Artikel : Unity Goverment bukan bermaksud Pas sertai BN, bukan untuk Melayu
sahaja
oleh HermanSamsudeen
Begitu gelojoh pimpinan BN dan ramai pihak membuat ulasan terhadap buah pikiran
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai Unity Goverment (Kerajaan
Perpaduan) sejak dua tiga hari ini. Jelas apa yang mereka fikirkan jauh
menyimpang dari hasrat asal Presiden Pas.
Hasrat sebenar Presiden Pas
Idea ini bangkit setelah Presiden melihat politik negara yang kian kalut dan
ekonomi negara kian serabut dibawah pentadbiran Kerajaan BN yang kini tidak
mendapat sokongan 2/3 rakyat Malaysia.
Melihat kepada timbulnya pelbagai isu dan masalah lantaran ketamakkan
sesetengah pihak untuk terus berkuasa dan sebahagian lagi berusaha menjadi
Kerajaan dalam cara pemikiran mereka, akhirnya membawa timbul suatu keinginan
di hati Presiden Pas untuk memberikan jalan tengah untuk rakyat mendapat
khidmat yang terbaik.
Percaturan politik yang mengkucar kacirkan negara dikhuatiri meninggalkan kesan
yang panjang terhadap struktur ekonomi dan sosial negara. Kerajaan BN yang
memerintah juga dilihat bertindak berdasarkan keperluan mereka bukannya
keperluan keseluruhan rakyat. Pembangkang pula seolah-olah dinafikan idea-idea
mereka dan ini membuka ruang yang luas untuk percakaran hebat peringkat
kepimpinan negara dan akar umbi keseluruhannya.
Atas prinsip menjaga kepentingan rakyat, Presiden Pas menawarkan idea Kerajaan
Perpaduan tanpa pembangkang (Pembangkang tetap wujud tetapi sebagai kumpulan
yang bekerja dalam membantu mencipta dasar yang lebih baik) dimana idea ini
mengemukakan pandangan berat untuk difikirkan semua.
Ianya untuk kebaikkan seluruh rakyat dan negara, bukan untuk Melayu sahaja!
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ust. Nasaruddin Hassan Tantawi merumuskan
pandangan Presiden Pas ini sebagai satu alternatif untuk mengabungkan kembali
rakyat dibawah satu tadbir urus yang disiplinnya menumpukan kepada soal
kebersamaan memperbaiki ekonomi negara dan mempertahankan semangat perpaduan
seluruh rakyat.
Idea besar ini harus dilihat sebagai satu peluang ‘gencatan senjata’ yang mana
tiada siapa yang harus dikorbankan melainkan kepentingan parti atau individu
sahaja. Ia membawa semua pemimpin dan rakyat berfikir atas dasar unity bukannya
individualistik.
Pas mahu Kerajaan Perpaduan ini menguruskan isu-isu dan kepentingan semua kaum
dan tidak tertumpu pada kaum tertentu seperti Melayu sahaja. Pas melihat semua
rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan fahaman politik berhak
untuk menerima layanan yang adil (bukan ditafsir sebagai sama rata).
Kerajaan Perpaduan bukan bererti Pas sertai BN
Pas bukannya menawar diri untuk sertai BN atau bergabung dengan Umno untuk
perkukuhkan Melayu. Pandangan itu jauh meleset dari apa yang dibawa oleh
Presiden Pas.
Pemikiran Presiden Pas tetap bersama dengan apa yang diingini oleh Musyidul Am,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu menolak gagasan Kerajaan Campuran yang
berlandaskan sistem politik satu Parti yang bergabung dibawah BN sahaja.
Apa yang mahu diutarakan adalah kesatuan pentadbiran dibawah urustadbir
pelbagai parti yang memerintah dimana kumpulan pembangkang diberikan ruang yang
secukupnya untuk menyertai urustadbir negeri dan negara berdasarkan keperluan
tertentu.
Ini bermakna, BN kekal dengan komponennya, Pakatan kekal dengan komponennya.
Apa yang harus diperbaiki adalah senarai urustadbir Kerajaan dan juga struktur
hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Ianya Penyelesaian kepada masalah urustadbir negara
Hari ini kita melihat Kerajaan Persekutuan mempergunakan kuasa Persekutuan
mereka untuk menafikan hak Kerajaan negeri memerintah dengan menyalurkan
bantuan Persekutuan kepada Jabatan Kerajaan Persekutuan yang diwujudkan disemua
negeri yang di perintah Pakatan. Tindakan ini menyebabkan Kerajaan Negeri yang
diperintah Pakatan tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya.
Ini sekaligus meningkatkan perbelanjaan Kerajaan diperingkat negeri dan negara
sekaligusnya menjadikan dana negara sebagai modal percaturan politik bukannya
dana untuk membantu rakyat.
Selain itu dalam isu-isu melibatkan soal tanah, balak dan air juga sering wujud
perbezaan tindakan lantaran pengaruh kepentingan ideologi politik. Kerajaan Pas
di Kedah baru-baru ini mengancam menebang balak dikawasan hutan simpan tadahan
air sebagai reaksi terdesak untuk mendapatkan dana menguruskan negeri setelah
Kerajaan Persekutuan menafikan hak Kerajaan Kedah menerima bantuan kewangan dan
royalti.
Selangor pula berebut dengan Persekutuan dalam soal menguruskan air
negeri. Manakala beberapa projek mega di Pulau Pinang menjadi bahan perdebatan
Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Projek ECER di Kelantan juga menjadi persoalan di mana Kerajaan Negeri tidak
dijemput secara serius untuk menyertainya.
