut Hari Ibu dengan penuh perasaan – seringkali perasaan itu berbeza 
mengikut keadaan ibu masing-masing. Ada ibu yang masih hidup, ada pula yang 
telah kembali ke sisi Tuhannya dan ada ibu pula yang sudah tidak berupaya.

 

 Tahun ini, Hari Ibu di sambut pada 13 Mei 2007. Tarikh tersebut mengingatkan 
kita pada suatu peristiwa yang signifikan, 13 Mei 1969 di mana telah menjadi 
titik permulaan kepada perubahan perjalanan sosio-ekonomi-politik negara serta 
hubungan di antara kaum dan bangsa di Malaysia. Sebelum itu, telah tercetus 
pertumpahan darah di antara kaum-kaum yang utama di Malaysia kerana sikap ingin 
mendominasi yang kian meluap ketika itu.

 
 Kini di banyak negara di dunia, pertumpahan darah terus berlaku akibat 
peperangan antara negara, dan perselisihan antara warga setempat. Ada juga 
pertumpahan darah yang berlaku, walaupun dalam darjah dan skala yang jauh lebih 
ringan, seperti dalam pilihan raya kecil Dun Ijok baru-baru ini. Juga berlaku 
keganasan dalam jenayah-jenayah yang makin serius, seperti kes ragut, rogol dan 
bunuh, khususnya di bandaraya-bandaraya seperti Kuala Lumpur, menjadikan 
tempat-tempat tumpuan seumpama itu tidak lagi begitu selamat kepada penduduk 
dan pelancong.

 
 Konsep keibuan seringkali dikaitkan dengan kasih sayang, keamanan, 
perlindungan dan kebaikan kepada umat manusia. Ibu menjadi simbol kepada 
keutuhan dan kegemilangan sesuatu budaya dan bangsa manusia di dunia. Ibu 
berperanan memastikan bahawa keluarga, masyarakat dan negara tetap stabil, 
intact, dan memiliki nilai budi dan akhlak yang tinggi. Ibu adalah nadi dalam 
kehidupan setiap insan. Beliau adalah tempat mengadu, bermusyawarah, menyatakan 
isi hati, dan bersenda-gurau. Apalah ertinya dunia tanpa ibu yang menyayangi 
kita. Kasih sayangnya tiada had dan syarat... begitu murni rasa hati seorang 
ibu.

 
 Pengorbanan pula merupakan ciri sinonim bagi seorang ibu. Ibu senantiasa 
meletakkan kepentingan orang lain mengatasi dirinya. Contoh inilah yang perlu 
diteladani oleh semua lapisan dan generasi manusia. Keupayaannya untuk 
berkorban seolah-olah tanpa batas, walaupun ketika berlaku ketidakupayaan 
fizikal; kita masih melihat seorang ibu akan tetap mencuba sedaya-upayanya. Ibu 
juga akan senantiasa mendoakan yang terbaik untuk sekelian yang menjadi 
amanahnya. Mana pula ada ibu yang mahukan yang buruk untuk anaknya?

 
 Dunia semakin mencabar dan dipenuhi berbagai arus yang merosakkan umat manusia 
dan masa depan mereka jika tidak dikawal. Dalam suasana perang di beberapa 
negara di dunia, peningkatan peratusan jenayah, penyakit AIDS/HIV, perdagangan 
manusia yang tinggi, insiden korupsi yang membimbangkan, dan pentadbiran negara 
yang mengabaikan kemaslahatan rakyat. Telah menjadikan peranan ibu semakin 
mencabar dan mendebarkan, khususnya dalam memainkan peranannya sebagai 
penasihat, pengawal suasana, penghalang keburukan dan kemungkaran juga penegak 
kebenaran dan keadilan.

 
 Peranan ibu sedia melewati pengurusan makanan, pakaian dan keselesaan untuk 
anak-anak dan keluarganya – tidak lagi seperti tanggapan sesetengah orang 
terdahulu. Tugas ibu yang paling utama adalah memastikan mereka yang di bawah 
jagaan dan pengurusannya memelihara dan menghayati iman serta kepercayaan 
mereka terhadap Allah, Pencipta mereka.

 
 Dengan itu, para ibu akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan apa yang 
dianjur dan diredai oleh-Nya, menentang segala bentuk penyelewengan dan 
kemungkaran yang mampu memusnahkan kehidupan insan dan umat manusia. 
Penyelewengan dan kemungkaran adalah dua perkara yang boleh dengan mudah 
menyusah dan memporakperandakan kehidupan anak-anak dan anggota masyarakat 
serta menjerumuskan negara ke kancah ketidakstabilan seperti yang telah 
dipaparkan oleh sejarah. Sebegitu besar peranan seorang ibu yang prihatin dan 
bijaksana.

 
 Dunia akan menjadi lebih selamat dan jauh dari kemusnahan jika campurtangan 
ibu diizinkan dan nasihat ibu didengari kerana tiada ibu yang akan redha kepada 
pertumpuhan darah, sebarang bentuk jenayah dan pencabulan hak terhadap 
mana-mana individu atau kelompok yang lain.

 
 Sudah tiba masanya, sempena Hari Ibu 2007 ini, para pemimpin di dunia, 
khususnya di Malaysia, menggarap dan merealisasikan hasrat para ibu yang 
inginkan keamanan dan kesejahteraan yang hakiki, jauh dari sebarang pencemaran 
nilai dan akhlak – kerana masa depan dunia dan Malaysia sangat bergantung 
kepada pemimpin dan kepimpinan yang bijak emosi serta meletakkan kepentingan 
orang lain sebagai mengatasi kepentingan dirinya sendiri.

 
 Sekiranya tiap hari diisytiharkan sebagai Hari Ibu, di mana setiap anak 
dituntut merenung hasrat ibu dan kemudian dituntut untuk cuba merealisasinya, 
adakah mungkin akan kesampaian hasrat seorang ibu seperti yang tersebut di atas 
tadi?

 
   Terima kasih ibu kerana inginkan dan doakan yang terbaik untuk kami.   
Semoga Tuhan sentiasa merahmatimu.


                
---------------------------------
 All New Yahoo! Mail – Tired of unwanted email come-ons? Let our SpamGuard 
protect you.

Kirim email ke