Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan ulama muda menyertai Umno bulan lalu, 
Fathul Bari Mat Jahya dan rakannya untuk mencabar Majlis Agama Islam Negeri 
Sembilan mendakwa mereka menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di negeri itu. 
Kamarul Hisham berkata mengikut hukum-hukum kumulatif yang termaktub dalam 
al-Quran dan sunah mengajar agama Islam tanpa tauliah bukan satu kesalahan 
mahupun perkara terlarang.

********************************
Ulama muda Umno dibenar cabar Majlis Agama Negeri Sembilan
Oleh Syed Mu’az Syed Putra July 05, 2010

PUTRAJAYA, 5 Julai — Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan ulama muda 
menyertai Umno bulan lalu, Fathul Bari Mat Jahya dan rakannya untuk mencabar 
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan mendakwa mereka menyampaikan kuliah agama 
tanpa tauliah di negeri itu menggunakan Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah 
Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004).

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Alaudin Sharif, Datuk Zulkefli Ahmad 
Makinudin dan Datuk James Foong.

Menurut peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, permohonan petisyen itu dibuat bagi 
mendapatkan perisytiharaan bahawa Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri 
Sembilan adalah tidak sah dan terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan 
Persekutuan.

“Kami memohon petisyen ini untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Mahkamah 
Tinggi Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan 
kesalahan di bawah seksyen tersebut.

“Ini kerana Artikel 72(2) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada 
Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan untuk membuat undang-undang kesalahan 
jenayah bagi perbuatan mengajar agama tanpa tauliah,” katanya ketika ditemui di 
Mahkamah Persekutuan di sini.

Selain Majlis Agama Islam Negeri Sembilan petisyen itu turut difailkan ke atas 
kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan Malaysia.

Turut hadir, Nik Amirul Faiz Nik Md. Yusof, 25, yang membuat permohonan yang 
sama.

Mahkamah juga membenarkan permohonan beliau.

Kedua-dua diwakili oleh Kamarul Hisham.

Kamarul Hisham berkata mengikut hukum-hukum kumulatif yang termaktub dalam 
al-Quran dan sunah mengajar agama Islam tanpa tauliah bukan satu kesalahan 
mahupun perkara terlarang.

“Dalam Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah ia bukan satu kesalahan, jadi Mahkamah 
Syariah Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicara dan 
menghukum di bawah seksyen tersebut.

“Melalui petisyen ini segala perbicaraan di Mahkamah Tinggi Negeri Sembilan 
tidak boleh dijalankan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” 
katanya.

Fathul Bari, 30, dan Nik Amirul bersama dua pengikutnya ditahan oleh Jabatan 
Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan pada pukul 11.30 pagi, 28 Feb lalu.

Ketika itu beliau sedang menyampaikan ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul 
kepada 50 orang awam di Maahad Ittiba Sunnah, Kilometer 1.5, Jalan Lama 
Seremban-Kuala Pilah.

Pada 1 Mac lalu, Fathul Bari mengaku tidak bersalah ketika didakwa dalam 
perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah atas tuduhan mengajar tanpa tauliah di 
Negeri Sembilan.

Tiga pengikut kanannya, Nik Amirul, 25; Abdullah Sanusi Othman, 40, dan 
Khairudin Daud, 55, masing-masing turut membuat pengakuan yang sama atas 
kesalahan bersubahat dengan pendakwah bebas itu.

Fathul Bari, 30, didakwa mengajar tanpa tauliah di Maahad Ittiba Sunnah, 
Kilometer 1.5, Jalan Lama Seremban-Kuala Pilah.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Mohd. Al Hafid Ismail 
mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 
2004).

Ketiga-tiga pengikutnya pula didakwa bersubahat dengan Fathul Bari pada tarikh 
dan tempat yang sama mengikut Seksyen 34 Enakmen Jenayah Syariah Negeri 
Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang dibaca bersama Seksyen 37 enakmen sama.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, setiap tertuduh boleh didenda RM3,000 atau 
penjara dua tahun.

Fathul Bari yang beralamat di Utan Kandis, Arau, Perlis merupakan lulusan 
Universiti Madinah dan memperoleh Ijazah Sarjana di Jordan. Dia kini mengikuti 
pengajian peringkat Doktor Falsafah di Universiti Islam Antarabangsa dan 
merupakan penasihat agama di Institut Jantung Negara.

Sumber : 
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ulama-muda-umno-dibenar-cabar-majlis-agama-negeri-sembilan/




Kirim email ke