Tongkat Ali, Minyak Lintah dan krisis keyakinan Melayu

 

Maszlee Malik

 

 

Di dalam bukunya "Looking Foward", George W. Bush Sr. Telah menyatakan dua impian utamanya. Yang pertama, beliau ingin merubah perjalanan sejarah (to change the course of history), dan yang keduanya, beliau ingin melihat gambarnya terpampang di dinding Rumah Putih bersama gambar Abraham Lincoln di tengah-tengah gambar para Jeneral Perang Saudara Amerika yang lalu. Apa yang berlaku?, impiannya tercapai, walaupun tidak seratus peratus. Sekurang-kurangnya, apa yang telah dilakukan oleh beliau dan seterusnya disambung oleh anaknya merupakan salah satu dari "kejayaan" beliau merubah sejarah. Bagaimanakh pula Looking Foward masyarakat Melayu kita?, dalam bidang politik, ekonomi, keduniaan dan keagamaan?, alhamdulillah mungkin sekarang ini minda Melayu moden adalah lebih baik dari sebelum ini. Sayangnya minda looking forward dalam minda Melayu baru ini sebenarnya sedang diancam dengan pelbagai ancaman. Artikel ini akan cuba melihat ancaman mentaliti "tidak yakin pada diri" orang Melayu, terutamanya dari kalangan generasi muda yang disebabkan oleh bisnis "tambahkan kekuatan" yang begitu berleluasa di serata Malaysia dewasa ini.

 

Ketika mengunjungi Pulau Langkawi baru-baru ini, dua orang rakan pensyarah dari luar negara telah bersama saya untuk menikmati keindahan pulau Langkawi yang terkenal dengan lagenda Mahsuri. Ketika sedang sibuk membelek-belek pelbagai barangan yang dijual di gerai-gerai di sekitar makam Mahsuri yang kini telah menjadi sebuah kompleks, kami telah cuba dipancing oleh salah seorang penjual dari gerai-gerai tersebut. Dia menawarkan "minyak power" dengan harga yang istimewa. "Minyak Power" yang ditawarkan itu bukanlah minyak kuda untuk membantu para atlit berlari laju. Ianya juga bukanlah minyak masak tanpa kolestrol yang amat baik untuk jantung. Ianya juga bukanlah minyak sintetik untuk membuatkan perjalanan enjin lebih lancar dan enjinnya pula lebih bersih. Ianya tidak lain dan tidak bukan merupakan "minyak lintah". Ianya betujuan untuk menguatkan senjata orang lelaki. Ini dapat dilihat dengan jelas pada gambar-gambar yang diikatkan bersama dengan botol minyak tersebut sebagai manual penggunaannya.

 

Rakan saya yang kurnag memahami fungsi minyak tersebut dan juga loghat utara yang kami gunakan sebagai medium komunikasi lantas bertanya : "Untuk apakah minyak tersebut"?. Saya cuba menerangkan secara ringkas tentang fadhilat minyak tersebut. Dia lantas bertanyakan satu soalan cepu emas yang juga pernah diajukan oleh rakan-rakan saya dari negara-negara Timur Tengah, "Orang-orang Malaysia semuanya lemah ke???". Apa agaknya yang anda akan jawab jika anda berada di tempat saya?. Mereka juga sering bertanyakan : "Adakah orang Malaysia berkahwin ramai sehingga memerlukan "kuasa tambahan"?". Kehairanan mereka berasas, mengapa tidak!, bukan hanya sekadar minyak power itu sahaja, lihatlah iklan-iklan mengurut tenaga batin, minuman-minuman kekuatan tenaga batin yang diiklankan, tongkat Ali, misai kucing, minyak lintah dan 1001 satu lagi metod yang boleh menambahkan kekuatan menjadi salah satu kemestian di dalam pasaran popular masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu. Tidak kurang juga para penjual ubat-ubat kuat yang tidak jemu-jemu menemui para peminat mereka di hadapan masjid India, di tepi stesen bas bandar Melaka, pasar tani seksyen 17 PJ, di tepian Sungai Seget JB, di pasar-pasar malam dan juga mana-mana kaki lima yang boleh dijadikan tapak untuk "doktor"-"doktor" ini mencari sesuap nasi. Iklan-iklan di akhbar-akhbar tabloid, majalah-majalah, tiang-tiang lampu, tembok-tembok sekitar Lembah Klang, dan di mana-mana sahaja ruang yang boleh dijadikan tempat untuk golongan ini memasarkan khidmat mereka.

