Kenaikan berterusan harga petrol ubah tahap sosial hidup rakyat
Sunday, July 31 @ 16:30:06 MYT


KOTA BHARU, 31 Julai (Hrkh) – Kenaikan kali ketiga berturut-turut harga petrol dan diesel tahun ini dianggap boleh mengubah tahap sosial kehidupan rakyat di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pekerja-Pekerja Islam Kelantan, Dr Mohd Izani Hussin berkata, kenaikan terbaru yang berlaku hari ini dipercayai boleh mengundangkan suasana tidak harmonis.

“Ini kerana kenaikan tersebut tidak seiring dengan kenaikan pendapatan rakyat. Misalnya bagi mereka yang berpendapatan RM500 sebulan apa lagi benda yang boleh dibeli dengan pendapatan sebanyak itu.

“Kenaikan harga petroleum tidak boleh menyekat kenaikan harga barangan keperluan harian. Penjual dan pemborong tentunya mahu berkongsi kenaikan tersebut dengan pengguna,” katanya di sini.

Kerajaan semalam mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 10 sen dan diesel sebanyak 20 sen lagi menjadikan harga petrol kepada RM1.62 sen seliter dan diesel (RM1.58 sen seliter) di pasaran tempatan.

Sedangkan sebelum ini pada Mac dan Mei lalu kenaikan sudah berlaku. Biar pun kenaikan itu berlaku kerajaan masih lagi memberi alasan harga petrol masih termurah di Asean kecuali Brunei.

Dr Mohd Izani yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Kelantan berkata, suasana tidak harmonis boleh berlaku apabila rakyat yang berpendapatan kecil tidak mampu lagi menyediakan keperluan harian keluarga mereka.

“Mereka boleh melakukan apa-apa sahaja kerja sampingan asalkan mendapatkan wang. Ini dibimbangi boleh mendorong kepada kegiatan tidak sihat semata-mata bagi mendapatkan wang.

“Keadaan ini lebih besar kesannya daripada kerugian berbilion ringgit subsidi yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi mengimbangi kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kenaikan tersebut turut mencerminkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mengekalkan penghargaan rakyat yang menyokong parti tersebut pada pilihan raya umum lalu.

Kata beliau, mungkin kerajaan BN merasakan tempoh pilihan raya masih jauh, menyebabkan bebanan kenaikan harga minyak mahu diletak di bahu rakyat sewenang-wenangnya.

“Namun malang sekali rakyat di negara ini kurang sensitif dan mereka mudah terpengaruh dengan pujuk rayu pemimpin Umno setiap kali berlangsung pilihan raya. Dengan umpan yang sedikit rakyat lupa masalah yang dihadapi selama ini,” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan yang suka menguar-uarkan harga petrol masih rendah berbanding di negara Asean lain, katanya rakyat sering diperbodohkan dengan kenyataan seperti itu.

Beliau berkata, sebagai perbandingan mudah, biar pun di Thailand harga petrol dan diesel lebih tinggi, namun mereka tidak dibebani dengan cukai jalan dan insurans yang tinggi seperti di negara ini.

Kata beliau, sekiranya perbandingan seumpama itu mahu dibuat, parameter yang menyeluruh harus dibuat kerana setiap aspek kehidupan saling berkaitan.

Setiausaha Kehormat persatuan itu, Che Abdullah Mat Nawi berkata, amaran kerajaan tidak boleh menaikkan harga barangan dan perkhidmatan selepas harga minyak dinaik dianggap sekadar melunakkan rakyat.

"Mengapa kerajaan sahaja yang boleh memberi amaran kepada rakyat, sedangkan keluhan rakyat yang mempunyai hak memilih kerajaan ketika pilihan raya dibiarkan begitu sahaja," ujarnya yang juga Penyelia DUN Wakaf Bharu.

Yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkifli Muhamad berkata, rakyat seperti menerima apa sahaja keputusan dibuat kerajaan, biar pun mereka mengetahui bebanannya cukup besar.

Katanya, mereka nampak releks sahaja sedangkan kehidupan semakin sukar kerana harga barangan keperluan harian tentunya meningkat lagi dengan peningkatan harga petroleum.

“Cukup malang rakyat di negara ini sering dibuai mimpi, biar pun ada yang marah dengan kenaikan tersebut, tetapi mereka mudah dipujuk dan tetap menjadikan BN sebagai pilihan ketika berlangsung pilihan raya, katanya.

Seorang peniaga, Haji Sufly Abdul Razak berkata, rakyat negara ini mudah diperdayakan kerajaan biar pun setiap hari mereka berdepan dengan keluhan kenaikan harga barangan.

Katanya yang juga Penyelia DUN Bukit Bunga, hujah yang disebut bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Melayu mudah lupa memang tepat sekali.
- MJ


Yahoo! Messenger NEW - crystal clear PC to PC calling worldwide with voicemail


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke