Manifesto pembangkang diumum akhir bulan
Pakatan 4 parti yakin sekat BN menangi dua pertiga kerusi parlimenMENCAPAI KATA SEPAKAT "Saya rasa manifesto itu akan dapat diumumkan akhir bulan ini. Kami telah mencapai kata sepakat ke atas hampir semua perkara termasuk soal pembahagian kerusi dalam pilihan raya yang kini berada di tahap terakhir." -- Encik Lim Kit Siang, ketua pembangkang.
KUALA LUMPUR -- Pakatan empat parti pembangkang Malaysia semalam berkata ia menjangka dapat mengumumkan manifesto pilihan rayanya menjelang akhir bulan ini. Malah ia juga hampir mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi untuk bertanding. "Saya rasa manifesto itu akan dapat diumumkan akhir bulan ini," kata ketua pembangkang, Encik Lim Kit Siang. Komen Encik Lim itu dibuat di tengah-tengah kehangatan khabar angin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, akan mengadakan pilihan raya umum bulan depan. Parti Umno pula dijangka mengadakan mesyuarat tetapnya hari ini. Awal minggu ini, Dr Mahathir berkata keadaan kini adalah elok untuk diadakan pilihan raya, tetapi beliau masih belum memutuskan tarikh bagi pilihan raya umum itu. Bagaimanapun, pilihan raya itu perlu diadakan menjelang pertengahan tahun depan. Sementara itu, Encik Lim yang juga ketua Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata pakatan empat parti pembangkang itu yakin menyekat Barisan Nasional (BN) daripada kemenangan dua pertiga kerusi parlimen seperti mana yang telah di miliki selama ini. Beliau berkata parti pembangkang telah berjaya menghuraikan kebanyakan masalah awal yang dihadapinya. "Kami telah mencapai kata sepakat ke atas hampir semua perkara termasuk soal pembahagian kerusi dalam pilihan raya yang kini berada di tahap terakhir," kata Encik Lim. Tiga lagi parti pembangkang dalam pakatan itu adalah Parti Keadilan Nasional yang diketuai oleh isteri mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia. "Sejauh yang kami ketahui, ini adalah kali pertama bahawa kemungkinan BN kehilangan dua pertiga kerusi parlimen adalah sesuatu yang mungkin dicapai," kata Encik Lim. -- Reuters. |