 

Yang pasti mereka-mereka yang termakan untuk melanggan khidmat-khidmat tersebut, ataupun membeli produk-produk yang seumpamanya adalah mereka-mereka yang telah termakan dengan "culture of fear" yang telah diwujudkan oleh golongan-golongan yang mempunyai kepentingan di dalam bisnis "menambahkan kekuatan" berkenaan. Antara ketakutan yang tersebar luas di kalangan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu adalah, orang Melayu tidak sekuat orang India, orang Arab dan bangsa-bangsa lain ketika beraksi. Antara mitos yang diwujudkan juga ialah, ramai di kalangan lelaki Melayu yang menghadapi masalah "melfuntion" pada senjata mereka dalam usia yang muda. Dongeng yang sering diimani oleh masyarakat juga ialah, disebabkan oleh cara pemakanan dan juga bahan-bahan kimia di sekeliling kita, maka banyaklah para lelaki Malaysia yang menghadapi masalah "kematian" organ reproduksi mereka secara drastik. Secara sedar ataupun tidak, mitos, dongeng dan juga persepsi inilah yang telah melakukan bisnis "menambah kekuatan" di Malaysia berbanding dengan negara-negara lain. Yakinlah jika mitos, dongeng dan juga persepsi ini dicabar secara ilmiah oleh pemikiran majoriti rakyat Malaysia, nescaya bisnis ini akan menemukan batu nesannya. Bukan setakat itu sahaja, malah orang Melayu akan bertambah maju!

 

Melayu bertambah maju tanpa alat-alat menambahkan kekuatan?!!!, ya itulah hakikatnya. Dengan kebanjiran alat-alat menambahkan kekuatan ini dan juga dengan berkembang pesatnya bisnis ini, orang Melayu sebenarnya menjadi hilang keyakinan diri dan juga lemah secara psikologinya. Manakan tidak, kemampuan normal yang mereka punyai, mereka sendiri meragukannya. Walaupun ianya hanya di dalam urusan "atas katil" sahaja, tetapi kesan ketidak yakinan pada diri sendiri ini sebenarnya mencorakkan pemikiran separa sedar mereka yang akhirnya merasakan mereka sentiasa memerlukan sesuatu untuk menyelamatkan seluruh kehidupan. Mereka juga merasakan diri lemah dan juga tidak mampu untuk bersaing kecuali dengan bantuan minyak itu dan minyak ini. Bukan sekadar itu sahaja, perasaan "kelemahan senjata" ini telah menyebabkan segala tumpuan para remaja dan orang muda yang memikirkan masa hadapan kekeluargaan mereka telah mencurahkan tenaga dan waktu mereka demi memastikan mahligai yang akan dibina nanti tidak akan runtuh bersama layunya senjata mereka. Minyak-minyak, buku-buku dan lain-lain bahan sokongan menjadi bahan yang wajib dimiliki oleh setiap remaja dan pemuda Melayu. Bukan sekadar itu sahaja, malah bahan-bahan bacaan lucah turut dijadikan bahan alat bantu "penguat" demi memastikan keharmonian kehidupan berkeluarga mereka yang disangkakan semuanya hanya berkisar tentang acara atas katil sahaja. Antara kata-kata keramat para penggiat bisnis "menambahkan kekuatan" ini ialah "Ramai isteri mengadu tidak puas, dan banyak keluarga yang musnah akibat ramai lelaki yang mempunyai senjata yang kurang berfungsi". Kata-kata inilah yang telah menghantui anak-anak muda Melayu sehingga ianya menjadi kata-kata motivasi untuk mereka benar-benar memperlengkapkan diri dengan pelbagai seni "kekuatan" dan melupakan tugas utama untuk belajar, menguasai ilmu dan juga berusaha menerokai bidang-bidang yang dikuasai oleh bukan Islam di dalam kehidupan.  

 

Krisis keyakinan diri masyarakat Melayu ini perlu diubati segera. Ianya jika dibiarkan berlanjutan hanya akan membawa kepada kelemahan mereka di dalam berfikir dan juga berusaha. Mungkin dengan alat-alat penguat yang berlambak di pasaran, mereka boleh menguatkan senjata mereka yang sebenarnya tiada apa kekurangan pun, tetapi kesan mentaliti "lemahnya diri" yang telah bersarang di dalam minda separa sedar mereka akan tetap menghuni kawasan itu dan akan mencorakkan sikap dan cara mereka bertindak. Sesuatu perlu dilakukan untuk merubah mentaliti ini, ianya perlu dilakukan dengan segera sebelum keadaan semakin parah. Keyakinan orang-orang Melayu perlulah dipulihkan, bukan hanya sekadar keyakinan mereka terhadap kekuatan mereka di atas katil, malah kekuatan mereka di dalam bidamg keagamaan dan juga segala bidang kehidupan!




--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke