SALAWAT KEPADA NABI 3
Allahumma Salli 'Ala Muhammad wa Ali Muhammad
Mengapa Memilih Ahlul - Bait Dan Hadith-hadith yang menghadkan pengganti Nabi
SAW kepada dua belas orang.
Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, `Barangsiapa yang meninggal
tanpa mengenali imam zamannya, matinya ia seperti orang yang mati selama masa
jahiliah (zaman sebelum Islam).'
Hadith-hadith yang menghadkan pengganti-pengganti Nabi SAW kepada
dua belas orang, telah diriwayatkan oleh jumhur ulama Muslimin di dalam
Sahih-sahih dan Musnad-musnad mereka.
Ahmad bin Hanbal di dalam Musnad1nya meriwayatkan hadith ini
daripada Sya'bi daripada Masruq berkata:"Kami berada di sisi 'Abdullah bin
Mas'ud yang sedang memperdengarkan bacaan al-Qur'an kepada kami. Tiba-tiba
seorang lelaki bertanya kepadanya: Wahai Abu 'Abdu r-Rahman! Adakah anda telah
bertanya Rasulullah SAW berapakah ummat ini memiliki khalifah?" Abdullah bin
Mas'ud menjawab:"Tiada seorangpun bertanya kepadaku mengenainya semenjak aku
datang ke Iraq sebelum anda." Kemudian dia berkata:"Ya! Sesungguhnya kami telah
bertanya kepada RasulullahSAW mengenainya. Maka beliau menjawab:"Dua belas
(khalifah) seperti bilangan naqib Bani Israil."
Di dalam riwayat yang lain Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada
Jabir bin Samurah, sesungguhnya dia berkata:"Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda semasa Haji Wida':"Urusan agama ini masih pada zahirnya di tangan
penentangannya dan tidak akan dihancurkan oleh orang-orang yang menyalahinya
sehingga berlalunya dua belas Amir, semuanya daripada Quraisy2."
Muslim di dalam Sahih3nya meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah
sesungguhnya dia berkata:"Aku bersama bapaku berjumpa Nabi SAW, Maka aku
mendengar Nabi SAW bersabda:"Urusan 'ini' tidak akan selesai sehingga berlaku
pada mereka dua belas khalifah." Dia berkata: Kemudian beliau bercakap dengan
perlahan kepadaku. Akupun bertanya bapaku apakah yang diucapkan oleh beliau?
Dia menjawab:"Semuanya daripada Quraisy."
Muslim juga meriwayatkan di dalam Sahih4nya daripada Nabi SAW
beliau bersabda:"Ugama sentiasa teguh sehingga hari kiamat dan dua belas
khalifah memimpin mereka, semuanya daripada Quraisy. Di dalam riwayat yang lain
"Urusan manusia berlalu dengan perlantikan dua belas lelaki dari Quraisy5,"
"Sentiasa Islam itu kuat sehingga kepada dua belas khalifah daripada Quraisy6"
dan "Sentiasa ugama ini kuat dan kukuh sehingga dua belas khalifah daripada
Quraisy7"
Al-Turmudzi di dalam al-Sunan8nya mencatat hadith tersebut dengan
lafaz amir bukan khalifah.
Sementara al-Bukhari di dalam Sahih9nya meriwayatkannya daripada
Jabir bin Samurah bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku ialah dua belas amir."
Maka beliau berucap dengan perkataan yang aku tidak mendengarnya. Bapaku
memberitahuku bahawa beliau bersabda:"Semuanya daripada Quraisy."
Al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-Ummal10, meriwayatkan bahawa
Nabi SAW bersabda:"Selepasku akan (diikuti) oleh dua belas khalifah."
Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah11 meriwayatkan daripada
Jabir bin Samurah bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku akan (dikuti) dua belas
amir semuanya daripada Quraisy."
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah12 mencatat
riwayat daripada Jabir bin Samurah sesungguhnya dia berkata:"Aku bersama bapaku
di sisi Nabi SAW beliau bersabda:"Selepasku dua belas khalifah." Kemudian
beliau merendahkan suaranya. Maka akupun bertanya bapaku mengenainya. Dia
menjawab: Beliau bersabda:"Semuanya daripada Bani Hasyim."
Samak bin Harb juga meriwayatkannya dengan lafaz yang sama.
