ICC London pusat dakwah Islam di Eropah

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Syeikh Ali Ahmed Abdillahady.

SEMASA pelbagai tohmahan dilemparkan kepada umat Islam berikutan insiden serangan ke atas World Trade Centre di New York pada 11 September 2001, Masjid Pusat London dan Pusat Kebudayaan Islam (ICC) terus menjalankan tugas dakwahnya seperti biasa.
 
Bangunan yang tersergam indah di 146 Park Road kira-kira 10 minit perjalanan dari ibu kota London itu dibina pada 1976 menjadi mercu tanda dan pusat kegiatan Islam kepada lebih 1.6 juta umat Islam Britain.
 
Di sini, selain mengerjakan ibadat khusus umat Islam dari pelbagai kaum dan warna kulit terus membuktikan agama anutan mereka amat menitikberatkan persaudaraan, keamanan dan perdamaian.
 
Hubungan akrab sesama Muslim dan juga orang lain sentiasa diberi perhatian sesuai dengan ajaran Islam agar menjaga hubungan sesama manusia selain hubungan dengan Allah. Buktinya, mereka memilih masjid ini sebagai tempat pertemuan untuk bertukar-tukar pandangan dan bertanya khabar sementara menunggu waktu solat fardu. Semua ini dapat dilihat apabila kita menjejakkan kaki di masjid ini.
 
Ini bertepatan dengan firman Allah, Mereka yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta yang menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka, adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk. (At-Taubah: 18)
 
Senibina Kompleks Bangunan Masjidnya terbahagi kepada dua elemen utama bangunan utama yang mengandungi dua ruang solat utama dan bangunan tiga tingkat di sebelahnya yang menempatkan ruang masuk, perpustakaan, bilik bacaan, pejabat pentadbiran dan menara azan.
 
Lebih tepat lagi, bangunan ini menjadi mercu tanda kepada senibina Islam di Eropah kerana ia mengadunkan senibina tradisional dan moden serta campuran Barat dan Timur serta disifatkan cantik dan terulung dalam bentuknya.
 
Malah masjid ini juga menjadi antara lokasi paling kerap dikunjungi oleh masyarakat tempatan dari agama lain termasuk pengunjung dari Amerika Syarikat (AS) untuk melihat sendiri tata cara kehidupan masyarakat Islam.
 
Ini dibuktikan melalui statistik pengunjung ke situ yang mencecah 12,000 orang setiap tahun selain ratusan kumpulan pelawat dari semasa ke semasa yang disertai oleh mereka yang berumur dari lima sehinggalah 80 tahun. Pada tahun 2002, masjid dan ICC ini menerima kunjungan daripada lebih 160 sekolah dari seluruh negara.
 
Konsep
Antara ulama yang pernah melawat ialah Sheikh Yusuf Al-Qaradawi manakala orang kenamaan Britain ialah Setiausaha Luarnya, Jack Straw.
 
Kunjungan mereka ke sini sentiasa disambut mesra oleh petugas masjid terutamanya Pegawai Dakwah (bahasa Inggeris) masjid dan ICC, Abdulraheem Green yang berperanan memberi penjelasan dan menjadi pegawai pelancong di kawasan persekitaran.
 
Setiap pengunjung diberikan maklumat tepat tentang konsep dan definisi Islam yang ditegakkan oleh lima rukun Islam dan enam rukun iman. Dalam masa yang sama, turut dijelaskan tentang konsep tauhid dan keesaan Allah, tuhan yang berhak disembah oleh sekelian makhluk terutama manusia.
 
Semasa berada di masjid itu baru-baru ini, penulis sempat menyaksikan bagaimana Abdulraheem menyampaikan dakwahnya kepada sekumpulan kira-kira 20 penuntut universiti AS.
 
Walaupun beliau sebelum ini menganut kristian tetapi pemahamannya tentang Islam cukup mengagumkan apabila dengan mudah menjelaskan konsep asas agama kepada para penuntut berkenaan yang kemudiannya bertanyakan pelbagai soalan tentang Islam.
 
Semuanya dijawab dengan lancar dan fasih oleh Abdulraheem yang memeluk Islam kira-kira 20 tahun lalu selepas ‘mencari’ agama yang sebenar selama beberapa tahun.
 
“Apa yang pasti, umat Islam di Britain tidak membiarkan diri mereka ditekan sebaliknya sentiasa mengambil inisiatif membuktikan Islam agama yang mengajak kepada kebaikan dan menentang perpecahan serta kezaliman.
 
Malah mengikut rekod, lebih 70 peratus masyarakat Islam kita mengambil bahagian dalam pilihan raya,” katanya yang bertugas di situ sejak lebih lima tahun lalu.
 
