http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=12428&Itemid=114
Hormatilah saranan Dr Mahathir, jangan pilih calon
BN yang rasuah Ahmad Tajdid
Sun | Feb 17, 08 | 10:07:08 am MYT
"Pemberi dan penerima rasuah masuk neraka." (mafhum
hadis)
Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersuara lagi. Kali ini tentang
rasuah. Dalam satu sidang akhbar selepas melancarkan buku terbarunya, "Dr
Mahathir's Selected Letters to World Leaders" (Surat Terpilih Dr Mahathir
Kepada Para Pemimpin Dunia) beliau mahu penyokong BN tidak mengundi pemimpin
yang "korup dan kayu mati" dalam pilihan raya umum ini.
-->
Menurutnya, masa sudah tiba untuk "membersihkan kerajaan BN, khususnya parti
tulang belakangnya, Umno" yang sudah semakin parah dihinggapi barah rasuah.
Usaha ini, tegasnya perlu kerana BN nampaknya tidak mungkin dapat membersihkan
dirinya sendiri. Beliau menambah, tiada harapan untuk Umno membersihkan parti
itu dari dalam kerana sebarang pandangan yang bertentangan dari ahli parti akan
dikekang.
Itu saranan daripada bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas
Pengerusi BN yang telah menerajui pentadbiran negara lebih dari dua setengah
dekad (24 tahun)!
Dan sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana
Menteri, Dr Mahathir mengakui telah memberi amaran, merayu malah menangis di
atas pentas Perhimpunan Agung Umno supaya budaya membeli undi, politik wang dan
rasuah dihapuskan dalam Umno. Bagaimanapun amaran, rayuan dan ratapan beliau
tidak langsung diendahkan para perwakilan Umno kerana masing-masing sudah basah
lencun disimbah gelombang rasuah!
Apa yang mendukacitakan Dr Mahathir, beliau juga kalah dalam mendapatkan tempat
sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu kerana rasuah.
"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa
mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangkakan perkara ini akan berterusan
sewaktu pilihan raya umum," katanya.
Bagi Dr Mahathir, seluruh perwakilan Umno yang memenuhi PWTC setiap kali
persidangan Umno berlangsung tidak lagi boleh dipercayai kerana gagal
membersihkan Umno daripada amalan rasuah. Baginya, Umno tidak lagi berupaya
untuk membersihkan diri daripada rasuah seperti mana gagalnya tokoh-tokoh agama
Umno untuk menjadikan parti itu sebagai 'parti yang beragama'. Maka jelaslah
bahawa teori "membersihkan tong tahi dari dalam" tidak langsung menampakkan
hasil seperti gagalnya Anwar Ibrahim dan para sahabatnya untuk "mengislamkan
Umno dari dalam".
Maka Dr Mahathir merayu kepada para penyokong setia Umno dan BN - yang tidak
terlibat dengan rasuah - untuk membantu membersihkan Umno dan BN daripada
rasuah.
Ketika pentadbiran Abdullah dilihat lemah dalam usaha membanteras rasuah dan di
saat institusi pembanteras rasuah seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga
terlibat dalam rasuah dan melindungi perasuah (lihat kenyataan bekas setiausaha
'peguam mabuk' VK Lingam dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Pita Lingam), tiada
pilihan bagi rakyat khususnya penyokong BN selain menolak calon-calon rasuah
dalam pilihan raya umum ini.
Memang ada usaha di kalangan pemimpin Umno/BN untuk mengaburi mata rakyat
dengan mendakwa calon-calon BN telah pun ditapis oleh BPR dan bersih daripada
rasuah; tetapi adakah kita boleh mempercayai sebuah badan pembanteras rasuah
seperti BPR yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan
kredibiliti dan komitmen pentadbiran Abdullah dalam membanteras rasuah diragui
rakyat.
Lihat sajalah kesudahan kes rasuah bekas Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Eric
Chia. Apa jadi dengan 18 kes rasuah berprofail tinggi yang diumumkan bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Rais Yatim yang pada penggal
kedua pentadbiran Abdullah ditukar portfolio ke Kementerian Kebudayaan Kesenian
dan Warisan (Kekkwa)? Bagaimana pula kes dakwaan rasuah membabitkan Ketua
Pengarah BPR dan Ketua Polis Negara yang masing-masing dibebaskan dari sebarang
dakwaan oleh polis (yang menyiasat Zulkifli Mohd Nor) dan BPR (yang menyiasat
Musa Hassan).
Adakah kita tidak mendapat pengajaran daripada kegagalan polis mengesan
individu yang melebamkan mata Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan; sehingga satu
Suruhanjaya Bebas ditubuhkan dan mendapati penjenayah itu ialah Ketua Polis
Negara sendiri (Tan Sri Abdul Rahim Nor)?
Kita boleh menyenaraipanjangkan kes-kes rasuah yang masih tersimpan dalam 'fail
X' negara termasuk pengagihan saham bumiputera kepada menantu Ketua Wanita Umno
yang masih lagi bersemangat untuk mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar.
Tetapi jika rakyat masih bersikap sambil lewa dalam usaha membanteras dan
membasmi rasuah - barah ini akan terus membelenggu negara.
Mungkin ramai penyokong BN yang menganggap kempen PAS dan BA untuk
menyelamatkan negara daripada rasuah sebagai 'cakap-cakap politik' bagi meraih
kuasa. Bagaimanapun jika seruan itu datang daripada bekas Perdana Menteri,
bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi BN - yang telah menerajui kerajaan
lebih dua dekad lamanya - ia perlu dipandang serius oleh rakyat!
Dr Mahathir bercakap tanpa sebarang kepentingan; malah kedudukan beliau sebagai
penasihat beberapa GLC boleh tergugat apabila membangkitkan isu ini. Beliau
mungkin gagal membanteras rasuah ketika memegang kuasa. Tetapi berilah peluang
untuknya membersihkan negara daripada rasuah setelah melihat betapa jijiknya
amalan itu ketika tidak lagi berkuasa.
Kepada para penyokong BN, hormatilah saranan Dr Mahathir.
Jangan pilih calon rasuah!
Selamatkan negara daripada pemimpin rasuah!
Klik untuk Sumbangan Dana Pembaca HarakahDaily.Net.
--> '); document.write('Tutup tetingkap'); document.write('
'); //--> Tutup tetingkap
---------------------------------
Be a better friend, newshound, and know-it-all with Yahoo! Mobile. Try it now.