Kasih sayang kepada Azlina (Lina Joy) tidak pernah pudar - Ibu
 Posted on Saturday, July 21 @ 11:19:49 MYT by greenboc 
  Oleh Kalthum Omar (Ibu Azlina)


Bagi pihak seluruh ahli keluarga Azlina Jailani (Lina Joy) kami mengucapkan 
jutaan terima kasih di atas segala doa, bantuan dan sokongan seluruh warga 
Islam yang prihatin kepada cubaan yang menimpa kami sekeluarga.


Sesungguhnya kami telah banyak mengalami pelbagai bentuk kesusahan dalam 
mengharungi ujian getir ini dan sokongan yang diberikan sedikit sebanyak telah 
meringankan beban yang kami tanggung. 

Azlina Jailani telah kami besarkan dengan penuh kasih sayang dan diberikan 
pendidikan sewajarnya termasuk pendidikan agama yang mencukupi. Beliau 
merupakan seorang anak yang taat dalam menjalani kewajipannya terhadap Ilahi 
sehinggalah episod yang menyedihkan ini berlaku.

 
Namun kasih sayang keluarga kepada Azlina tidak pernah pudar. Dari awal lagi 
apabila keluarga mengetahui kecenderungan Azlina, keluarga telah berusaha 
dengan pelbagai cara untuk memujuk Azlina kembali.

 
Ini termasuk meminta bantuan para alim ulama agar menasihati Azlina. Sebagai 
ibu, saya sendiri telah berusaha ke Mekah mengerjakan umrah semata-mata untuk 
mendoakan agar Azlina kembali ke pangkal jalan.

 
Sesungguhnya tidak ada ikatan yang lebih kukuh selain ikatan kasih antara 
seorang ibu dengan anaknya. Dalam ikatan kasih suci ibu pula, tidak ada yang 
lebih utama selain memastikan anaknya sentiasa mengikuti jalan yang diredhai 
Allah swt.

 
Setiap Muslim tentunya mengharapkan seluruh ahli keluarganya dapat berhimpun di 
akhirat kelak di syurga Allah.

 
Kami sekeluarga tetap mendoakan Azlina dapat kembali ke pangkuan keluarga. Kami 
tidak menyalahkan beliau dalam hal ini.

 
Bagi pihak yang cuba untuk mempengaruhi beliau, kami memohon agar memahami 
penderitaan ibu dan keluarga Azlina dan janganlah terus menghalang hubungan ibu 
dan anaknya.

 
Sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah 
membantu. Kami berharap semua agensi dan organisasi yang selama ini membantu 
kami akan terus mempergiatkan usaha dan terus berdoa agar penderitaan kami ini 
dapat diakhiri./wann. 

  

Kirim email ke