<http://bp0.blogger.com/_Aj6W_XWOIxc/SFI4xsfebPI/AAAAAAAAAzw/qlYrgz7Fzog/s1600-h/Arab+Union.JPG>Foto
(atas) masyarakat Arab yang menganggotai "The Arab Union" Malaya dan
Singapura sekitar tahun 1950-an.

 Foto (bawah) masyarakat Arab Pulau Pinang semasa merayakan Aidil-Fitri di
rumah Almarhum Sheikh Al-Hasawi, Cantontment Road (Jalan Pemenang) sekitar
tahun 1950-an.
<http://bp2.blogger.com/_Aj6W_XWOIxc/SFI4yNGC-JI/AAAAAAAAAz4/F1dBryT6Z4o/s1600-h/Hasawi.JPG>
<http://bp0.blogger.com/_Aj6W_XWOIxc/SFI4yTS30tI/AAAAAAAAA0A/E6q_LL_eovQ/s1600-h/Makam+Habib+Noh.JPG>


Makam Almarhum Syed Noh bin Muhammad bin Abdul Rahman Alhabshee (Habib Noh)
di Palmer Road, Tanjong Pagar, Singapura. Habib Noh berhijrah dari Pulau
Pinang ke Singapura.




Pihak berkuasa Singapura telah mendahului Malaysia dan Indonesia dalam usaha
untuk menjadikan pulau itu sebagai pusat penting dalam hubungan dengan dunia
Arab.

Pemerintah Singapura sedar akan pentingnya hubungan
ekonomi/dagangan/pelancongan dengan dunia Arab walaupun jumlah penduduk atau
rakyatnya yang berketurunan Arab jauh lebih kecil berbanding Malaysia apatah
lagi Indonesia.

Singapura merasakan bahawa republik itu boleh menjadi hab bagi masyarakat
Arab di rantau Asia Tenggara (Nusantara) dan untuk itu ia sedang
memperluaskan hubungan dengan negara-negara Arab.

Menurut Menteri Ehwal Luar Singapura, Brig-Gen (B) George Yeo satu pusat
budaya dan warisan Arab akan diwujudkan dan pelannya berada dalam peringkat
perancangan.

Yeo berkata di setiap bandar utama di Asia Tenggara, terutama di Malaysia
dan Indonesia, terdapat masyarakat keturunan Arab dan mereka dihubungkan
oleh budaya, pertalian darah dan perdagangan dengan dunia Arab dan Singapura
merupakan sebahagian daripada ikatan penting dalam rangkaian itu.

Kita sedih kerana barisan kepimpinan Malaysia tidak berfikiran dan
berwawasan seperti barisan kepimpinan Singapura. Nampaknya hubungan budaya
dan pertalian agama dengan dunia Arab yang diwarisi oleh Malaysia tidak
dimanfaatkan sepenuhnya.

Jumlah penduduk atau rakyat Indonesia dan Malaysia yang berketurunan Arab
jauh mengatasi yang berada di Singapura dan oleh itu Malaysia mahupun
Indonesia seharusnya menjadi hab bagi masyarakat Arab dan bukan Singapura.

Apa yang dilakukan oleh mantan Menteri Luar Negeri Syed Hamid bin Jaafar
Albar, seorang keturunan Arab Yaman (Hadhramaut), semasa memimpin Wisma
Putra? Beliau mempunyai hubungan keluarga dan pertalian darah di dunia Arab
tetapi kenapa tidak melakukan sesuatu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab
untuk masyarakat Arab.

Mantan duta besar Malaysia ke Ameriah Arab Bersatu (UAE) dan sebelum itu
mantan Konsol Besar di Jeddah dan kakitangan kedutaan Malaysia di Mesir yang
kini presiden Persatuan Jamiatul Khairiah Selangor dan Wilayah Persekutuan
KL, Syed Hussein bin Abdul Kader Alhabshee juga mempunyai hubungan rapat
dengan dunia Arab, tetapi nampaknya beliau tidak mengusahakan sesuatu untuk
menjadikan Malaysia sebagai hab masyrakat Arab. Para pemimpin politik
keturunan Arab, khususnya yang berada dalam UMNO, juga gagal mengambil
kesempatan untuk tujuan itu.

 Nampaknya, seorang pemimpin Singapura yang tiada kaitan atau hubungan
kekeluargaan dengan dunia Arab telah berjaya mengatasi Malaysia untuk
menjadikan Singapura sebagai hab masyarakat Arab.


 Jika Singapura berhasil dan saya percaya ia akan berjaya menjadikan pulau
republik itu sebagai hab masyarkat Arab, maka Malaysia akan mengalami satu
kerugian. Saya yakin Singapura akan mengadakan daya tarikan dan
umpanan-umpanan istimewa untuk memikat pelancong Arab. Malaysia bukan sahaja
akan kempunan tetapi akan berkurangan salah satu sumber pelancongan yang
penting. Semuanya kerana barisan kepimpinan Malaysia tidak memandang jauh,
cekap dan pintar seperti yang ada di Singapura yang mampu memikirkan sesuatu
yang dapat memikat sasaran.

Selain usaha untuk menjadikan Singapura sebagai hab masyarakat Arab, barisan
kepimpinan republik itu juga sedang bersaing hebat dengan Malaysia untuk
menjadi hab halal dan pusat kewangan Islam. Dengan usaha bersungguh-sungguh
yang diperlihatkan oleh Singapura, kita tidak boleh menolak kenyataan bahawa
ia dapat mengatasi Malaysia dalam kedua-dua bidang yang diwajibkan oleh
Islam itu.

Jika Malaysia kalah kepada Singapura dalam perkara-perkara yang berkaitan
Islam, termasuk hab masyarakat Arab yang 90 peratus beragama Islam, apa nak
dihairankan apabila kita kalah dalam mempertahankan hak milik ke atas Batu
Puteh.

Kirim email ke