Rasanya kes pertama serangan ikan disyakki ikan yu ke atas pengunjung pantai 
Telok Kemang di Port Dickson.

Kerajaan sepatutnya mengarahkan supaya pantai ini ditutup serta merta sehingga 
dapat disahkan jenis ikan yang menyerang bekas pemain bolasepak Melaka dan 
tindakan susulan yang harus diambil.

Laman web ini http://www.flmnh.ufl.edu/fish/Kids/Avoid/avoid.htm
menyatakan antara sebab ikan yu menyerang manusia di pantai jika adanya sistem 
kumbahan atau sistem pembentungan yang mengalir terus ke pantai berkenaan. Air 
kumbahan menjadi tarikan ikan kecil, seterusnya menjadi tarikan ikan besar.

Antara langkah yang perlu diambil setelah disahkan pantai Telok Kemang selamat 
ialah :
1. Sentiasa berenang dalam kumpulan
2. Jangan berenang jauh dari pantai
3. Jangan berenang waktu malam, subuh dan senja kerana ikan yu aktif pada masa 
ini
4. Jika ada luka jangan mandi, ikan yu boleh hidu dan jejak mereka yang luka
5. Jangan pakai rantai, gelang, subang dan sebagainya kerana ikan yu suka benda 
berkilau.
6. Jangan mandi tempat pantai ramai orang memancing
7. Elakkan pakaian yang terang warnanya dan pakaian yang berwarna warni

**************************
50 jahitan gara-gara diserang 'ikan yu'

Sinar Harian 5 Jan 2010

BANDARAYA MELAKA – Bekas pemain bola sepak Piala Presiden Melaka, Mohd Helmi 
Leman, 25, parah di kaki dipercayai diserang ikan yu ketika bermandi-manda di 
Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, kelmarin.

Beliau yang pertama kali mengunjungi pantai berkenaan dipercayai diserang ikan 
yu berikutan dakwaan penduduk kawasan itu menyatakan ikan terbabit dikesan 
berada di beberapa lokasi.

Mangsa putus urat kaki dan menerima lebih 50 jahitan, ditempatkan di wad 
Hospital Melaka (HM) bagi menjalani rawatan susulan.

“Saya bersama enam anggota keluarga mengunjungi pantai berkenaan sempena cuti 
sekolah.

“Kira-kira jam 8.15 pagi ketika mandi manda di pantai bersama anak-anak, 
tiba-tiba ada benda datang menyerang kaki saya.

“Saya tidak nampak dan ketika kejadian orang tidak ramai,” katanya ketika 
ditemui Sinar Harian, semalam.

Isteri mangsa, Sabariah Sarip berkata, kejadian berlaku terlalu cepat, namun 
suaminya sempat menolak anak ke tepi.

“Masa tu saya lihat kaki suami sudah luka parah,” katanya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi mendapatkan rawatan sebelum 
pindah ke HM.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, 
Datuk Ab Karim Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan 
akan berusaha mendapatkan bantuan untuk Helmi.

“Syukur kerana Helmi tidak apa-apa dan dakwaan ikan yu menyerang mungkin ada 
kebenarannya,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6326219.asp

**************
Digigit ikan besar

Harian Metro 5 Jan 2010

MELAKA: Percutian seorang posmen bersama 15 anggota keluarganya di pantai 
peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi mimpi ngeri apabila dia 
dipercayai digigit seekor ikan besar ketika mandi berhampiran sebuah apartmen 
di situ, Sabtu lalu.

Susulan kejadian itu, mangsa, Mohamad Helmi Leman, 25, yang menetap di Kampung 
Air Limau, Masjid Tanah di sini, terpaksa menerima 50 jahitan dan kini masih 
dirawat di Hospital Melaka (HM) selepas ahli keluarganya meminta dia 
dipindahkan ke sini kira-kira jam 3 petang hari kejadian dari Hospital Port 
Dickson.

Mohamad Helmi berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mandi bersama 10 
anggota keluarganya kira-kira jam 8.30 pagi pada hari kejadian.

Menurutnya, ketika itu, mereka sudah menghabiskan masa selama setengah jam 
bermandi-manda di situ.

Katanya, ketika asyik mandi di dalam air paras dada, tiba-tiba dia terasa 
pergelangan kaki kanan serta bahagian tapak kakinya itu direnggut seekor 
binatang yang disangkanya buaya.

“Ketika itu saya terasa suatu objek tajam dan bergigi merenggut kaki kanan saya 
menyebabkan saya amat terkejut.

“Sejurus itu, saya cuba merentap kaki saya tetapi haiwan berkenaan tidak 
melepaskan gigitannya dan sama-sama ‘bertarung’ selama tempoh kira-kira dua 
saat,” katanya ketika ditemui di wad HM di sini semalam.


Menurut Mohamad Helmi, gigitan berkenaan menyebabkan pergelangan pangkal bawah 
buku lali sehingga tapak kaki kanannya mengalami luka teruk dan mengeluarkan 
banyak darah.

Katanya, sebaik anggota keluarga lain menyedari dia digigit sesuatu, mereka 
terus membawanya ke darat sebelum menghubungi ambulans.

“Meskipun mengalami kecederaan parah dan dalam kesakitan, namun saya masih 
sedar ketika dibawa ke Hospital Port Dickson.

“Bagaimanapun, ahli keluarga saya terutama isteri, Sabariah Karim meminta 
supaya saya dipindahkan ke HM bagi memudahkan mereka melawat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Helmi berkata, orang kampung di kawasan itu mengesyaki 
kejadian terbabit disebabkan ikan yu memandangkan ketika ini mereka mendakwa 
musim ikan berkenaan berkeliaran di situ.

http://www.hmetro.com.my/articles/Digigit-ikan-besar/Article/




Kirim email ke