Anwar ditahan polis bertopeng Jul 16, 08 1:15pm
Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di
Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.
Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket -
dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya
selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.
Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan
sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke
dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.
Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15
kenderaan.
Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di
Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.
Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa
beliau telah ditahan.
Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh
anggota polis yang menahannya itu.
Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan
anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.
Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan
menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah
mengesahkan akan datang.
Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga
belum lagi tamat.
Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar
dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.
Kira-kira 200 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini
berhimpun di IPK Kuala Lumpur.
Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta
Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.
Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.
Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Di
bawah seksyen baru ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan
seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau
dubur orang yang satu lagi itu.
Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan
hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.