Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Pada 13 Disember baru-baru ini, saya ke Kuala Lumpur lagi untuk menghadiri mesyuarat kesatuan. Semasa dalam perjalanan, saya hubungi teman saya dan memberitahunya bahawa saya akan ke sana. Dan kami merangka rancangan untuk bertemu jika mesyuarat saya berjaya ditamatkan lebih awal. Dan itulah sebenarnya yang terjadi. Kami korbankan makan tengahari dan dapat menutup mesyuarat jauh lebih awal. Sebaik tamat mesyuarat, saya menghubungi teman saya tadi menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS). Tidak lama kemudian, keretanya pun muncul di hadapan bangunan pejabat syarikat tempat saya bekerja. “Ada apa-apa program tak lepas ni?” tanyanya. Saya menggelengkan kepala. “Cuma malam nanti la nak balik Terengganu.” “Ok… Ni nak ajak pergi Kajang ni…” Kajang? Kalau sebut Kajang, yang terbayang di kepala saya hanyalah sate Kajang. Tetapi kemudian teman saya menjelaskan bahawa kami akan menuju ke Rumah Nurhikmah, yang menempatkan anak-anak yatim dan ibu tunggal. Oh… Detik hati saya. OK juga. Sebenarnya saya pernah menulis tentang Rumah Nurhikmah ini tetapi, saya masih belum pernah berpeluang melihat keadaan sebenar mereka. Mungkin inilah peluang saya. Perjalanan dirasakan terlalu jauh. Sebenarnya saya begitu ghairah untuk melihat keadaan rumah tersebut. Kerana fikir saya, selepas artikel itu saya poskan ke internet, ramai yang menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk membantu. Dan pula saya sering terbaca di sebuah grup tentang perkembangan Rumah Nurhikmah ini. Saya terbayangkan suasananya tentu bukan lagi seperti gambar yang pernah dikirimkan kepada saya dahulu. Sampai ke Kajang, dan setelah membelok ke beberapa sekolah (yang mengelirukan terutama bagi orang yang pertama kali seperti saya), kami akhirnya tiba di hadapan Rumah Nurhikmah. Dari luaran ianya kelihatan seperti rumah biasa. Hanya papan tanda yang bertulis nama rumah tersebut menjadikan ianya berbeza dari yang lain. Lalu teman saya tadi mengajak saya masuk ke rumah tersebut. Sebaik melangkahkan kaki melepasi pagarnya, saya amat terkejut melihat keadaan dalamannya. Allahu Akbar! Ramainya anak-anak! Rumah yang pada asalnya saya lihat seperti besar tadi tiba-tiba saya rasakan terlalu kecil dan tidak mencukup untuk mereka. Namun saya lihat di wajah anak-anak yang berada di situ kesemuanya penuh dengan keceriaan. Ada yang tersenyum melihat kami lalu segera bersalaman dengan kami. Sopan sungguh, bisik hati saya. Jika melihat seorang kanak-kanak yang bersopan, tentulah hati kita akan aktif memuji orang yang menjaganya. Bukan? Kerana adab anak-anak banyak dipengaruhi oleh orang yang membesarkan mereka. Iya… Bergantung kepada pendidikan yang mereka terima di rumah. Dan melihat keadaan mereka, saya agak yakin bahawa penjaga mereka di rumah itu telah menjalankan tugasnya dengan baik. Saya diperkenalkan kepada Hj. Othman, orang yang bertanggung jawab ke atas anak-anak ini. Tetapi kami hanya sempat berbual untuk satu tempoh yang pendek kerana ada banyak perkara yang menuntut perhatian Hj. Othman. Tak mengapalah. Kerana saya tidak ada urusan penting di situ. Hanya teman saya yang mahu berbincang tentang projeknya untuk menyediakan sudut bacaan di rumah tersebut. Jadi saya mundar-mandir di hadapan rumah tersebut sambil menunggu Hj. Othman punyai masa untuk bercakap dengan teman saya. Tiba-tiba saya ditegur oleh seorang dari anak-anak yang duduk di kerusi panjang berhampiran. “Pakcik! Pakcik duduk mana?” tanyanya kepada saya. Saya kira anak ini mahu beramah mesra dengan saya. “Johor.” Jawab saya lalu segera duduk di sebelah mereka. “Pakcik… Boleh pinjam telefon tak?” tanyanya. Telefon? Pelik juga saya. Apa yang anak di sini hendak buat dengan telefon? Hendak bermain permainan java kah? Tanya hati saya sendirian. “Nak buat apa?” saya cuba mendapatkan kepastian. “Nak telefon mak. Mak janji nak datang hari ni. Tapi tak sampai lagi…” jawabnya sambil titisan air jernih mula bergenang di kelopak matanya. Saya mengangguk sambil segera mengeluarkan telefon bimbit saya. Anak tadi menyebut nombor ibunya dan saya serahkan telefon itu kepadanya selepas mendail nombor yang disebutnya. “Tak ada orang angkat…” katanya sedih sambil menyerahkan semula telefon itu kepada saya. “Tapi mak saya pakai 2 nombor” sambungnya lagi membayangkan kemungkinnan untuk mencuba nombor yang kedua pula. Sekali lagi saya serahkan telefon kepadanya