Selepas Machap, kini penduduk Ijok akan menjadi 'mangsa'
Zaili Muhammad
Tue | Apr 17, 07 | 11:30:17 AM Rasuah
pilihan raya kini beralih ke Ijok! Begitulah yang boleh kita anggap apabila
selesai segala 'urusan' parti pemerintah di Machap.
Setelah lebih seminggu segala jentera pemerintah daripada budak sekolah
(universiti) sehingga kepada yang berjawatan Menteri berkubu dan berperang
dengan segala 'janji' dan 'habuan' dunia, kini Machap sudah 'berseri'.
Demikianlah jika musim pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau kecil,
maka pihak pemerintah akan menganyang habis-habis tidak kira parti yang
bertanding menentangnya ataupun penduduk sendiri dijadikan 'mangsa'.
Penduduk bila di'mangsakan'kan maka akan mengangguk dan bertepuk tanganlah
mereka apabila dijanjikan dan dihidangkan dengan pelbagai hidangan muluk
seperti jalan baru, bekalan air, elektrik, perumahan baru dan pelbagai yang
lain.
Padahal, secara tidak disedari, itulah juga yang dinamakan 'gula-gula' pilihan
raya, atau 'rasuah' yang tidak disedari oleh mereka.
Keputusan pilihan raya kecil Dun Machap (N8) yang memihak kepada calon dari
Barisan Nasional (BN) Lai Meng Chong merupakan satu kemenangan yang telah
dijangka sebelum hari penamaan calon lagi.
Ini berikutan kehadiran pelbagai jentera kerajaan yang dikerahkan bagi
membantu memenangkan BN sejak awal lagi, walaupun belum diumumkan lagi tarikh
untuk penamaan calon mereka telah bertungkus - lumus menyiapkan pelbagai
'projek segera' yang diluluskan sempena pilihan raya kecil ini.
Penduduk pula berasa sungguh gembira dan bertuah sambil menyifatkan pilihan
raya kecil ini sebagai 'durian runtuh' yang bakal merubah nasib mereka setelah
sekian lama disisihkan dari arus kemajuan serta peluang seperti ini perlu
direbut segera.
Jalan raya ditar baru serta dilebarkan, parit digali semula, masjid
diperbaiki dengan segera dan paling mengembirakan penduduk, Taman Rekreasi Poh
Ah Tiam dapat disiapkan dalam masa seminggu dengan peruntukan RM1.2 juta
mengandungi pondok wakaf, trek jogging bersama taman permainan kanak - kanak.
Ketua Menteri Melaka juga telah meluluskan permohonan melebarkan tanah
perkuburan Cina seluas 10 ekar di Machap baru, 5 ekar di Machap Umboo, 7 ekar
di Alor Gajah, RM 7 ribu untuk Tokong San Nui Machap Baru dan 50 lot tapak
rumah di Felda Bukit Bulat kepada masyarakat Cina walaupun mereka tidak
tinggal di situ.
Kerajaan Negeri juga akan membina rumah kos rendah bersebelahan dengan Taman
Mawar di Machap Baru seluas 7 ekar membabitkan 80 unit rumah selepas pilihan
raya kecil dan dijangka siap dalam masa 2 tahun.
Kira-kira 900 batang tiang lampu jalan telah dipasang menyebabkan jalan yang
dahulunya gelap- gelita di sepanjang Felda Bukit Bulat ke Hutan Percha
bertukar menjadi terang - benderang.
Namun dalam kerancakan itu terdengar juga rungutan dari kontraktor kerana
banyak projek dilakukan secara tergesa - gesa dan mesti disiapkan dengan
segera menyebabkan kerja tersebut tidak mengikut piawaian sebenar.
KPT turut berkempen
Penglibatan Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) menambahkan lagi kepincangan
perjalanan pilihan raya, mengaibkan dan membuatkan kita berfikir apakah malang
nasib anak-anak kita dididik oleh mereka yang tidak bermaruah malah sanggup
dikeldaikan.
Pelajar perempuan dilihat membantu gerakerja yang diatur oleh Puteri Umno
berkempen ke rumah pengundi sementara pelajar lelaki membantu gerakerja Putera
Umno atau Pemuda BN yang diangkut dengan beberapa buah bas.
Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian kebudayaan,
Kesenian dan Warisan (KeKKWa), RTM, JKR, MPAG, Tenaga Nasional, PAM malahan
seluruh petugas BN yang terdiri dari Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP seluruh
negara turut berkampung di Machap.
Jentera DAP tidak segagah BN di Machap, poster- posternya tidak banyak
kelihatan cuma di sekitar bilik gerakan dan persimpangan jalan sahaja.
Daripada lapan pusat mengundi DAP cuma mempunyai 3 bilik gerakan iaitu di
Machap Umboo, Tebong yang baru disewa untuk pilihan raya dan menumpang bilik
gerakan PKR di Machap Baru.
Kempen mereka juga ditumpukan sekitar 3 penempatan ini sahaja, manakala di
Melaka Pindah mereka berjaya mengadakan ceramah itupun dibantu Anwar Ibrahim
yang turun berkempen di saat akhir melalui pentas PKR dan di lima pusat
mengundi lain yang majoritinya Melayu, DAP tidak berjaya menembusi langsung.
Majoriti merosot
Calon BN, Lai Meng Chong memperolehi 5,533 undi menewaskan calon dari DAP,
Liou Chen Kuang yang mendapat 1,452 undi, undi rosak sebanyak 166, jumlah
keseluruhan keluar mengundi ialah 7,151 pengundi manakala undi pos berjumlah
102 memihak kepada Lai.
DAP berjaya mengurangkan majoriti undi BN dari 4,562 pada pilihanraya umum
2004 kepada 4,081 ini menunjukan penurunan majoriti undi sebanyak 481 undi
seterusnya hasrat BN menghilangkan wang deposit DAP tidak berjaya.
Keputusan ini sekaligus memberi tamparan hebat kepada BN kerana meskipun
dibantu dengan pelbagai jentera seluruh negara dan melibatkan perbelanjaan
besar namun BN gagal menghilangkan wang deposit DAP.
Manakala DAP berbangga kerana berjaya menambah undi, mempertahankan wang
depositnya dan banyak permasalahan rakyat yang disuarakan telah berjaya
ditunaikan melalui pilihan raya kecil ini.
Umno bolehlah diumpamakan 'menang sorak kampung tergadai' selepas
berhempas-pulas berkempen merasakan tidak berbaloi dengan kemenangan tersebut,
ini dapat dilihat dari riak wajah pemimpin dan penyokong mereka pada malam
pengumuman keputusan itu.
Machap kini mula kembali seperti biasa, penduduknya yang kebanyakannya
penoreh getah, pekerja ladang, penternak dan bekerja sendiri mula kesepian
ditinggalkan oleh orang bandar yang sebelum ini begitu peramah sekali dengan
orang kampung.
Tiada lagi kelibat Menteri, TNC HEP, pelajar IPTA atau IPTS. Orang luar telah
meninggalkan Machap dengan pelbagai kisah termasuk serangan yang mencederakan
penyokong DAP, mereka kini khabarnya telah berkubu di Ijok untuk memainkan
rentak lagu lama lagi serupa.
Machap akan dilupakan, projek yang gagal disiapkan bakal menjadi tergendala
manakala projek yang dijanjikan mungkin tidak akan ditunaikan dan yang
haru-birunya, 900 lampu jalan yang baru dipasang sempena pilihan raya kecil
ingin dibuka (diambil) kembali. - mks.
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.