Diriwayatkan daripada al-Sya'bi daripada Masruq daripada Ibn Mas'ud bahawa
sesungguhnya Nabi SAW telah menjanjikan kita bahawa selepasnya dua belas
khalifah sama dengan bilangan naqib Bani Isra'il. Dan dia berkata di dalam bab
yang sama bahawa Yahya bin al-Hasan telah menyebutkannya di dalam Kitab
al-Umdah dengan dua puluh riwayat bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAW
adalah dua belas orang. Semuanya daripada Quraisy. Al-Bukhari telah
menyebutkannya dengan tiga riwayat, Muslim sembilan riwayat. Abu Daud tiga
riwayat, al-Turmudhi satu riwayat dan al-Humaidi tiga riwayat.
Pengkaji-pengkaji menegaskan bahawa hadith-hadith tersebut
menunjukkan bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAW ialah dua belas orang.
Dan maksud hadith Nabi SAW ialah dua belas orang daripada Ahlu l-Baitnya.
Kerana tidak mungkin dikaitkan hadith ini kepada khalifah-khalifah yang terdiri
daripada bilangan mereka kurang daripada dua belas orang. Dan tidak mungkin
dikaitkan dengan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah kerana bilangan mereka
melebihi dua belas orang dan kezaliman mereka yang ketara selain daripada 'Umar
bin Abdu l-Aziz. Tambahan pula mereka bukan daripada Bani Hasyim. Di dalam
riwayat yang lain beliau memilih Bani Hasyim di kalangan Quraisy dan memilih
Ahlu l-Baitnya di kalangan Bani Hasyim13.
Di dalam riwayat 'Abdu l-Malik daripada Jabir bahawa Nabi SAW telah
merendahkan suaranya ketika menyebutkan Bani Hasyim kerana 'mereka' tidak
menyukai Bani Hasyim. Hadith ini juga tidak boleh dikaitkan dengan
khalifah-khalifah Bani 'Abbas kerana bilangan mereka melebihi bilangan
tersebut. Dan mereka tidak mengambil berat tentang firmanNya "Katakan!" Aku
tidak meminta upah daripada kamu kecuali mencintai keluargaku," sebagaimana
juga mereka tidak menghormati hadith al-Kisa'. Justeru itu, hadith tersebut
mestilah dikaitkan dengan dua belas Ahlu l-Baitnya kerana merekalah orang yang
paling alim, warak, takwa, paling tinggi keturunan dan ilmu-ilmu mereka adalah
daripada datuk-datuk mereka yang berhubungkait dengan datuk mereka Rasulullah
SAW dari segi warisan dan hikmah. Mereka pula dikenali oleh para ilmuan. Oleh
itu apa yang dimaksudkan oleh hadith tersebut ialah dua belas Ahlu l-Bait
Rasulullah SAW14. Ianya diperkuatkan oleh hadith thaqalain, hadith al-Safinah,
hadith al-Manzilah dan lain-lain.
Al-Qunduzi al-Hanafi15 juga telah meriwayatkan hadith daripada
Jabir dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:"Akulah penghulu para Nabi dan 'Ali
adalah penghulu para wasi. Dan sesungguhnya para wasi selepasku ialah dua belas
orang, pertama 'Ali dan yang akhirnya Qaim al-Mahdi."
Hadith-hadith yang menerangkan bahawa merekalah para wasi
Rasulullah SAW di dalam buku-buku Ahlu l-Sunnah adalah banyak, dan ianya
melebihi had mutawatir. Umpamanya hadith daripada Salman RD berkata: Aku
berjumpa Nabi SAW dan Husain berada di atas dua pahanya. Nabi SAW sedang
mengucup dahinya sambil berkata:'Anda adalah Sayyid bin Sayyid dan adik Sayyid.
Anda adalah imam bin imam dan adik imam. Anda adalah Hujjah bin Hujjah dan adik
Hujjah dan bapa hujjah-hujjah yang sembilan. Dan yang kesembilan mereka ialah
Mahdi al-Muntazar."
Al-Hamawaini al-Syafi'i di dalam Fara'id al-Simtin16, meriwayatkan
daripada 'Ibn Abbas berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Aku , Ali,
Hasan, Husain dan sembilan daripada anak-anak Husain adalah disuci dan
dimaksumkan."
