*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sejak akhir ini, mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga
diwajibkan terlebih dahulu mengikuti kursus pra perkahwinan. Banyaklah
kursus perkahwinan yang telah dianjurkan oleh jabatan-jabatan ugama dan
tidak kurang juga oleh pihak-pihak swasta yang diiktiraf oleh jabatan
ugama ini. Tujuan mewajibkan kursus perkahwinan ini adalah untuk memberi
sedikit ilmu dan panduan kepada bakal suami isteri bagi menempuh
kehidupan baru dalam alam rumahtangga mereka dengan lebih baik dan
harmoni. Dengan mewajibkan kursus pra perkahwinan ini diharapkan
dapatlah mengurangkan kadar perceraian yang disebabkan oleh kurang faham
pasangan suami isteri terhadap tanggungjawab mereka dalam kehidupan
berumahtangga.

Tetapi kata orang, jodoh dan pertemuan itu di tentukan oleh Tuhan. Bila
jodoh sudah tiada maka bercerai tidak dapat dielakkan lagi. Orang kita
selalunya boleh terima dengan lapang hati bahawa mereka berkahwin
disebabkan adanya jodoh. Tetapi bila berlaku perceraian selalunya
diakhiri dengan hati yang berbuku dan mereka sukar hendak menerima
perceraian itu adalah kerana sudah tidak ada jodoh, mereka tidak dapat
menerima kehendak Tuhan itu dengan hati yang rela. Kadang-kadang
pertengkaran dan salah faham antara suami dan isteri itu hanyalah
sebagai penyebab kepada perceraian itu. Tetapi banyak juga kita lihat
pasangan suami isteri yang boleh dikatakan bertengkar hari-hari tetapi
tidak bercerai-cerai juga. Kadang-kadang ada pasangan bercerai kerana
suami bermain kayu tiga tetapi ada juga suami yang bermain sampai kayu
empat pun tidak bercerai juga. Itulah jodoh, Tuhanlah yang menentukannya
kita hanyalah merancang. Tetapi oleh kerana kita tidak faham akan konsep
jodoh ini, ramai di antara pasangan bercerai ini bermusuhan seumur hidup
di antara satu sama lain dan penyebab berlakunya perceraian itu sentiasa
saja menghantui kehidupan mereka.  Sebenarnya kehidupan selepas bercerai
ini juga patut diberi perhatian sama seperti kita memberi perhatian
kepada pasangan yang hendak berkahwin. Kegagalan dan ketidakfahaman
menempuh kehidupan selepas bercerai akan juga memberi kesan kepada
pasangan yang bercerai ini dan tambah teruk lagi kepada anak-anak mangsa
perceraian. Dengan itu wajarlah kursus selepas bercerai juga patut
diadakan oleh jabatan-jabatan agama untuk memberi panduan kepada
pasangan-pasangan yang becerai bagi meneruskan kehidupan mereka dengan
cara yang betul.

Sering ibu atau bapa yang mendapat hak menjaga anak mangsa perceraian
ini akan menghasut anak-anak ini supaya membenci bapa atau ibu mereka.
Sebagai contoh jika pihak ibu yang memelihara anak-anak ini maka mereka
akan dihasut supaya membenci bapa mereka. Dendam dan benci kepada
pasangannya akan dikongsi dan diturunkan kepada anak-anak mereka.
Perbuatan yang difikirkan akan menguntungkannya itu sebenarnya hanya
akan memberikan kesan buruk kepada jiwa anak-anak tanpa mereka
menyedarinya. Jiwa kanak-kanak mangsa perceraian ini dikatakan sering
mengalami tekanan dan kekeliruan. Mana tidaknya, di sekolah mereka
diajar oleh guru atau ustaz supaya mengasihi dan menghormati bapa atau
ibu mereka tetapi semasa di rumah mereka disuruh membenci bapa atau ibu
mereka. Kanak-kanak yang masih kecil tentu tidak dapat menerima kenapa
ibu dan bapa mereka tinggal berasingan di mana pada kebiasaannya ibu dan
bapa patut tinggal bersama. Konflik jiwa yang dialami oleh kanak-kanak
mangsa penceraian dan dari keluarga yang bermasalah jika tidak ditangani
dengan cara yang baik akan mudah mendorong mereka terlibat dengan
gejala-gejala sosial yang tidak sihat. Tidak hairanlah kalau sebahagian
besar dari remaja-remaja yang bermasalah hari ini adalah datang dari
keluarga yang bermasalah juga seperti perceraian.

Kadang-kadang anak yang kematian ibu atau bapa dapat menjalani kehidupan
yang lebih berjaya jika dibandingkan dengan anak-anak mangsa perceraian.
Sepatutnya anak-anak yang ibu bapa mereka bercerailah lebih berjaya dari
anak-anak yatim kerana anak yatim bukan sahaja kehilangan ibu atau bapa
tetapi juga kadang-kadang turut kehilangan sumber pendapatan untuk
menyara kehidupan mereka. Nasib anak-anak yang ibubapa mereka bercerai
mungkinlah tidak sebaik anak-anak biasa tetapi sepatutnya tidaklah lebih
teruk dari nasib anak-anak yatim kerana mereka masih ada ibu atau bapa
walaupun tidak tinggal bersama.

