Dakwah termasuk banteras maksiat perlukan kebijaksanaan                   
         
                         
                        
                                       LanH      
         Wed | Dec 20, 06 | 09:09:03 AM                        Akhir-akhir ini 
tindakan pihak berkuasa agama dalam keghairahan mereka menangani kes khalwat 
dan maksiat lain mencetuskan polemik selepas pegawai mereka mengeledah bilik 
sepasang suami isteri asing bukan Islam di Pulau Langkawi.


  Mufti baru Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan tidak menyetujui 
tindakan pegawai pihak berkuasa agama mengintip, seterusnya menyerbu pasangan 
yang disyaki berkhalwat dan melakukan maksiat lain.


  Beliau berkata, kesilapan dalam kes tangkapan khalwat termasuk menangkap 
pasangan suami isteri yang tidur di hotel dan terhadap pasangan bukan Islam 
boleh memalu dan menjejaskan Islam.


  Katanya, Islam tidak menyuruh umatnya melakukan serbuan khalwat berdasarkan 
maklumat tidak jelas dan kemudian bertindak mengaibkan pasangan terbabit.


  Pada zaman Khalifah Omar Al-Khattab, seorang sahabat pernah menegur beliau 
yang dikatakan cuba mengintip ke dalam rumah seseorang bagi mengetahui sama ada 
penghuninya berbuat maksiat iaitu meminum arak.


  Demikianlah tidak wajar dalam sebarang tindakan pihak berkuasa semata-mata 
bertujuan untuk memalukan seseorang. Tindakan hendaklah berasaskan bukti yang 
kukuh, bukan sembarangan bagi mengiyakan fitnah seseorang atau pihak tertentu.


  Namun demikian, jika ada bukti kukuh dan memenuhi syarat, ayuh laksanakan 
hukuman. Jika seseorang itu sudah jelas berzina dan ada bukti lagi dan didapati 
salah oleh mahkamah, kenapa tidak dijalankan hukuman seperti diperintahkan 
al-Quran.


  Hukuman ke atas pesalah juga bukan bertujuan memalukannya tetapi juga agar 
menjadi pengajaran dan iktibar.


  Seruan ke arah kebaikan dan usaha mencegah kemungkaran bukan bertujuan untuk 
memalukan seseorang, sebaliknya mendidik masyarakat ke arah jalan kebenaran. 
Sehubungan itu seruan kebajikan dan larangan maksiat hendaklah dilakukan secara 
bijaksana. Ringkasnya dakwah perlukan hemah.


  Dari perspektif bahasa, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada sesuatu. 
Menurut pengertian istilah, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada Islam.


   Seorang cendekiawan, Syeikh Ali Mahfuds pula mendefinisikan dakwah sebagai 
'mendorong manusia agar melakukan kebaikan dan mengikuti pentunjuk, menyuruhnya 
membuat kebajikan dan meninggalkan kemungkaran agar mereka memperolehi 
kebahagian dunia dan akhirat'.


  Agama Islam berusaha meyakinkan manusia mengenai kebenarannya dan melatih 
mereka menjadi penganutnya. Dalam hal ini, Islam mempunyai ciri-ciri agung 
untuk menarik seluruh manusia kepadanya dan mendorong mereka ke arah mencapai 
keadilan, kebenaran, kesucian dan keindahan.


   Orang Islam menganggap diri mereka sebagai diperintahkan Allah untuk menyeru 
semua manusia tunduk kepada-Nya (42:15). Matlamat hidup orang Islam ialah untuk 
membawa seluruh makhluk manusia kepada Islam, iaitu agama bagi manusia, agama 
Allah yang merangkumi teologi dan syariah, etika dan institusinya (Isma'il R 
Al-Faruqi dan Lois Lamnya dalam buku mereka 'Atlas Budaya Islam, Dewan Bahasa 
dan Pustaka, 1992).


   Dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang Islam: "Serulah manusia ke jalan 
Allah dengan bijaksana dengan nasihat yang baik. Nyatakan alasan-alasan yang 
munasabah (16:125). Dakwah merupakan pengisian kepada perintah ini. Dakwah 
melibatkan usaha mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai; membawa berita 
yang baik tentang nikmat dunia dan tentang nikmat syurga; memberi amaran 
tentang balasan neraka di akhirat dan tentang kesengsaraan di alam ini (22:67).


   Tugas memenuhi perintah ini dinyatakan oleh al-Quran sebagai puncak kebaikan 
dan kebahagiaan. "Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang 
menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah." (41:33). Rasulullah 
(s.a.w.) juga menganggap bahawa dakwah merupakan usaha paling mulia dan 
hasilnya, iaitu penganutan kepada Islam sebagai kesan paling agung.


   Satu aspek perspektif Islam dalam komunikasi ialah penekanannya ke atas 
nilai - sosial, agama dan kebudayaan - dan penyelidikan melalui penglibatan. 
Hasil daripada konsep pendekatan penyelidikan melalui penglibatan ini ialah 
satu aspek komunikasi antara perseorangan, yang mungkin merupakan suatu aspek 
komunikasi yang paling mengarah kepada sosio - agama - budaya (Pandangan Imtiaz 
Hasnain dalam buku Rahmah Hashim 'Komunikasi: Suatu Pendekatan Islam', DBP 
1992).


   Al-Quran dan hadis menyatakan di beberapa tempat mengenai prinsip dan kaedah 
komunikasi. Antara ayat-ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini ialah:


  1. "...dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..." 
(Surah 2:83).


  2. "(Menolak peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan 
(kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi 
(dengan perbuatan atau perkataan) yang menyakitkan hati." (2:263).


  3. "...dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras, tentulah mereka akan 
lari dari kelilingmu..." (3:159).


  4. Allah tidak suka kepada perbuatan buruk yang dikatakan dengan berterus 
terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang 
dianiayakan." (Surah 4:148)


  5. "Dan katakan (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya 
mereka berkata-kata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang 
menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata 
bagi manusia." (17:53).


  6. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata yang lemah lembut 
semoga ia beringat atau takut." (20:44).


  7. "Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang 
lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka..." (29:46).


  8. "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang 
berjalan di muka bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang berkelakuan 
kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan 
yang selamat daripada perkara yang tidak diingini." (25:63).


  9. "Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu 
lakukan! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu 
yang kamu tidak melakukannya." (Surah 62:2-3).


   Dalam hadis juga terdapat beberapa prinsip komunikasi yang disabdakan oleh 
Rasulullah (s.a.w.). Dalam kita membicarakan mengenai bentuk komunikasi, 
Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda - seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Dunya 
yang bermaksud: "Sebutkan perkara baik mengenai saudara kamu yang tidak hadir 
dalam perjumpaan, terutama sekali perkara yang kamu suka diperkatakan oleh 
saudara kamu ketika kamu tidak hadir bersama."


   Mengenai perkara yang perlu dijauhi seseorang, Dunya meriwayatkan dalam 
hadis yang sama, bagaimana Rasulullah (s.a.w.) meminta seorang pengulas supaya 
menjauhi memperkatakan apa juga yang tidak ada kena mengena dengan diri sendiri 
dan mengatakan apa juga tentang diri sendiri pada majlis yang salah.


   Rasulullah (s.a.w.) juga bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan tidak 
suka orang seperti itu...yang memutarbelitkan (fakta) dengan lidah mereka 
seperti seekor lembu yang memusing-musingkan rumput dalam lidahnya."

 Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke