Edisi Nasional: Sosej
usus babi
Oleh Jamilul Anbia Md Denin dan Muhd
Izawan Baharin
[EMAIL PROTECTED]
SELAYANG: Pihak berkuasa membongkar kegiatan sebuah kilang
memproses daging sosej yang dikesan menggunakan usus haiwan disyaki babi
sebagai sarung sosej.
Kilang berkenaan turut didapati menggunakan logo halal palsu
pelbagai jabatan agama pada bungkusan produknya.
Sosej yang dikeluarkan syarikat pengilang bukan Bumiputera itu
diedar secara meluas ke beberapa pusat beli-belah terkemuka tanpa disedari pengguna
Islam.
Hasil siasatan mendapati pemilik kilang terbabit turut
membekalkan hampir 4,000 sosej setiap hari kepada restoran di sebuah pasar raya
terkenal di Damansara.
Kegiatan itu didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) selepas mendapati kilang yang membekalkan sarung sosej berkenaan
syarikat sama yang turut memproses produk berasaskan daging babi.
Penyelaras Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata
Bahagian Siasatan PPIM yang melakukan risikan sebelum ini mendapati kilang
terbabit mendapatkan bekalan sarung sosej diperbuat daripada usus haiwan
daripada sebuah syarikat yang beroperasi di Subang Jaya.
Menurutnya, pihaknya pernah menyamar sebagai wakil pengilang
untuk membuat tempahan sarung sosej terbabit dan syarikat itu mengakui produk
itu diperbuat daripada haiwan yang haram dimakan umat Islam.
Perkara itu terbongkar selepas pemeriksaan lebih empat jam oleh
15 pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Kesihatan negeri,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan PPIM
di kilang memproses daging sosej dan kilang membuat sarung sosej berkenaan, di
sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, pengilang sosej yang
berusia lewat 50-an gagal menjawab soalan berhubung sarung sosej yang digunakan.
Malah, puluhan bungkusan berisi kulit usus terbabit yang siap
digaram tidak mempunyai label pengeluar pada tongnya, menyebabkan ia disyaki
usus babi mentah yang sudah dibuang lemak.
“Tambah mengejutkan apabila Jabatan Perkhidmatan Haiwan
sebelum ini mengesahkan tiada syarikat luar negara yang diiktiraf dan disahkan
halal oleh pihak berkuasa negara ini bagi membekalkan sarung sosej berasaskan
organ haiwan.
“Oleh itu kita mengesyaki ada sesuatu tidak kena di
kilang sosej terbabit. Malah, kebanyakan pengguna terpedaya apabila pengeluar
sewenang-wenangnya melekatkan label halal Majlis Agama Islam Selangor dan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bungkusan produk,” katanya.
Menurutnya, sarung sosej yang dihasilkan daripada bahan protein
haiwan pada amnya sukar ditentukan halal haramnya kerana selepas haiwan
disembelih, kulit usus atau bahan mentah yang diproses menjadi sarung sosej
akan melalui satu proses lain yang memerlukan teknik tertentu di kilang
berlainan dari rumah penyembelihan.
“Setiap sarung sosej yang dihasilkan memerlukan bahan
mentah yang banyak. Kemungkinan bahan mentah daripada haiwan yang disembelih
akan bercampur dengan bahan mentah haiwan tidak disembelih adalah tinggi.
“Perkara ini menimbulkan tanda tanya berikutan tiada
kilang mengeluarkan usus halal di negara ini. Pengguna Islam perlu dijelaskan
berhubung keraguan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan dan Pendakwaan Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohamad Sopa
Sarjan, berkata pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pengilang terbabit
atas kesalahan menggunakan logo halal Jais yang sudah tamat tempoh pada 28
Januari 2004.
Menurutnya, pengilang terbabit turut menggunakan logo halal
palsu Jakim serta satu logo halal lain yang salah ejaan dalam tulisan jawi pada
kotak, label pelekat dan bungkusan plastik.
“Pengilang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15
Akta Perihal Dagangan 1972 kerana kesalahan menggunakan nama agensi kerajaan
tanpa kebenaran yang boleh didenda RM250,000.
“Hasil serbuan itu KPDNHEP merampas kotak, pelekat selain
115 kotak sosej yang sudah siap dibungkus,” katanya.
Susulan serbuan pertama itu, pihak berkuasa turut membuat
rampasan produk berkenaan di sebuah lagi kilang pengeluar barangan makanan yang
menggunakan sijil halal tamat tempoh di Selayang.
Hasil siasatan mendapati kilang itu masih menggunakan logo
halal walaupun tempohnya sudah tamat pada 28 Januari tahun lalu.
Berikutan itu, pihak berkuasa merampas 95 kotak sosej yang dianggar
bernilai RM23,750 serta menyita kilang terbabit selama dua minggu.
Siasatan juga mendapati, kilang itu mengedarkan produk keluaran
mereka di beberapa pasar raya dan hotel terkemuka di Lembah Klang.
“Satu serbuan turut dilakukan di restoran di sebuah pasar
raya dipercayai mendapat bekalan daripada kilang terbabit dan kami merampas 60
kotak berisi sosej bernilai RM14,425,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra
Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, yang turut serta dalam operasi itu
berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua kilang terbabit menggunakan logo halal
tamat tempoh dan sudah ditarik balik kebenarannya oleh majlis agama.
“Penutupan selama dua minggu itu akan membolehkan
pemantauan lanjut dibuat,” katanya kepada pemberita selepas serbuan
ketiga diadakan di sebuah pasar raya di Damansara