Salam~

Sehari selepas pulang dari kampong berbuka puasa dengan abah, semalam, saya 
pulang ke rumah mertua pula untuk berbuka. Ini kali kedua saya berbuka dengan 
mertua. Alhamdulillah. Seperti biasa, selesai solat Maghrib, saya berehat-rehat 
sambil menonton siaran berita bersama bapa mertua. Seketika ipar saya sampai 
sekeluarga. Biras saya mengisytihar, "Minyak turun 10 sen!" dalam nada tak puas 
hati dan sedikit mencebik. Mungkin dia orang KL, nak balik beraya nanti mungkin 
menelan kos yang agak tinggi biarpun turun 10 sen.

Bapa mertua saya yang sedang menonton dengan selamba berkata, "Alaa.. turun 
jugaak. Kan lebih baik dari tak turun.." Sambil senyum-senyum simpul. Saya pun 
sambut senyum warga senior yang meminat politik Malaysia tersebut terutama 
dalam fasa pemerintahan Pak Lah. Biras saya berlalu dan tak hirau pada kami 
yang setia didepan kaca TV.

Tiba-tiba saya terfikir. Mungkin ramai orang yang setuju dan berterima kasih 
kepada penurunan harga minyak seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar 
tempatan hari ini. Mungkin apa yang ada dalam fikiran mereka adalah minyak 
milik Petronas, dan kerajaan cuba membela nasib rakyat melalui rundingan dan 
toleransi dalam perniagaan ini. Saya pernah berdebat dengan beberapa kawan 
sekerja dahulu, mereka pun sama-sama menggunakan paradigma, "Apa salahnya 
Petronas ambil untung? Kan kita tak de kemampuan untuk cari-gali minyak dan 
'serve' kepada rakyat. Jadi siapa yang ada 'effort', berbaloi lah keuntungan 
tu.." Inilah sebahagian dari 'kebiasaan' (adat) atau doktrin yang telah 
bertapak dalam pemikiran umat Islam khasnya. Sekian lama mereka dijajah dan 
hidup terjajah maka mereka dah tak nampak kehidupan yang merdeka melalui 
pemikiran yang merdeka.

Saya ceritakan pada mereka. Islam meletakkan hukum pemilikan harta benda atau 
kekayaan didunia ini kepada 3 (tiga) pihak;

1. Individu
2. Awam (perkongsian); harta kolektif
3. Negara

Dalam hal minyak, Islam meletakkan hukum pemilikkannya kepada awam (public 
ownership). Maksudnya, sesiapa sahaja boleh menggunakannya tanpa izin dari 
sesiapapun sebab ianya hak milik awam. Cuma dilarang mengeksploitasi atau 
monopoli kerana ia bercanggah dengan prinsip 'hak milik awam' seperti yang 
berlaku sekarang. Masalahnya pula, usaha cari-gali, penapisan (refinary) dan 
'serve' perlu diusahakan agar orang awam atau rakyat dapat menikmatinya. Nah, 
disinilah perlunya negara berperanan. Negara merupakan pelayan kepada rakyat, 
bukan 'saudagar'. Dibahu negaralah terletak tanggungjawab dan peranan untuk 
memberi perkhidmatan yang sesuai dengan hukum syarak agar keharmonian dicapai. 
Untuk minyak, negara boleh mengelola sumber galian tersebut dalam beberapa 
kaedah;

1. Mengusahakannya sendiri
2. Menyewa alatan dan sumber tenaga
3. Membayar upah kepada pengusaha minyak (seperti Petronas), bukan membeli atau 
menyerahkan hak milik untuk dieksploitasi!

[Sudi-sudikan merujuk ke 
http://www.mykhilafah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=484:kenyataan-rasmi-htm-berhubung-kenaikan-harga-minyak&catid=38:info-hizb&Itemid=59 dan
 
http://www.mykhilafah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=375:sn172-air-milik-kita&catid=42:sautun-nahdhah&Itemid=2]

Modal usaha? Selain dari sumber masukan (pendapatan) hak milik awam seperti 
galian lain, emas, balak dan lain-lain atau negara membelanjakan harta milik 
negara sendiri, negara boleh juga mengenakan 'harga minyak' keatas rakyat 
dengan syarat 'harga' tersebut bukan harga jualan tetapi sekadar menampung kos 
pengeluaran. Seorang sahabat saya yang memiliki kepakaran dalam bidang ekonomi 
pernah mengatakan, untuk seketika ini, kos pengeluaran minyak di Malaysia 
adalah sekitar 50 sen sahaja, bukan RM 2.70 atau RM 2.55 atau yang terbaru 
RM2.45! Bayangkan pula jika seluruh minyak di Timur Tengah dan diseluruh bilad 
al-muslimin (negara-negara umat Islam) bergabung dan mengeluarkan minyak, 
nescaya kos pengeluarannya semakin kurang, hingga mampu diguna oleh rakyat 
secara percuma. Itulah nikmat Islam.

Itulah hakikat yang telah hilang dari pemikiran kita, khasnya umat Islam. 
Khazanah ilmu dan tsaqafah, tak kurang juga khazanah kekayaan sumber alam ada 
pada kita, tetapi kita sendiri yang mengabaikannya. Kita terlalu lama dijajah, 
dan penjajah berjaya menjauhkan khazanah-khazanah tadi dari kita. Sepatutnya 
telah lama kita kembali kepada Islam. Menghidupkannya kembali dengan usaha 
menyebarkan pemikiran-pemikirannya agar menjadi pemikiran setiap dari kita. 
Menyingkir jauh pemikiran asing (kufur barat), menggantikannya dengan pemikiran 
Islam sebagai qiyadah (kepimpinan) berfikir kita. Masih terngiang-ngiang 
ditelinga saya kata-kata seorang sahabat, "Penjajahan tidak berakhir dengan 
pemusnahannya, tetapi cukup dengan menyingkirkan pemikirannya".

Semoga ada manfaatnya.
Wassalam




Kirim email ke