Selain itu, salah urustadbir diperingkat Persekutuan dan negeri juga sukar
dibendung hingga menyebabkan gejala rasuah berleluasa kerana tiadanya check &
balance peringkat akar umbi pentadbiran. Isu-isu salahguna kuasa hanya dapat
dibangkitkan diperingkat Parlimen dan ini mengambil masa yang panjang sedangan
dana-dana negara setiap hari dirompak oleh mereka yang korup.
Oleh itu dengan penyertaan anggota Pakatan dalam organisasi atau urustadbir
Kerajaan maka usaha check & balance itu boleh dilakukan diperingkat dasar tanpa
perlu dibawa ke peringkat Parlimen.
Dalam erti kata lain anggota Pakatan diberikan ruang untuk membantu
menyelesaikan masalah dari dalam pentadbiran bukannya menjadikan sebagai isu
politik tanpa cadangan penyelesaian.
Disamping itu pakar-pakar dari pakatan juga boleh dijemput bagi menganggotai
kumpulan pengurusan atau pakar yang lain bagi mencari jalan penyelesaian
terhadap isu-isu ekonomi dan masalah lain. Ini bermakna, mereka bukan sekadar
dipanggil memberikan pandangan melalui forum atau diskusi, mereka boleh
dipanggil untuk bermesyuarat dan membantu mencipta dasar.
Selalunya kita melihat budget dibentang berdasarkan idea pemimpin BN dan
kemudiannya pemimpin pakatan keluarkan cadangan budget mereka sebagai
alternatif.
Kedua-duanya mempuanyai idea, tapi idea Pakatan tidak digunakan kerana BN
bertegas dengan idea budget mereka tanpa berunding secara ekonomik bersama
pimpinan Pakatan. Ini sekaligus memperlihatkan bahawa adanya tanda keegoan dan
pergeseran pandangan ekonomi atas kepentingan politik disitu.
Rakyat keseluruhannya mahu melihat idea positif Pakatan dan BN digabungkan
dalam membentuk dasar-dasar dan budget negara.
Dimana kedudukan Pakatan, BN
Ramai yang salah faham dengan idea Unity Goverment atau Kerajaan perpaduan ini
dimana mereka secara mudah melihat Pas akan masuk Umno atau Pakatan perlu
bersatu dibawah BN.
Sekali lagi ditegaskan bahawa itu tidak akan terjadi kerana prinsip Kerajaan
Campuran, Kerajaan Perpaduan dan pelbagai jenis Kerajaan Gabungan masih boleh
dibentuk tanpa adanya pengabung parti atau kumpulan parti yang besar.
Matlamat yang diutarakan oleh Presiden Pas adalah menyatukan pentadbiran negara
tanpa adanya prasangka dan tindas menindas, dimana Kerajaan Pakatan boleh
tadbir negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan BN dengan aman dan sebaliknya
Kerajaan Persekutuan boleh laksanakan dasar Persekutuan dengan sokongan
Kerajaan Negeri Pakatan.
Sekiranya ada masalah atau pandangan, ianya boleh disalurkan terus melalui
agensi berkaitan di mana wakil-wakil Pakatan dan BN diberikan peluang untuk
menyertai agensi Kerajaan sebagai kumpulan check & balance atau think tank.
Apa yang berlaku sekarang, anggota atau pemimpin Pakatan berada diluar
pentadbiran Kerajaan dan cadangannya mereka hanya didengar di Parlimen. Oleh
itu lebih baik mereka dipanggil sertai pentadbiran Kerajaan dan sama-sama turun
tangan memberikan sumbangan terus untuk negara dan rakyat walaupun berbeza
parti.
Kita melihat apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor sebagai contoh
dimana pemimpin Gerakan-BN diberikan ruang sertai Kerajaan bagi membantu
meningkatkan ekonomi dan melancarkan pengurusan negeri.
Di situ wujud kebersamaan hasrat walaupun mempunyai kepentingan politik yang
berbeza.
Pakatan dan BN tetap berjalan dilandasan politik masing-masing tetapi
menjadikan hasrat memberikan khidmat terbaik dan menjaga kepentingan rakyat
sebagai keutamaan.
Dalam hal ini kedua-dua pihak dapat menyampaikan mesej mereka secara adil
kepada rakyat sekaligus memberikan kebaikan pada semua tanpa menjadikan rakyat
sebagai korban perang politik!
Presiden Pas punyai pandangan yang lebih besar
Apa yang saya tulis disini adalah pandangan serpihan yang kecil jika hendak
dibandingkan dengan gagasan pemikiran Presiden. Dan saya yakin Presiden mahu
melihat negara ini diurus dengan lebih adil dan harmoni, bukannya atas
kepentingan politik sahaja.
Matlamat setiap ahli politik adalah untuk memberikan khidmat yang terbaik pada
rakyatnya bukan untuk mendapatkan khidmat terbaik untuk dirinya dari rakyatnya.
Oleh itu disana ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan.
Gagasan Presiden Pas ini wajar direnung dan dikembangkan serta tidak dikongkong
dengan pandang sempit ke arah penyatuan BN dan Pakatan atau Pas dan umno sahaja!
Fikirlah untuk rakyat, bukannya untuk kepentingan diri dan nafsu politik
sahaja. Politik yang didasari dengan iman akan menjadikan tuhan sebagai
sembahan dan rakyat tempat untuk berkhidmat.