TAJUK : PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI SAW
PENULIS : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
DISEMAK OLEH : Ust Mohd Fikri Che Hussain
Penerbit : Jahabersa
Harga : RM 20.00
Untuk membeli secara online sila layari laman web http://www.jahabersa.com.my/

Assalaamu'alaikum

Dalam buku ini saya membahaskan 21 jenis solat-solat sunat berdasarkan 
hadis-hadis Nabi SAW. Berikut adalah kata-kata aluan dari Ustaz Mohd fikri Che 
Hussain yang telah membantu saya adalam menghasilkan buku ini.

Sekian Wassalaam
Abu Iqbal Mohd Yaakub
http://akob73.blogspot.com/

==============================

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ حَمْداً كَثِيْراً طَيِّباً مُبَارَكاً فِيْهِ، كَمَا يُحِبُّ 
رَبَّناَ وَيَرْضَى، وَصَلىَّ الله وَسَلَّم عَلىَ نَبِيِّناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى 
آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، أما بعد:

Sesungguhnya Solat Sunat merupakan petunjuk yang dilaksanakan oleh Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam dan diajarkannya kepada para sahabat dari generasi 
ke generasi hinggalah kepada kita pada hari ini. Setelah saya diminta oleh 
penulis iaitu saudara Mohd Yaakub Mohd Yunus untuk meneliti dan menyemak hasil 
kerja yang diusahakan olehnya ini. Saya secara peribadi merasa begitu berbesar 
hati menerima jemputannya di atas penghargaan yang beliau berikan kepada diri 
saya.

Ketekunan penulis dalam bidang penulisan semakin terserlah dengan karya-karya 
yang bermutu dari aspek pendalilan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah saban 
tahun. Penulisan artikel yang bermetodkan fahaman Salaf al-Salih berjaya 
dihasilkan penulis di dada-dada akhbar dan majalah hampir setiap bulan. Hasil 
karya penulisannya selama ini mulai tersebar ke serata pelusuk Malaysia. 
Alhamdulillah.

Kesungguhan sebegini perlu diteladani oleh golongan mahasiswa dan mahasiswi 
yang menuntut pelbagai ilmu secara umum dan dalam jurusan agama khususnya. 
Gunakan kemampuan yang dipelajari dan ilmu yang diperolehi dengan menghasilkan 
karya penulisan untuk diketengahkan dalam masyarakat. Isu keruntuhan moral yang 
berleluasa pada masa kini memerlukan sumbangan daripada pelbagai pihak dalam 
usaha membantu mengatasinya. Peranan para agamawan perlu dicambahkan dengan 
sebaiknya bagi mengatasi kemelut yang melanda ummah dewasa ini. Kerjasama di 
kalangan kelompok ustaz dan protaz perlu ditingkatkan lagi keberkesanannya 
dalam mencapai misi dakwah sejagat.

Buku yang berada di tangan anda ini begitu menarik untuk dimiliki oleh setiap 
mereka yang mencintai kebenaran, kesahihan dan keberkatan dalam amalan seharian 
mereka. Topik berkaitan solat merupakan topik yang begitu laris dalam pasaran 
buku-buku agama. Meskipun tajuk buku berkaitan Solat Sunat ini begitu banyak 
memenuhi pasaran buku-buku agama, namun kandungan di dalam buku ini terdapat 
sedikit kelainan berbanding buku lain yang pernah saya baca dan rujuk. Penulis 
menggarapkan perbincangan secara lebih kemas dari aspek ilmiah dan mendasari 
setiap perlakuan ibadah Solat Sunat dengan hujah dan fakta yang kukuh.

Metod yang beliau gunakan dalam karyanya ini adalah berteraskan Fiqh al-Sunnah 
yang berpandukan amalan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana sabda 
baginda mengenai ibadah solat:

Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. - Hadis riwayat 
Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 631.

Panduan berteraskan sunnah yang diambil daripada kepelbagaian sumber dan 
rujukan ini kemudiannya dihuraikan oleh penulis dengan metod tahqiq (semakan) 
dan tarjih (menyatakan keutamaan pendapat yang perlu dipegang dan diamalkan). 
Di samping menolak setiap amalan yang tidak bertunjangkan kepada sunnah atau 
menyelisihi amalan sunnah yang dilaksanakan pada zaman sahabat dan generasi 
berikutnya pada era keemasan Islam.

Di dalam buku Solat Sunat ini, penulis turut menyatakan panduan beserta hukum 
dan tatacara pelaksanaannya berpandukan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam 
dan keadaan ini memerlukan ketekunan dan kerapkali memakan masa yang lama. 
Beliau menyusun hadis-hadis yang sahih menurut martabatnya dengan huraian 
ringkas berkaitan Fiqh al-Hadis berkenaan dengan sanad dan matannya.

Pendedahan pada amalan Solat Sunat ini, sekalipun sudah banyak ditulis oleh 
para penulis yang lain. Ia perlu terus ditekankan kerana Solat Sunat merupakan 
ibadah seharian yang dilaksanakan oleh setiap individu Muslim. Namun kualitinya 
yang seiring dengan sunnah yang suci perlu diperkemaskan agar dapat memberikan 
nilaian yang hebat di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Selain itu ia dapat 
mendekatkan kita kepada petunjuk yang paling hampir dengan petunjuk sunnah 
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam pelaksanaannya.

Justeru itu, di dalam kesempatan ini saya ingin mengajak dan menggalakkan 
kepada semua pembaca agar dapat membaca buku-buku yang berfaedah seperti buku 
ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Buku sebegini juga wajar dimiliki 
oleh mereka yang sedaya upaya menghayati manhaj yang sahih dan berpegang kepada 
sunnah yang mulia. Kita mengharapkan agar buku ini dapat memberikan sumbangan 
yang terbaik dalam menyalurkan maklumat ilmiah dan cukup berguna kepada 
individu dan masyarakat Islam yang mencintai sunnah Rasulullah shallallahu 
'alaihi wasallam.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala agar memberikan ganjaran terbaik kepada anda 
dan para pembaca buku ini serta memanfaatkannya dalam ibadah seharian mereka. 
Diharapkan juga para pembaca dapat mendoakan kepada penulis dan juga diri saya 
agar ditambahkan ilmu serta dapat menyebarkannya dalam bidang penulisan yang 
kami perjuangkan. Amin!

Akhirnya, marilah kita merenungi dan cuba menghayati sedalam-dalamnya maksud 
yang terkandung di dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala ini:

Maka gembirakanlah hamba-hamba-Ku, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan 
yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut yang terbaik (untuk 
diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah 
petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna. - al-Zumar 
(39) : 17-18

Sekian, hamba yang mengharapkan keampunan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Mohd Fikri Bin Che Hussain
Rabiulakhir 1429 / Mei 2008
Felda Sungai Nerek, Temerloh
Pahang Darul Makmur




Kirim email ke