Ibu bapa yang mengalami perceraian hendaklah sedaya upaya berusaha
membantu mengurangkan tekanan-tekanan perasaan yang mungkin dihadapi
oleh anak-anak mereka dalam menempuh kehidupan selepas perceraian itu.
Mungkin mana-mana ibu bapa yang bercerai tidak dapat menghapuskan sama
sekali tekanan dan konflik yang mungkin dihadapi oleh-oleh anak-anak
mereka, tetapi sebenarnya mereka boleh mengurangkan kesan itu dengan
cara tidak mengambil tindakan-tindakan yang boleh memburukkan lagi
keadaan.  Sekalipun sebab-sebab berlakunya perceraian itu sungguh
memerit dan menyakitkan hati pasangan yang mengalaminya tetapi ia
tidaklah sepatutnya dijadikan dendam dan membenci pasangannya untuk
selama-lamanya. Sudah menjadi lumrah perceraian sering diikuti dengan
penyelesaian tuntutan hak di makamah. Memanglah makamah patut ada dalam
sesebuah negara tetapi makamah bukanlah merupakan penyelesaian terbaik
untuk semua masalah. Tentu anda dapat bayangkan keadaan tahap
keharmonian dalam sebuah rumahtangga itu jika isterinya hadir ke makamah
kerana suaminya tidak mahu membelikannya sebuah mesin basuh untuk
membasuh pakainan mereka. Walaupun isteri ini tidak salah membawa kes
ini ke makamah untuk menuntut haknya  tetapi adakah itu cara
penyelesaian yang terbaik dalam kehidupan berumahtangga.

 Hak sepatutnya bukanlah untuk dituntut tetapi adalah untuk ditunaikan.
Di dalam Islam sendiri telah diajarkan setiap hak dan tanggungjawab
wajib ditunaikan. Siapa yang tidak menunaikan hak dan tanggungjawabnya
pasti berdosa dan akan mendapat balasan di akhirat nanti. Pejabat agama
dan makamah syariah sepatutnya tidak kita jadikan tempat kita menuntut
hak yang perlu kita dapat dari pasangan kita bila bercerai. Tetapi
sepatutnya pejabat ugama itu hendaklah kita jadikan ia sebagai tempat
rujukan dan nasihat tentang hak-hak dan tanggungjawab yang harus kita
berikan kepada pasangan dan anak-anak kita selepas bercerai. Tidak
usahlah kita bimbang kalau selepas bercerai pasangan kita tidak
menunaikan hak dan tanggungjawabnya dengan sempurna kerana di sisi Tuhan
mereka itu akan tetap mendapat balasan malah kadang-kadang di dunia pun
Tuhan sudah tunjukkan balasannya. Oleh itu jangan kita terlalu ghairah
untuk membawa kes menuntut hak selepas perceraian di makamah hanya
disebabkan rasa benci dan dendam. Selepas bercerai sepatutnya tumpuan
lebih penting diberikan kepada nasib dan masa depan anak-anak supaya
mereka dapat meneruskan hidup dengan lebih baik dan berjaya. Tidak wajar
kita menghasut atau mendidik anak-anak untuk membenci ibu atau bapa
mereka bila kita sudah bercerai.


 Perlu diingat, menunaikan hak dan tanggungjawab itu adalah satu sifat
yang terpuji yang membawa berkat kepada kehidupan kita, manakala
perbuatan menuntut hak adalah perbuatan yang tidak digalakkan sekalipun
ia dibolehkan. Lihatlah budaya kerja di barat, kesatuan sekerja mereka
sentiasa saja menuntut hak yang patut dipenuhi oleh majikan mereka
manakala pihak majikan pula sentiasa cuba mengelak dari bertanggungjawab
kepada pekerja-pekerja mereka demi untuk mengaut keuntungan yang besar.
Tuntutan hak yang tidak berkesudahan ini menyebabkan hubungan pekerja
dengan majikan sentiasa berada pada tahap yang buruk dan akhirnya
syarikat menjadi tidak produktif dan tidak mampu untuk bersaing. Bila
berlaku keadaan demikian yang rugi ialah kedua-dua pihak iaitu pekerja
dan majikan juga. Berbanding budaya kerja di Jepun, pihak majikan
sentiasa menunaikan hak dan tanggungjawab mereka kepada pekerja,
manakala pekerja pula sentiasa bersungguh-sungguh menunaikan amanah dan
tanggungjawab mereka kepada syarikat.  Sikap seperti inilah yang telah
membawa syarikat-syarikat gergasi Jepun boleh maju dan bersaing
diperingkat antarabangsa.

Di dalam Quran, ada ayat yang memberi kebenaran kepada kita menuntut hak
untuk membalas dendam kepada musuh kita dengan balasan yang setimpal dan
tidak melampaui batas. Tetapi disamping itu Tuhan juga ada menyatakan
jika kita memberi kemaafan kepada musuh kita maka itu adalah lebih baik
di sisi Allah. Sudah tentu setiap dari kita ingin menjadi orang yang
baik di sisi Allah. Oleh itu untuk menjadi orang yang lebih baik di sisi
Allah pilihan kita sudah tentu dengan memberi kemaafan.

Saya percaya jika ibu bapa yang mengalami perceraian ini dapat diberi
bimbingan cara yang betul untuk menjalani kehidupan selepas bercerai,
insyallah perceraian tidaklah lagi dianggap sebagai satu mala petaka
yang digeruni menimpa diri sesorang seperti tanggapan masyarakat kita
hari ini. Dan yang lebih penting lagi anak-anak mangsa dari perceraian
ibubapa ini dapat menjalani kehidupan yang baik seperti kanak-kanak
lain.Wallahualam.

Untuk nota tambahan sila ke sini
http://suria.fke.utm.my/~aliasm/masyarakat.htm



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Alias Mohd Yusof <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke