Tahlil di sudut bahasa Arab adalah masdar (nama terbitan) yang bermaksud mengucapkan: "Laa ila ha illallah" ( Ruj. Mu'jam Al-Wasit m/s 1032.).
Berdasarkan pengertian ini, apabila seseorang mengatakan saya ingin menghadiri majlis tahlil. Ini bererti dia ingin menghadiri majlis pembacaan zikir La ilahaillah, jika kita meneliti agenda yang dilaksanakan dalam majlis tahlil, kita dapati bukan sahaja zikir yang dibacakan, malah terdapat berbagai lagi amal kebaikan yang di antaranya dimulakan dengan membaca surah al-Fatihah dan disusuli dengan ayat-ayat suci al-Quran, Selawat, tahlil dan diakhiri dengan doa agar Allah menyampaikan bacaan-bacaan tadi kepada orang yang telah meninggal dunia. Justeru itu, dapat difahamkan penggunaan perkataan tahlil di sini termasuk dalam ilmu balaghah sebagai majaz mursal, di mana digunakan sejuzuk daripada semua perbuatan itu, sedangkan yang dimaksudkan ialah semuanya. Penggunaan majaz mursal ini terdapat banyak dalam penggunaan bahasa Arab termasuk bahasa Melayu sendiri, contohnya dalam bahasa Arab, firman Allah dalam surah al-Muzammil ayat 2 yang bermaksud : "...berdirilah dimalam hari kecuali sedikit (daripadanya)". Dalam ayat ini digunakan perkataan berdiri yang merupakan salah satu daripada rukun sembahyang sedangkan yang dimaksudkan ialah seluruh perbuatan dalam sembahyang, bermula daripada takbiratul ikhram dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat yang tertentu. Sebab itu perkataan berdirilah dari ayat ini ditafsirkan sembahyanglah. Dalam bahasa Melayu juga ada penggunaan sedemikian,sebagai contohnya apabila Ali mempelawa Mahmud makan malam dirumahnya dengan katanya, "Marilah makan nasi di rumah saya malam ini". Dalam ayat ini perkataan nasi yang digunakan itu tidak dimaksudkan nasi itu sahaja, malah yang dimaksudkannya ialah nasi, dan segala lauk-pauk serta hidangan yang lain yang dihidangkan oleh Ali. bacaan lanjut sila layari URL ini: http://www.geocities.com/TheTropics/Harbor/7414/homepg3.htm
