Jul 16, 08 1:15pm

kemaskini 8:34pm Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di
luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur
tengahari ini.

[image: anwar ibrahim and police]Beliau ditahan sekumpulan anggota polis,
termasuk yang bertopeng dan berjaket dari Bahagian Siasatan Khas, kira-kira
sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah
Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam dan naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, polis telah menunggu
kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa masuk mantan
timbalan perdana menteri itu ke dalam kereta polis bercermin gelap meluru ke
IPK Kuala Lumpur.

Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi
15 kenderaan.

[image: anwar ibrahim arrest wan azizah parliament 160708 03]Manakala
isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita
di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan
bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh
anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan
anak-anaknya dan kemudiannya ke IPK.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan
menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah
mengesahkan akan datang.

[image: anwar ibrahim arrest wan azizah parliament 160708 01]Lagi pula,
tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum
lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar
dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini
berhimpun di IPK Kuala Lumpur, sementara lebih 200 orang berada di jalan
utama menuju bangunan itu, depan bekas Penjara Pudu.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr
Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30
hari.

[image: bm version penal code section 377ca sexual connection by object
160708]Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan.
Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: *Di bawah
seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks
dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur
orang yang satu lagi itu.
*
Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum
dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang
berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.

[image: bm version arrest of anwar ibrahim timeline 160708]Ahli Parlimen
PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah
dan dua anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Nuha - dibenarkan menemui Anwar di
tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair
muncul dari bangunan tersebut.

Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai,
Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggal dari bangunan
tersebut.

Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli
Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk "membangkitkan isu tersebut".

Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar
berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.

Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan
tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.

Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi
pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112
Kanun Prosedur Jenayah.

[image: anwar ibrahim arrest 160708 04]"(Pada kira-kira jam 2.40 petang,
peguam) Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan
diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai
tokoh antarabangsa," katanya.

(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi
kebebasan hakim dan peguam).

Sementara itu, pada jam 5.40 petang, peguam N Sankara Nair memberitahu,
Anwar masih lagi memberi kenyataan kepada pihak polis.

-- 
Berjuang,berjuang,berjuang dan terus berjuang!!!

Visit My Blog : http://perisik-rakyat.blogspot.com/

"WAHAI JIWA-JIWA YANG TENANG JANGAN SEKALI-KALI KAMU MENCUBA JADI TUHAN
DENGAN MENGADILI DAN MENGHAKIMI.BAHWASANYA KAMU MEMANG TAK PUNYA DAYA DAN
UPAYA,SERTA KEKUATAN UNTUK MENENTUKAN KEBENARAN YANG SEJATI.BUKANKAH KITA
MEMANG TERCIPTA LAKI-LAKI DAN WANITA,SERTA SUKU-SUKU DAN BANGSA-BANGSA YANG
PASTI BERBEZA.BUKANKAH KITA MEMANG HARUS SALING MENGENAL DAN
MENGHORMATI,BUKAN UNTUK SALING BERCERAI-BERAI DAN BERPERANG ANGKAT SENJATA!"

"Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini
- Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu
menyesali apa Yang kamu telah lakukan.." ( al-Qur'an,al-Hujurat ( 49 ):6 ).

Kirim email ke