Hukuman Azizan setimpal: Ketua Hakim Syarie
SHAH ALAM: Ketua Hakim Syarie, Datuk Syeikh Ghazali Abdul Rahman menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya hukuman yang dijatuhkan terhadap, Azizan Abu Bakar, 39, saksi utama perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'terlalu berat' atau 'luar biasa'. Katanya, hukuman yang dijatuhkan oleh setiap hakim Mahkamah Syariah terhadap tertuduh dalam sesuatu perbicaraan dibuat berpandu dan berasaskan undang-undang Islam. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Syarahan Memoir dan pelancaran buku Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia karya Allahyarham Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim di Pusat Persidangan ITM Resort Seksyen 7 di sini, semalam. Mengulas hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Syariah Alor Gajah, Melaka, terhadap Azizan pada 28 September lalu selepas dia mengaku bersalah berkhalwat dan cuba melakukan persetubuhan haram dengan pelajar kolej swasta, Norhayati Saad, 22, beliau berkata, hukuman seumpama itu bukanlah yang pertama pernah dijatuhkan Mahkamah Syariah di negara ini. Sebaliknya, kata beliau, hukuman bagi kes khalwat seumpama itu pernah dijatuhkan, bahkan ada antaranya yang dirujuk ke peringkat perundangan lebih tinggi hingga sampai ke tahap rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong. Syeikh Ghazali memberikan beberapa contoh kes yang pernah berlaku di Pulau Pinang dan Perak. Dalam kes di Pulau Pinang, seorang mekanik yang pernah muncul di televisyen dijatuhkan hukuman penjara tetapi dia membuat rayuan sampai kepada Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, rayuannya gagal dan hukuman itu kekal. "Satu kes lagi berlaku di Perak. Orang yang dituduh berkhalwat itu dihukum denda RM1,000 dan penjara selama setahun," katanya. Menurutnya, walaupun kes Perak ini dirujuk ke Mahkamah Rayuan Syariah, mahkamah berkenaan memperkukuhkan lagi hukuman itu tetapi berikutnya tertuduh merayu kepada Yang di-Pertuan Agong. Berikutan itu, hukuman denda dikekalkan tetapi hukuman penjara dikurangkan dari setahun kepada enam bulan. Syeikh Ghazali berkata sepanjang pembabitannya selama 29 tahun dalam perundangan Islam, didapati banyak kes jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah dijatuhkan hukuman yang setimpal. "Masalahnya cuma tidak semua kes itu diketengahkan melalui media, sama ada media cetak atau elektronik. Ini menyebabkan ramai orang tidak tahu mengenainya," katanya. Menurutnya, selain kes jenayah, ada perbicaraan kes mengikut Akta Keluarga Islam yang membabitkan tuntutan berjuta-juta ringgit dan sesetengahnya sudah pun dijatuhkan hukuman. "Dalam kes ini, ada hukuman yang memerintahkan suami membayar mutaah dan lain-lain bayaran hingga RM1.5 juta," katanya. |
