Akhir-akhir ini media elektronik melalui siaran televisyen kerap memaparkan 
iklan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Rata-rata dalam iklan promosi PLKN 
tersebut para pelatihnya begitu seronok sekali menyertai PLKN kerana 
dihidangkan makanan yang sedap-sedap, dapat berkenalan rakan-rakan yang 
baik-baik, dapat menjalani latihan “outdoor” seperti “flying fox”, merentas 
sungai, berkayak malahan yang paling menyeronokkan ialah latihan menembak juga 
melakukan senaman berkawad dalam rentak tarian yang berirama sambil bernyanyi.

Kita juga tahu bahawa pelatih PLKN ini akan diberi elaun RM 150 sebulan. Siapa 
yang tak nak ketika ekonomi negara sedang gawat akibat kenaikan harga minyak 
yang tinggi boleh dapat latihan percuma, makanan sedap yang percuma serta elaun 
lagi ?

Sedangkan kalau kita bandingkan dengan latihan ala “Summer Camp” termasuk 
perkhemahan ibadah yang dijalankan oleh pihak swasta , persatuan serta 
pertubuhan bukan kerajaan adakalanya ibu bapa pula yang perlu mengeluarkan duit 
, ada yang sehingga RM 300 untuk perkhemahan selama 3 hari 3 malam. Jika untuk 
latihan 3 bulan ala PLKN oleh pihak swasta pada kadar ini mungkin mencecah RM 
9,000.

Jadi kalaulah kita sebagai ibu bapa , yang mana satu kita akan pilih samada 
membayar RM 9,000 untuk 3 bulan atau sebaliknya mendapat elaun RM 450 pula 
untuk menghantar anak-anak kita ke program latihan luaran untuk meningkatkan 
disiplin mereka ?

Saya pasti sekiranya dengan promosi PLKN yang sedemikian rupa sudah pasti 
program PLKN ini tidak perlu diwajibkan lagi. Jadikanlah program PLKN ini 
sebagai satu program sukarela. Lakukan promosi yang bersungguh-sungguh seperti 
iklan PLKN yang disiarkan di televisyen tersebut. Dengan yang demikian itu akan 
tiadalah lagi suara-suara yang akan mempertikaikan program PLKN kerana ianya 
adalah pilihan pelatih dan ibu bapa pelatih PLKN untuk menyertai PLKN. Tambahan 
dikhabarkan mereka yang telah menjalani latihan PLKN akan diberi keutamaan 
untuk mendapat pekerjaan di sektor kerajaan.

Adalah agak janggal juga kenapa perlu berbelanja besar untuk mempromosi satu 
program yang diwajibkan. Apakah selepas ini Kementerian Pelajaran pula akan 
mengadakan iklan di televisyen untuk mempromosi anak-anak yang berumur 7 tahun 
sehingga 17 tahun pergi bersekolah untuk mengurangkan budaya ponteng dan 
melepak ?


   Rozmal http://waghih.blogspot.com   Yayasan Amal Malaysia 
http://www.amalmalaysia.net  Kelab AMAL NS http://amal-ns.blogspot.com   
Institut Kajian Angkasa http://ikam-space.blogspot.com   Pusat Pendidikan As 
Saidiyyah http://puspa-ns.blogspot.com



Kirim email ke