selesai mendail nombor yang disebutkan. “Off la…” jawabnya. Kali ini genangan airmata terus meleleh di pipinya. Saya menyambut telefon yang dihulurkannya kepada saya. Saya semak senarai nombor yang dipanggil dan kemudian cuba menelefon sekali lagi. Tiba-tiba saya dengar suara perempuan menjawab. Lalu segera saya serahkan kepada anak tadi. “Mak… kenapa tinggalkan kami kat sini? Kami nak balik…” tutur anak itu dikuti esakan yang memilukan. Seketika kemudian talian diputuskan. “Kenapa?” tanya saya. “Nanti mak telefon balik” jawabnya dan seketika kemudian telefon saya berdering semula. Si anak segera menjawab dan dengan nada penuh syahdu, saya mendengar si anak merayu kepada ibunya untuk mengambil mereka kembali. Saya tidak dapat menahan sebak. Tetapi sebolehnya saya tidak mahu melelehkan air mata di hadapan orang. Seketika kemudian telefon itu diserahkan kepada abangnya yang berada di sebelah saya. Sama juga. Abangnya juga merayu untuk pulang. Kemudian si abang menyerahkan semula kepada adiknya. Rasa bersalah mula menyelubungi hati saya kerana membenarkan mereka menggunakan telefon saya… “Bila datang sini?” saya tanya kepada si abang. “Isnin.” Jawabnya pendek. Oh… patutlah. Baru dua hari… Fikir saya. “Kami tak nak duduk sini. Kami nak balik rumah nenek kami…” rintih si abang dengan nada pilu. Lalu saya memeluknya. Untuk seketika tangisannya berkurangan tetapi gerak pada tubuhnya menunjukkan sedan yang dirasakannya. Seketika kemudian terasa titisan hangat air mata menitis di atas paha saya. Saya bercadang untuk memberikan mereka sedikit nasihat tetapi sebelum sempat saya berbuat demikian, datang seorang anak lain yang memanggil mereka masuk. Entah. Mungkin mereka ada mesyuarat petang. Saya hanya biarkan mereka berlalu pergi. “Budak macam ni jangan halang dia. Kalau dia nak keluar, biar dia keluar. Nak simpan buat apa?” ujar seorang lelaki yang entah dari mana datangnya saya sendiri tidak pasti. Saya hanya tersenyum. Malas untuk memberika apa-apa komen. Tetapi apabila dia kerap mengulangi perkataan yang sama, saya segera berkata “Masalahnya, mak dia yang tinggalkan dia di sini. Bukan orang rumah ni yang datang ambil” membuatkan dia terdiam. Kemudian teman saya bertanya tujuannya di situ. “Adik saya ada dalam ni.” Jawabnya sambil menyebut satu persatu nama 4 orang adik-adiknya yang tinggal di rumah itu. Ah… Biarlah lelaki itu dengan mulutnya yang becok itu. Hati saya begitu tensentuh dengan tangisan dua beradik yang meminjam telefon bimbit saya sebentar tadi. Sedihnya… Yalah… Siapa yang tidak sedih terpaksa berjauhan dengan ibu dan keluarga sendiri. Terpaksa pula tinggal di rumah yang dikongsi dengan puluhan yang lain. Tetapi… Mesti ada sebab mengapa mereka ditinggalkan di situ oleh ibu mereka… Saya mengirim SMS kepada isteri saya. Bercerita tentang apa yang sedang saya lalui dan lihat ketika itu. Ah… Beruntungnya anak kami. Walaupun kami bukan orang kaya, tetapi sekurang-kurangnya anak kami tidak perlu berpisah dengan kami. Anak kami tidak perlu melalui perasaan yang dilalui oleh anak-anak di rumah Nurhikmah ini. Betapa beruntungnya mereka berbanding anak-anak ini… Saya terfikir, mungkin patut saya bawa anak-anak saya ke tempat seperti rumah Nurhikmah ini agar mereka mengerti, betapa wajibnya bersyukur dengan apa yang kita ada kerana sentiasa ada orang yang hidupnya kurang daripada apa yang kita miliki. Kalau boleh saya mahu anak saya berkawan dengan mereka. Tetapi… Rumah kami jauh nun di Johor Bahru. Mungkin saya patut mencari rumah seperti ini di tempat saya sendiri… Sebenarnya ini pengalaman pertama saya melawat rumah perlindungan seperti ini. Sebelum ini, ketika menuntut dulu pernah juga saya ke rumah anak-anak yatim. Tetapi ketika itu perasaan saya tidak sama seperti keadaan saya ketika di Rumah Nurhikmah. Entahlah. Mungkin kerana sekarang saya sendiri sudah bergelar ayah maka saya sudah punyai naluri kebapaan yang menerbitkan emosi saya ketika itu. Apapun, saya merasakan pengalaman di Rumah Nurhikmah sesuatu yang cukup bernilai. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman saya (sengaja tidak saya sebut namanya di sini kerana bimbang dia tidak selesa) yang membawa saya ke sana… Sesungguhnya hidup ini adalah sebuah keindahan hanya apabila hati kita diindahkan dengan cahaya kesyukuran. Dan hidup ini asalah kesuraman jika kita semai ianya dengan benih kekufuran… Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/
