BANJIR BESAR DI KG BACANG MANTING
PEMBANGUNAN MENYUSAHKAN RAKYAT

Ketika masyarakat menjalani ibadah puasa disamping persediaan untuk menyambut 
hari kemerdekaan yang ke-52, jangan kita pinggirkan isu yang melanda penduduk 
di Kg Bacang Manting, Jelebu, Negeri Sembilan. Sukar untuk diramalkan perubahan 
cuaca yang kadangkala tidak diduga namun pembangunan yang sedang diratah di 
kawasan perkampungan Gagu telah mengakibatkan ekosistem berlaku perubahan besar 
dalam sejarah perkampungan Kg Bacang Manting.

Menurut salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai nek Safiyah, 
memberitahu pada malam 27 Ogos 2009 (Jumaat) selepas waktu berbuka puasa 
keadaan sekeliling rumah mula dinaiki air. Sehingga lewat pukul 9.00pm air mula 
naik sehingga ke paras dada. "Selepas berbuka nek megerjakan solat maghrib, 
selepas itu air mula naik di bahagian dapur dan naik sehingga ke tingkat atas. 
Nek suruh anak perempuan nek telepon bomba untuk dapatkan bantuan," keluh nek 
Safiyah. Menurut anak perempuan nek Safiyah, hujan pada ketika itu tidaklah 
selebat hujan sebelum ini yang dulunya pernah berlarutan selama seminggu. 
Ketika itu, keadaan banjir hanya pada paras buku lali dan surut beberapa jam 
selepas itu.

Namun banjir yang berlaku ini, turut diakui oleh penduduk yang dikenali sebagai 
Pak Tam. Menurut beliau, banjir yang berlaku pada Kg Bacang Manting adalah 
disebabkan oleh pembangunan yang dijalankan di Kg Gagu untuk membina empangan. 
Keadaan tanah yang tidak seimbang menyebabkan air yang datangnya dari Kg Gagu 
melimpah ke perkampungan Bacang Manting. "Orang lain sibuk sambut merdeka, kita 
pula dalam darurat. Kena bersihkan rumah yang disalut lumpur, malam terpaksa 
bergelap sebab plug dah dimasuki air. Telepon pun tak berfungsi", rungut Pak 
Tam.

Apa yang menghairankan pihak PRIMA, tidak ada berita dicanangkan di media cetak 
mahupun media elektronik mengenai banjir besar yang berlaku di perkampungan 
Bacang Manting. Kampung Bacang Manting juga hampir lupus, kerana namanya sudah 
tak tercatat dalam peta di daerah Jelebu (sekadar disebut dalam buku daftar 
Suruhanjaya Pilihanraya sahaja), kerana generasi sekarang mengenalinya sebagai 
‘Kampung Teriang’ (sebenarnya Teriang atau Hulu Teriang ialah sebuah mukim 
merangkumi Kampung Gagu, Kampung Sungai Legom, Kampung Cenderak, Kampung Durian 
Gasing, Kampung Sepam, Kampung Tengah, Kampung Bacang Manting, Kampung 
Petaling, Kampung Seperi, Kampung Cempedak, Kampung Pianggu dan Kampung Durian 
Daun). Tak hairanlah, pengkritik sastera Drs Ramli Isin mengandaikan ‘Kampung 
Bacang Manting’ mungkin sahaja wujud dalam imaginasi pengarang.

Selepas seminggu perkara ini berlalu, kesannya pada penduduk amat dirasai 
kerana tidak ada seorang pemimpin dari kalangan orang politik sanggup turun 
menjengah ke kediaman penduduk yang dilanda banjir. Hanya sekadar memberi 
sumbangan dimana penduduk Kg Bacang Manting turun ke Kg Gagu untuk menerima 
wang tersebut. Hairan bukan kepalang, memikirkan gelagat 'mereka' yang 
berpakaian kot, bersepatu kilat takut mencalitkan lumpur di kaki seluar. 
Sumbangan satu hal, projek masih diteruskan. Apakah tindakan yang akan menyusul 
selepas banjir ini? Takkan sampai Kg Bacang Manting bertukar menjadi Tasik 
Bacang Manting? Astaga!

Sumber dan gambar banjir di  
http://adimul.blogspot.com/2009/09/dari-laman-blog.html




Kirim email ke