Ibn 'Abbas juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:"Wasi-wasiku,
hujjah-hujjah Allah ke atas makhlukNya dua belas orang, pertamanya saudaraku
dan akhirnya ialah anak lelakiku (waladi)." Lalu ditanya Rasulullah siapakah
saudara anda wahai Rasulullah? Beliau menjawab:'Ali. Dan ditanya lagi siapakah
anak lelaki anda? Beliau menjawab: al-Mahdi yang akan memenuhi bumi ini dengan
kejujuran dan keadilan sebagaimana ianya dipenuhi dengan kerosakan dan
kezaliman. Demi Tuhan yang mengutusku dengan kebenaran sebagai kegembiraan dan
peringatan, sekiranya dunia ini tinggal hanya satu hari lagi nescaya Allah akan
memanjangkannya sehingga keluar anak lelakiku al-Mahdi. Kemudian diikuti oleh
'Isa bin Maryam. Beliau akan mengerjakan solat di belakang anak lelakiku. Dunia
pada ketika itu berseri dengan cahaya Tuhannya dan pemerintahannya meliputi
Timur dan Barat.
Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah17 bab 95
meriwayatkan bahawa Jabir bin 'Abdullah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wahai
Jabir! Sesungguhnya para wasiku dan para imam selepasku pertamanya 'Ali
kemudian Hasan kemudian Husain kemudian 'Ali bin Husain kemudian Muhammad bin
'Ali al-Baqir. Anda akan menemuinya wahai Jabir sekiranya anda mendapatinya,
maka sampailah salamku kepadanya. Kemudian Ja'far bin Muhammad, kemudian Musa
bin Ja'far, kemudian 'Ali bin Musa, kemudian Muhammad bin 'Ali, kemudian 'Ali
bin Muhammad, kemudian Hasan bin 'Ali. Kemudian al-Qa'im namanya sama dengan
namaku dan kunyahnya sama dengan kunyahku, anak Hasan bin 'Ali. Dengan
beliaulah Allah akan 'membuka' seluruh pelusuk bumi di Timur dan di Barat,
dialah yang ghaib dari penglihatan. Tidak akan percaya kepada imamahnya
melainkan orang yang telah diuji hatinya oleh Allah SWT. Jabir berkata: Wahai
Rasulullah! Adakah orang ramai boleh mengambil faedah darinya ketika ghaibnya?
Beliau menjawab:"Ya! Demi yang mengutuskan aku dengan kenabian sesungguhnya
mereka mengambil cahaya daripada wilayahnya ketika ghaibnya, seperti orang
mengambil faedah dari matahari sekalipun ianya ditutupi awan." Ini adalah di
antara rahsia-rahsia ilmu Allah yang tersembunyi. Justeru itu rahsiakanlah
mengenainya melain kepada orang yang ahli.
Di dalam Yanabi' al-Mawaddah18 bab 76 daripada Jabir al-Ansari
berkata: Junda bin Janadah berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya kepada beliau
beberapa masalah. Kemudian dia berkata: Beritahukan kepadaku wahai Rasulullah
tentang wasi-wasi anda selepas anda supaya aku berpegang kepada mereka. Beliau
menjawab: Wasi-wasiku dua belas orang. Lalu Jundal berkata: Begitulah kami
dapati di dalam Taurat. Kemudian dia berkata: Namakan mereka kepadaku wahai
Rasulullah. Maka beliau menjawab:"Pertamanya penghulu dan bapa kepada wasi-wasi
adalah 'Ali. Kemudian dua anak lelakinya Hasan dan Husain. Justeru itu
berpeganglah kepada mereka dan janganlah kejahilan orang-orang yang jahil itu
memperdayakan anda. Kemudian 'Ali bin Husain Zaina l-Abidin Allah akan
mematikan anda ('Ali bin Husain) dan menjadikan air susu sebagai bekalan
terakhir di dunia ini."
Jundal berkata: Kami telah mendapatinya di dalam Taurat dan di
dalam buku-buku para Nabi AS seperti Iliya, Syibra dan Syabir. Maka ini adalah
nama 'Ali, Hasan dan Husain, maka imam selepasnya dipanggil Zaina l-Abidin
selepasnya anak lelakinya Muhammad, dipanggil al-Baqir. Selepasnya anak
lelakinya Ja'far dipanggil al-Sadiq. Selepasnya anak lelakinya Musa dipanggil
al-Kazim. Selepasnya anak lelakinya 'Ali dipanggil al-Ridha. Selepasnya anak
lelakinya 'Ali dipanggil al-Naqiyy al-Hadi. Selepasnya anak lelakinya Hasan
dipanggil al-Askari. Selepasnya anak lelakinya Muhammad dipanggil al-Mahdi
al-Qa'im dan al-Hujjah. Beliau ghaib dan akan keluar memenuhi bumi dengan
kejujuran dan keadilan sebagaimana ianya dipenuhi dengan kefasadan dan
kezaliman. Alangkah beruntungnya bagi orang-orang yang bersabar semasa
ghaibnya. Dan alangkah beruntungnya bagi orang-orang yang bertaqwa terhadap
Hujjah mereka. Dan mereka itulah orang yang disifatkan oleh Allah di dalam
firmanNya (Surah al-Baqarah(2): 2-3"Petunjuk bagi mereka yang bertaqwa iaitu
mereka yang beriman kepada yang ghaib." Kemudian beliau membaca (Surah
al-Mai'dah(5):56)"Sesungguhnya parti Allahlah yang pasti menang."Beliau
bersabda: Mereka itu adalah daripada parti Allah (hizbullah).