Selain itu, beliau turut menjelajah seluruh negara untuk memenuhi undangan berceramah tentang Islam termasuk menjelaskan isu terbaru tentang karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w oleh media Denmark. Jemputan itu bukan sahaja di Britain tetapi juga di Pakistan, India dan Amerika.
 
Yang menariknya tentang masjid dan ICC ini ialah ia menjadi pusat sehenti kepada umat Islam London kerana dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, dewan syarahan, restoran, kedai buku, nurseri dan kemudahan kiosk yang bukan sahaja menjelaskan isu tentang agama Islam tetapi juga menyediakan maklumat mengenai peluang pekerjaan, latihan vokasional dan juga pembelajaran bahasa Inggeris.
 
Selain ICC, dilaporkan terdapat lebih 1,500 masjid dan 100 sekolah agama di sekitar Britain dan penduduk Islam dikatakan menetap di London sejak berkurun lamanya.
 
Penulis juga sempat solat berjemaah fardu asar bersama-sama hampir 200 jemaah yang diimamkan oleh Syeikh Ali Ahmed Abdillahady, salah seorang daripada empat imam dari Mesir yang bertugas di masjid ini.
 
Katanya, masjid itu mempunyai empat imam yang kesemuanya didatangkan khas dari Mesir yang bertugas khusus sebagai imam rawatib dan sembahyang Jumaat. Dari segi kewangan, mereka digajikan oleh kerajaan Arab Saudi.
 
Sebagaimana fungsi kebanyakan masjid di Malaysia, ICC ini turut mengendalikan soal munakahat terutama nikah-kahwin pasangan Muslim serta perundingan mengenai krisis rumah tangga. Dalam bab muamalat pula, para imam di sini menjadi penasihat dalam segi harta pusaka, mengislamkan saudara baru, bab zakat serta lebih penting lagi berperanan sebagai pakar rujuk dan mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu isu.
 
 
Kelas
Kata Syeikh Ali, pihaknya turut mengadakan kelas tajwid dan bahasa Arab yang dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu permulaan, pertengahan dan lanjutan yang dipecahkan kepada tahap satu dan tahap dua.
 
Kelas tajwid diadakan bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa selain kelas pengajian fikah, tauhid, sirah serta yang berhubungkait dengan fardu ain dan fardu kifayah yang diadakan selepas solat maghrib.
 
“Kami turut menguruskan jenazah umat Islam bermula daripada memandikan sehinggalah ke tanah perkuburan,” jelasnya.
 
Pada bulan Ramadan pula, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam menunaikan ibadat terutama solat sunat tarawih lapan rakaat yang diimamkan oleh beberapa syeikh dari Mesir yang membaca 30 juzuk al-Quran.
 
Menurut Syeikh Ali, pihaknya turut mengadakan majlis berbuka puasa yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang setiap hari sepanjang Ramadan dan bekalan buah kurma pula didatangkan khas dari Arab Saudi.
 
“Kami turut mengadakan ceramah antara waktu zuhur dan asar serta juga 15 minit sebelum maghrib mengenai kelebihan dan kepentingan berpuasa dalam Islam,” jelasnya.
 
ICC ini juga menganjurkan kursus haji malah pegawai-pegawai masjid turut diamanahkan oleh kerajaan Britain mengendalikan jemaah haji negara itu yang bilangannya kira-kira 20,000 setahun.
 
Bagi meningkatkan lagi program dakwah, terdapat imam-imam sambilan yang mengendalikan program seperti dialog antara agama agar dapat memperjelaskan ajaran sebenar Islam kepada golongan bukan Islam.
 
ICC juga menerbitkan beberapa risalah bulanan seperti The Reminder, Intellectual Islamic Journal, The Islamic Quarterly dan berbagai-bagai risalah untuk menyebarkan maklumat tentang Islam.
 
Sebagai memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, ICC turut menyediakan panduan diet Islam menerusi laman webnya yang menjelaskan bab halal dan haram berkaitan makanan. Malah Jabatan Kesihatan ICC juga menawarkan khidmat nasihat tentang imigresen, hal ehwal kesihatan, panduan peniaga makanan dan panduan membeli-belah makanan halal.
 
Apa yang pasti, masjid dan ICC ini berjaya memainkan peranannya sebagai rumah Allah dan juga menyatukan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan. Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi dengan melayari laman web www.iccuk.org. Terima kasih kepada VisitBritain (www.visitbritain.com/my) yang menaja perjalanan penulis ke London baru-baru ini.


Panduan untuk bakal pengantin & sudah berkahwin.. cara utk mengawal kewangan, meningkatkan dana kewangan utk berkahwin & sesudah berkahwin, berbelanja secara berhemah.. insha ALlah

layari laman web>> http://www.maskahwin.com/index.php?ref=delete
untuk keterangan lanjut


New and Improved Yahoo! Mail - 1GB of free storage!


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke