PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA
Di balik riang wajah Mahathir
Perdana Menteri Malaysia ulas keputusan pilihan rayaOleh Jeman Sulaiman Dari Kuala Lumpur
"Malangnya kita telah kehilangan dua negeri... Tetapi kita terima hakikat itu kerana ini negara demokrasi dan dalam pilihan raya kemungkinan untuk kalah itu adalah sama besarnya dengan kemungkinan untuk menang. Jadi kita terima hakikat bahawa kita telah kehilangan Kelantan dan Terengganu."
JAGUH BN ADA KALAH, TAPI... 'Demikian juga parti-parti lawan. Kita tak hilang jaguh-jaguh kita. Saya menang>.- Dr Mahathir Mohamad.
BARISAN Nasional (BN) telah mencapai kemenangan besar untuk memerintah bagi penggal lima tahun lagi dengan menyapu 148 daripada 193 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) dalam pilihan raya umum Malaysia ke-10 yang baru berakhir. Namun, kemenangan tersebut mengalami tamparan apabila BN kehilangan kuasa di sebuah lagi negeri, Terengganu, dan gagal merampas balik Kelantan yang ditawan oleh Parti Islam (PAS). Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, telah membayangkan tanda kekecewaannya setelah keputusan penuh pilihan raya diketahui. "Saya gembira dan bersyukur BN mendapat kemenangan lebih dua pertiga. Malangnya, kita kalah di Kelantan dan Terengganu walaupun memenangi hampir semua negeri. "Kita akur bahawa dalam pilihan raya, ada kemungkinan menang dan ada kemungkinan kalah. Inilah demokrasi," ujarnya dalam sidang akhbar singkat lewat kelmarin selepas kebanyakan keputusan undi diumumkan di markas pilihan raya BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. Bagaimanapun, Dr Mahathir menganggap kemenangan BN melebihi dua tiga majoriti kali ini cukup bermakna berbanding pencapaiannya dalam pilihan raya 1995 apabila perikatan tersebut membolot 132 kerusi Parlimen yang kemudian bertambah menjadi 162 selepas "lompatan" oleh beberapa anggota dari Parti Semangat 46 dan Parti Bersatu Sabah (PBS) waktu itu. BN berjaya menubuhkan semula kerajaan di sembilan daripada 11 negeri di Semenanjung. KENAPA WAN AZIZAH MENANG "Saya rasa banyak orang akan bersimpati apabila melihat seseorang pergi dengan anaknya dan menangis (pada perjumpaan politik). Saya boleh faham perasaan orang ramai. Saya rasa orang ramai wajar berperasaan begitu. Tetapi persoalannya ialah sama ada beliau dapat memberi sumbangan."
KENAPA KIT SIANG, KARPAL KALAH "Perbahasan mereka di Dewan (Rakyat) tidak berguna. Saya rasa sebab inilah mereka ditolak." - Dr Mahathir Mohamad.
Dua kerusi bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dimenanginya tanpa bertanding ketika penamaan calon ditutup 20 November lalu. Keputusan undi menunjukkan beberapa kejutan bagi BN. Pemerolehan undi di kalangan 14 parti komponen BN merosot, terutama Umno yang hanya mampu memenangi atau mengekalkan 74 kerusi parlimen. Sebahagian besar kerusi parlimen BN disumbangkan oleh parti komponen di Sarawak dan Sabah. Dr Mahathir menolak tanggapan bahawa kemerosotan undi yang diraih oleh calon BN, termasuk dirinya, menandakan hasrat pengundi Malaysia bagi perubahan. "Sebenarnya kita cuma janji untuk mendapat lebih dua pertiga majoriti. Kita tak janji pasal majoriti. "Setakat yang kita tahu, mereka beri kita lebih dua pertiga majoriti dan ia adalah bukti jelas mereka ingin kita meneruskan usaha kita," tegasnya. Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa sokongan Melayu kepada Umno kini terkikis setelah pengundi Kelantan dan Terengganu memilih pembangkang. "Kelantan dan Terengganu bukan satu-satunya negeri Melayu. Lihat Johor, kita menyapu bersih semua kerusi di sana," katanya. Beliau menyalahkan taktik kotor pembangkang, khususnya PAS, yang didakwanya menggunakan isu agama, bagi peralihan besar undi menolak BN di kedua-dua negeri pantai Timur itu. Kecuali Parti Rakyat Malaysia (PRM), tiga anggota lain pakatan pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA) -- PAS, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Nasional -- telah turut membuat penerobosan di beberapa negeri lain dalam pilihan raya kali ini. Pakatan tersebut telah memenangi 42 kerusi parlimen. Lagi tiga kerusi diperolehi oleh PBS di Sabah. |
KOMEN HILANG DUA
NEGERI