Al-Hamawaini di dalam Fara'id al-Simtin19 telah meriwayatkan hadith
ini dan dinukilkan oleh al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah bab
76 dengan sanad daripada Ibn 'Abbas dia berkata: Seorang Yahudi bernama Na'thal
datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Muhammad! Aku akan bertanya
anda beberapa perkara yang tidak menyenangkan hatiku seketika. Sekiranya anda
dapat memberi jawapan kepadaku nescaya aku akan memeluk Islam di tangan anda.
Beliau SAW bersabda:"Tanyalah wahai Abu 'Ammarah.' Dia bertanya beberapa
perkara sehingga dia berkata: Beritahukan kepadaku tentang wasi anda siapa dia?
Tidak ada seorang Nabi melainkan ada baginya seorang wasi. Dan sesungguhnya
Nabi kami Musa bin 'Imran telah berwasiatkan kepada Yusyu' bin Nun. Maka Nabi
SAW menjawab"Sesungguhnya wasiku ialah 'Ali bin Abi Talib, selepasnya dua anak
lelakinya Hasan dan Husain kemudian diikuti oleh sembilan imam daripada
keturunan Husain.' Dia berkata: Namakan mereka kepadaku. Beliau
menjawab:'Apabila wafatnya Husain, maka anaknya 'Ali apabila wafatnya 'Ali,
anaknya Muhammad, Dan apabila wafatnya Muhammad, anaknya Ja'far. Apabila
wafatnya Ja'far anaknya Musa. Apabila wafatnya Musa, anaknya Ali. Apabila
wafatnya Ali, anaknya Muhammad. Apabila wafatnya Muhammad, anaknya 'Ali.
Apabila wafatnya 'Ali anaknya Hasan. Apabila wafatnya Hasan, anaknya Muhammad
al-Mahdi. Mereka semua dua belas orang....."Akhirnya lelaki Yahudi tadi memeluk
Islam dan menceritakan bahawa nama-nama para imam dua belas telah tertulis di
dalam buku-buku para Nabi yang terdahulu, dan ia termasuk di antara apa yang
telah dijanjikan oleh Musa AS.
Muwaffaq bin Ahmad al-Hanafi di dalam Manaqibnya meriwayatkan
daripada Salman daripada Nabi SAW, sesungguhnya beliau bersabda kepada
Husain:"Andalah imam anak lelaki seorang imam, saudara kepada imam, bapa kepada
sembilan imam. Dan yang kesembilan daripada mereka ialah Qaim mereka (al-Mahdi
AS).
Begitulah juga Syahabuddin al-Hindi di dalam Manaqibnya telah
menerangkan sanadnya daripada Nabi SAW bahawa beliau bersabda:"Sembilan imam
adalah daripada anak cucu (keturunan) Husain bin 'Ali dan yang kesembilan
mereka adalah Qaim mereka (imam al-Mahdi al-Muntazar AS).
Nota Kaki
1. al-Musnad, I, hlm 398
2. al-Musnad, I, hlm 406, dan V, hlm 89
3. Sahih, II, hlm 79
4. Ibid.
5. Ibid.
6. Ibid.
7. Ibid.
8. al-sunan, II, hlm 110
9. Sahih, IV, hlm 120 (Kitab al-Ahkam)
10. Kanz al-Ummal, VI, hlm 160
11. al-Sawa'iq al-Muhriqah, bab XI
12. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 444 (bab 7)
13. Muslim, Sahih, II, hlm 81 (Fadhl Ahlu l-Bait)
14. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 445
15. Ibid.
16. Fara'id al-Simtin, II, hlm 26
17. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 494
18. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 441 - 444
19. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 446 - 447