|
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Presiden
MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini mencabar parti-parti
pembangkang, terutamanya Parti Keadilan Nasional (Keadilan) supaya
meletakkan calon-calon keturunan India di kawasan-kawasan yang
ditandingi MIC.
Beliau berkata parti Keadilan
perlu berbuat demikian kerana mereka sering mendakwa mempunyai
bilangan anggota India yang ramai.
"Saya minta kalau mereka
benar-benar adil, lebih baik bertanding di kawasan MIC dengan
(meletakkan) calon-calon India.
Jikalau mereka tidak mahu
menerima cabaran ini, bererti Keadilan bukanlah adil," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat ketua-ketua Bahagian
MIC mengenai pilihan raya umum di ibu pejabat parti itu, di sini.
Sebagai contoh, Samy Vellu berkata beliau difahamkan kawasan
Parlimen Ulu Selangor yang diwakili Datuk G.Palanivel akan
ditandingi oleh calon PAS, walaupun Keadilan mendakwa ia memberi hak
dan keutamaan kepada semua kaum.
MIC mewakili tujuh kawasan
Parlimen (Sungai Siput, Tapah, Ulu Selangor, Kapar, Subang, Segamat
dan Teluk Kemang) di samping 15 kawasan dewan undangan negeri.
Namun katanya MIC bersedia untuk menghadapi mana-mana parti
pembangkang, memandangkan ia mempunyai rekod cemerlang lebih 40
tahun dalam pelbagai pilihan raya dan telah bekerja keras bagi
kejayaan Barisan Nasional (BN) pada kesemua pilihan raya berkenaan.
Beliau turut mengingatkan Parti Keadilan bahawa MIC tidak
hilang kuasa terhadap masyarakat India negara ini yang berjumlah
lebih dua juta seperti yang didakwa pembangkang.
Samy Vellu
yang juga Menteri Kerja Raya berkata MIC membuat lebih banyak
persediaan menghadapi pilihan raya ini berbanding pilihan
raya-pilihan raya lalu dengan beberapa strategi, kempen serta
publisiti yang berlainan.
Beliau berkata walaupun 120
bahagian MIC di seluruh negara aktif menjalankan pelbagai ceramah
dan mesyuarat, tetapi beliau mahu kesemua ketua bahagian memberikan
laporan mingguan kepada ibupejabat parti itu mengenai perkembangan
terkini bagi membolehkan parti menghantar satu pasukan penyiasat
untuk mengatasi apa jua masalah kaum India.
Pada mesyuarat
hari ini Samy Vellu melancarkan pelekat "MIC Cares" yang akan
dicetak sebanyak 200,000 keping dalam tiga bahasa utama.
Beliau juga berkata parti itu akan mencetak 500,000 buku
kecil setebal 40 muka surat yang akan mengandungi pelbagai program
yang mencerminkan sumbangan BN serta MIC lebih 50 tahun. -- BERNAMA
|